KESIHATAN

Kanak-kanak autisme perlu rawatan awal

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 April. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi berkata, kementeriannya melalui Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC) dan Persatuan Smarter Brunei sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran orang ramai dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan kanak-kanak yang autisme akan dapat dikesan seawal-awalnya supaya rawatan akan dapat dimulakan seawal yang mungkin.

"Sejak tahun 1994 sejumlah 391 orang kanak-kanak telah disahkan mengalami autisme di negara ini. Antara langkah yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ialah mengadakan klinik saringan atau pemeriksaan perkembangan kanak-kanak di klinik kesihatan ibu dan kanak-kanak di seluruh negara bagi mengesan lebih awal autisme dan masalah kesihatan yang lain," jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, kanak-kanak yang dikesan menghidapi ma- salah yang mungkin disebabkan oleh autisme akan terus dirujuk kepada CDC di mana pemeriksaan dan penilaian lanjut akan segera dijalankan.

Yang Berhormat menjelaskan demikian ketika berucap merasmikan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2008 yang berlangsung di Lobi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Tambah Yang Berhormat, kanak-kanak autisme dan para ibu bapa serta penjaga akan diberikan perkhidmatan oleh kumpulan perkembangan kanak-kanak terdiri dari profesional dari pelbagai bidang termasuk doktor pediatrik, psikologis klinik, jurupulih pertuturan, jurupulih cara kerja, jururawat serta pegawai kebajikan perubatan dan rawatan serta terapi.

"Ini bermakna pengendalian secara berkumpulan akan dapat diberikan di mana pada masa ini perkhidmatan kaunseling untuk ibu bapa dan penjaga, terapi pertuturan, integrasi sensori, terapi cara kerja termasuk kegiatan kehidupan seharian, latihan kemahiran sosial, terapi perilaku, khidmat nasihat mengenai kemahiran keibubapaan dan khidmat nasihat dan intervensi kebajikan jika ianya diperlukan," jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, bagi kanak-kanak yang dalam lingkungan umur persekolahan, CDC juga bekerjasama dengan Unit Pendidikan Khas untuk memastikan agar keperluan pendidikan khas kanak-kanak tersebut (jika ada) akan dapat dipenuhi sebaik mungkin berdasarkan sumber pendidikan yang ada.

“Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha pada meningkatkan lagi tahap dan kepelbagaian perkhidmatan dan rawatan yang boleh diberikan selain mempunyai perancangan untuk menambah jumlah para profesional yang berkemahiran termasuk kemudahan infrastruktur yang ada," kata Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat, apa yang perlu difikirkan mulai sekarang ialah perkhidmatan untuk orang dewasa yang menghidap autisme pada masa ini dan akan datang, perubahan kurikulum atau peningkatan teknik dan strategi mengajar yang lebih bersesuaian untuk kanak-kanak autisme, peluang untuk mendapatkan pendidikan lanjut bagi yang berkebolehan dan seterusnya peluang pekerjaan serta sokongan untuk membolehkan mereka hidup normal sebaik yang mungkin.


Menteri Kesihatan lawat Republik Rakyat Laos

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Mac. - Delegasi Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi mengadakan lawatan rasmi ke Republik Rakyat Laos pada 25 hingga 28 Mac lepas atas undangan Menteri Kesihatan Republik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Dr. Ponmek Dalaloy. Lawatan bertujuan untuk menerokai bidang-bidang kerjasama di antara kedua-dua buah negara.

Semasa lawatan ke Republik Rakyat Laos, delegasi Negara Brunei Darussalam telah mengadakan perjumpaan dengan Pemangku Timbalan Perdana Menteri Republik Rakyat Loas, TYT Dr. Ponmek Dalaloy dan Tuan Yang Terutama Somsavat Lengsavad.

Yang Berhormat melahirkan penghargaan kepada TYT Dr. Ponmek Dalaloy atas layanan istimewa yang diberikan semasa lawatan itu dan sebagai balasan mengundang TYT untuk mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam.

Delegasi Negara Brunei Darussalam juga berkesempatan melawat Rumah Sakit Mahosot dan Kolej Kesihatan Teknologi di ibu negara Vientiane dan Rumah Sakit Maria Theresa di Wilayah Vientiane serta tempat-tempat bersejarah di Vientiane.

Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) di antara Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Kesihatan Republik Rakyat Laos telah diadakan di Kementerian Kesihatan di Republik Rakyat Laos pada 26 Mac 2008.

Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Republik Rakyat Laos, TYT Profesor Eksavang Vongvichit M.D. Ph.D, manakala Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Awang Abidin mengetuai Negara Brunei Darussalam.

SOM diadakan dalam suasana mesra, persahabatan dan persefahaman.

Objektif SOM adalah untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang kesihatan selain sama-sama mengenal pasti bidang-bidang kerjasama di masa hadapan di antara Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Kesihatan Republik Rakyat Laos.

Kedua-dua pihak mengenal pasti bidang-bidang seperti pertukaran maklumat dan pengalaman mengenai kesihatan termasuk program saintifik melalui bengkel-bengkel, persidangan-persidangan dan seminar-seminar serta pertukaran profesional dan pelajar dalam bidang kesihatan.

Timbalan Pengarah Am Bagi Kabinet, Kementerian Kesihatan Republik Rakyat Laos akan membuat penyelarasan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan hasil mesyuarat tersebut.


Jururawat perlu inovatif, memiliki pelbagai kemahiran

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 April. - Para jururawat perlu inovatif semasa menjalankan tugas dalam apa jua situasi selaras dengan perkembangan bidang kejururawatan masa kini yang memerlukan mereka memiliki pelbagai kemahiran (multi-tasking).

Era di mana peranan jururawat 'subservient' kepada doktor tidak lagi sepatutnya wujud, doktor dan jururawat adalah rakan kerja (partners) yang sama penting, mempunyai bidang tugas masing-masing yang sering memerlukan antara satu sama lain.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi di Majlis Penyampaian Sijil Kejururawatan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi di sebuah hotel terkemuka, di sini.

“Kerjasama sebeginilah yang ingin kita pupuk agar perkongsian tugas yang kita lakukan akan membawa kesejahteraan kepada pesakit yang sama-sama kita jaga," jelas Yang Berhormat.

Terdahulu Yang Berhormat menjelaskan, tujuan utama melatih sebilangan jururawat sebagai 'primary care nurses' ialah bagi membolehkan mereka terlibat dalam mendiagnosis dan merawat pesakit-pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit dan kecederaan-kecederaan ringan selain memberi nasihat dan mempreskripsikan ubat mengikut garis panduan yang telah disediakan.

"Mereka juga diperlukan untuk bekerja rapat dengan para doktor bagi rujukan-rujukan selanjutnya," kata Yang Berhormat.

Keperluan ke atas perkhidmatan jururawat penjagaan asasi ujar Yang Berhormat, adalah nyata di mana sebilangan besar pesakit yang berkunjung ke pusat-pusat kesihatan mengalami penyakit-penyakit ringan seperti batuk selesema, jangkitan saluran pernafasan atas (upper respiratory infection), jangkitan konjuktivitis dan gastroenteritis.

Yang Berhormat berkata, ia setentunya mencabar keupayaan Perkhidmatan Penjagaan Asasi, khususnya para doktor untuk membahagi waktu di antara merawat pesakit yang mempunyai penyakit yang ringan dengan mereka yang lebih serius dan memerlukan rawatan yang rapi.

Yang Berhormat menambah, mengikut pengalaman di United Kingdom dan kajian yang dijalankan di negara-negara lain, terdapat bukti yang menunjukkan keberkesanan jururawat 'practitioners' dalam menjaga kesihatan asasi sebanding dengan hasil tahap rawatan kesihatan yang dibuat oleh doktor.

Malah kata Yang Berhormat, 'nurse practitioners' dilihat dapat meluangkan masa yang lebih berkualiti kepada pesakit ringan daripada doktor.

Jelas Yang Berhormat, ini tidak bermakna mereka sudah boleh membuat kerja sebagai doktor tetapi dalam menangani penyakit-penyakit ringan mereka sudah cukup dilatih.

