BERAKAS, Rabu, 10 Januari. - Usaha membanteras pendatang tanpa izin dan memberkas pesalah bagi Akta dan Peraturan Imigresen tahun lalu di negara ini membuahkan hasil yang besar dari segi bayaran kompaun yang mencecah sejumlah $410 ribu.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, bayaran kompaun tahun lalu merupakan yang tertinggi sejak lima tahun kebelakangan.
Di mana tahun lalu mereka berjaya mengkompaun seramai 1,153 orang, daripada jumlah 1,658 orang yang diberkas dengan 804 orang daripadanya disebabkan kes kesalahan tamat tempoh masa tinggal malah tangkapan bulan Disember 2006 mencapai angka tertinggi dengan seramai 221 orang dan pada bulan September seramai 178 orang.
Jumlah tangkapan itu ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah tangkapan dalam tahun 2005 kerana pihak penguat kuasa hanya berjaya mengkompaun seramai 843 orang pada tahun itu.
Dari tangkapan tahun lalu warga Indonesia dan Filipina adalah yang paling banyak melakukan kesalahan tamat masa tempoh tinggal di bawah Akta dan Peraturan Imigresen, di mana seramai 268 orang warga Indonesia dan beberapa orang lagi yang melakukan kesalahan-kesalahan lain yang membawa jumlah warga Indonesia yang dikenakan kompaun seramai 377 orang, manakala 206 orang warga Filipina juga atas kesalahan yang sama, di samping beberapa orang lagi yang melakukan kesalahan-kesalahan lain yang berjumlah 261 orang.
Namun warga India dan Bangladesh juga banyak melakukan kesalahan-kesalahan yang sama, di mana seramai 174 orang warga India dikompaun bagi kesalahan Akta dan Peraturan Imigresen diikuti oleh 90 orang warga Bangladesh.
Kesalahan tamat masa tempoh tinggal, sahaja berjaya mengutip denda kompaun melebihi $220 ribu daripada 804 orang pesalah.
Mengikut statistik itu lagi operasi serbuan dan tangkapan dibuat setiap bulan dengan menggunakan beberapa kod atau nama operasi, tahun ini operasi akan diteruskan semata-mata bagi membersihkan negara ini dari dimasuki oleh pendatang tanpa izin atau kesalahan yang melanggar Akta dan Peraturan Imigresen.