Sementara itu Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Rani bin Haji Md. Yusof dalam ucapan alu-aluannya berkata matlamat kursus tersebut adalah bagi meningkatkan dan memperkembangluaskan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman jururawat-jururawat di perkhidmatan penjagaan asasi untuk memenuhi keperluan individu, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Beliau menambah, setelah menamatkan kursus dan lulus peperiksaan, jururawat-jururawat berkenaan diagih dan ditempatkan di pusat-pusat kesihatan masyarakat termasuk di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan mengikut keperluan bermula 1 Disember tahun lalu.

Seramai 14 orang jururawat telah dipilih dalam kumpulan pertama yang memakan masa enam bulan bermula 14 Mac 2007 itu.

Tenaga pengajar kursus berkenaan terdiri daripada tenaga tempatan iaitu pakar-pakar perubatan dalam bidang tertentu, ahli-ahli farmasi dan lain-lain yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan asasi.

Peserta-peserta kursus juga mengikuti penempatan klinikal antaranya di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta di pusat-pusat kesihatan masyarakat.


Kesan-kesan kesihatan akibat perubahan iklim perlu kawalan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 April. - Kesan-kesan kesihatan yang ditimbulkan akibat perubahan iklim yang merupakan satu isu besar melibatkan pelbagai pihak akan menjadi lebih teruk jika tiada usaha mengawalnya.

Di antara strategi untuk mengawal kesan-kesan perubahan iklim termasuklah mengurangkan dan mengawal pencemaran, pengurusan alam sekitar yang bersepadu dan diintegrasikan, langkah-langkah perlindungan dari bencana, persediaan menghadapi bencana, mengadakan sistem amaran awal bencana, perancangan bandar dan langkah-langkah pertanian dan perdagangan yang boleh menjamin kepada keselamatan makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Justeru itu semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta atau persendirian perlu sama-sama memainkan peranan dan bekerjasama dalam mengurangkan risiko dari kesan-kesan perubahan iklim.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi berkata, usaha sepadu dari semua pihak tidak terhad kepada mengalami sesuatu malapetaka setelah ia terjadi untuk memastikan prasarana dan persekitaran di negara ini boleh bertahan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Dalam hal ini, bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan kecemasan kesihatan awam seperti bencana alam, bencana teknologikal dan wabak penyakit berjangkit, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam telah menghasilkan Pelan Operasi Kecemasan Kesihatan Awam yang menggariskan konsep operasi dan langkah-langkah yang diambil semasa menghadapi sebarang bencana atau wabak penyakit," tegas Yang Berhormat di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2008 hari ini.

Pelan itu, jelas Yang Berhormat turut menggariskan tindakan-tindakan yang diperlukan di fasa persediaan dan pemulihan dalam pengurusan bencana dengan mengambil kira dan mengintegrasikan sistem-sistem yang sedia ada di agensi-agensi luar berkenaan.

"Kita harus menyedari bahawa penyakit-penyakit yang dipengaruhi oleh cuaca adalah merupakan salah satu pembunuh terbesar dunia. Tanpa tindakan bersepadu di kalangan semua pihak, persekitaran, kesihatan dan masa depan kita akan terjejas," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata, perubahan cuaca turut mempengaruhi dinamik penyakit-penyakit berjangkit terutama penyakit bawaan air dan penyakit bawaan vektor seperti malaria dan demam denggi dengan mempengaruhi keadaan dan cara pembiakkan vektor dan penyebaran kuman penyakit yang mana pada tahun 2002 penyakit cirit-birit, malaria dan kekurangan gizi protein sahaja telah menyebabkan lebih 3.3 juta kematian di seluruh dunia.

"Menurut penilaian yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kesan-kesan perubahan iklim yang berlaku sejak pertengahan tahun 1970-an telah menyebabkan lebih 150,000 kematian pada tahun 2000 dan kesan-kesan tersebut dijangkakan akan meningkat di masa akan datang," ujar Yang Berhormat di majlis yang berlangsung di sebuah hotel antarabangsa di sini.


MENTERI KESIHATAN DIANUGERAHKAN AHLI KEHORMAT

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 April. - Sebagai mengiktiraf kemajuan cemerlang dan peningkatan yang dicapai dalam penjagaan kesihatan asas di Negara Brunei Darussalam, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman dianugerahkan Ahli Kehormat oleh Akademi Keluarga Doktor Malaysia dalam upacara yang diadakan di Petaling Jaya, Malaysia pada 5 April lepas.

Untuk memastikan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam pada standard yang tinggi, Kementerian Kesihatan mengenal pasti keperluan-keperluan bagi meningkatkan kemahiran-kemahiran klinik dan pengetahuan bagi semua peringkat kakitangan.

Program latihan diadakan untuk keluarga doktor sejak tahun 2000 bermula dengan Lepasan Ijazah Diploma Asas dalam Penjagaan Kesihatan (PGDipHC) dengan kerjasama Sekolah Rumah Sakit Kesihatan St. George's, London dan Institut Perubatan, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Pada bulan Februari 2004, latihan telah diambil alih oleh Institut Perubatan, UBD dan kelayakan diubah kepada Masters dalam Penjagaan Kesihatan Asas (MScPHC).

Pada tahun 2005, Negara Brunei Darussalam telah ditauliahkan menjadi pusat kepada keahlian Kolej Diraja Bagi Peperiksaan Pengamal Kemahiran Umum (MRCGP {INTERNATIONAL}) bagi rantau ASEAN. Setakat ini, terdapat 29 orang doktor tempatan yang telah menamatkan latihan.

Pada tahun 2007, satu program latihan jururawat telah dijalankan bagi Program Latihan Penjagaan Kejururawatan Asas yang memberi kuasa penjagaan rawatan asas untuk mengendalikan pesakit-pesakit biasa dalam masyarakat.

Kementerian Kesihatan juga telah mengadakan beberapa polisi, strategi dan program untuk memberikan akses menyeluruh penjagaan asas yang komprehensif di Negara Brunei Darussalam kepada semua warganegara. Ini termasuk sejumlah subsidi perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Brunei, keselesaan perkhidmatan pesakit luar dari rumah sakit pada bulan Jun 2000 untuk meningkatkan maklumat perkhidmatan penjagaan asas bagi masyarakat, klinik bergerak dan perkhidmatan 'doktor terbang' yang memberikan penjagaan kesihatan asas ke kawasan pedalaman, rawatan di rumah pesakit-pesakit, pemerhatian khas seperti ‘review’ keadaan perubatan, ‘review’ keadaan rumah dan penyiasatan mengenai penyakit berjangkit.


Perutusan Menteri Kesihatan sempena Hari Kesihatan Sedunia 2008

Pada tahun ini, sekali lagi, Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang lain, meraikan Hari Kesihatan Sedunia yang mana tema yang dipilih oleh pertubuhan tersebut ialah ‘Melindungi Kesihatan dari Perubahan Iklim’.

Negara Brunei Darussalam adalah tidak terkecuali dari menghadapi akibat-akibat perubahan iklim. Akibat yang paling nyata ialah keadaan cuaca yang ekstrim yang menyebabkan beberapa kejadian bencana alam seperti banjir besar dan kejadian tanah runtuh yang pada kebiasaannya jarang berlaku di negara ini. Perubahan iklim juga antara lain mempengaruhi keadaan ekosistem, keadaan pembiakan vektor, perubahan mikrobiologi, pertanian, keselamatan makanan (food security) dan keadaan sosioekonomi. Fenomena-fenomena seperti ini seterusnya mempunyai impak secara langsung dan tidak langsung terhadap kesihatan.

Bencana alam seperti banjir misalnya, mendedahkan rakyat dan penduduk negara ini kepada risiko-risiko kecederaan, kemalangan, kematian dan penyakit-penyakit berjangkit. Kerosakan tanam-tanaman dan kematian haiwan ternakan pula boleh menyebabkan kehilangan pendapatan dan kekurangan bekalan makanan sehingga boleh menimbulkan masalah-masalah kesihatan seperti kekurangan gizi makanan (malnutrition) dan kesihatan mental.

Penyelidikan yang dibuat di negara-negara serantau dan antarabangsa telah menunjukkan bahawa perubahan iklim mempunyai kesan langsung terhadap pembiakan vektor seperti nyamuk yang mana boleh membawa kepada meningkatnya penyakit-penyakit vektor seperti malaria dan demam denggi. Bagi sebuah negara yang telah diisytiharkan bebas dari malaria, perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar bagi Negara Brunei Darussalam.

Oleh yang demikian, dalam menghadapi masalah seperti ini, kita harus bekerjasama dan bersama-sama berusaha untuk mengurangkan akibat-akibat perubahan iklim sebagai langkah untuk melindungi kesihatan kita. Orang ramai, sama ada secara berkumpulan dan individu, mempunyai peranan yang besar serta turut menyumbang ke arah ini.


Pelan Operasi Kecemasan Kesihatan Awam dilancarkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 April - Pelan Operasi Kecemasan Kesihatan Awam yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini berdasarkan bahawa kecemasan-kecemasan kesihatan awam pada kebiasaannya berlaku secara mendadak dan sukar untuk diramal.

Kesan-kesan kesihatan yang berlaku akibat dari kecemasan-kecemasan kesihatan awam juga pada kelazimannya tidak dapat diduga.

Justeru itu, persediaan dan persiapan yang mencukupi dalam menghadapi ancaman kecemasan kesihatan awam bukan saja akan dapat mengurangkan impak sebarang kejadian kecemasan kesihatan awam, malah dapat membantu ke arah penyelarasan operasi yang lebih sempurna semasa melaksanakan tindak balas terhadap kecemasan tersebut.

Tujuan utama Pelan Operasi Kecemasan Kesihatan Awam diungkayahkan adalah untuk menjadi garis panduan bagi kakitangan kesihatan awam dalam merancang persiapan, mengurangi kesan dan melaksanakan tindak balas terhadap sebarang kejadian kecemasan kesihatan awam di negara ini menurut amalan terbaik masa kini.

Pelan berkenaan mengandungi maklumat asas mengenai bencana dan pengurusan bencana, pengurusan penduduk yang dipindahkan serta keselamatan pekerja penyelamat, di samping menggariskan konsep operasi dan tanggungjawab kesihatan awam semasa sebarang kejadian kecemasan kesihatan awam.

Selain itu, pelan tersebut juga menggariskan saluran komunikasi di antara beberapa pusat dan jawatankuasa operasi kecemasan yang berkait rapat dengan kesihatan awam di dalam usaha untuk mengintegrasikan agensi-agensi dan inisiatif-inisiatif yang sedia ada.

Pelan tindakan yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi sempena perasmian Hari Kesihatan Sedunia 2008 telah disesuaikan dari Automated Disaster Emergency Planning Tool (ADEPT) yang telah dikembangmajukan oleh Centers of Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat.


Perubahan iklim ancam keselamatan awam

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 April. - Perubahan iklim memberikan ancaman terhadap keselamatan awam di peringkat antarabangsa, serantau dan setempat melalui aspek-aspek kehidupan asas termasuk air minum, makanan dan tempat berteduh.

Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Dr. Hajah Rahmah binti Haji Mohd. Said berkata, Hari Kesihatan Sedunia tahun ini yang membawa tema 'Melindungi Kesihatan Dari Perubahan Iklim' adalah untuk memberi penekanan dan menaikkan profil bahaya-bahaya kesihatan yang disebabkan oleh variasi dan perubahan secara global yang mana semua itu merupakan faktor penentu kesihatan yang diperlukan bagi tahap kesihatan awam yang sempurna.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2008 hari ini, beliau seterusnya menjelaskan bahawa isu perubahan iklim dan kesihatan adalah merupakan isu yang kurang dikenali dan perhatian terhadapnya perlu dipertingkatkan di negara ini.

Menurut Dr. Hajah Rahmah isu berkenaan merupakan isu besar yang melibatkan pelbagai pihak di negara ini bukan sahaja dari sektor kerajaan, malah sektor swasta dan juga persendirian serta awam.

Pegawai Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar berkata, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Perhutanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah merancang beberapa aktiviti sepanjang tahun ini sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia bagi meningkatkan kesedaran di kalangan orang kitani dan juga untuk sama-sama prihatin dan bertindak ke arah pengawalan isu berkenaan.

Aktiviti-aktiviti tersebut katanya, meliputi Bengkel Bersama Ketua-ketua Masyarakat Mengenai Perubahan Iklim dan Kesihatan; Menanam Pokok; Projek Kesihatan Alam Sekitar Di Sekolah-sekolah; Bengkel Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Kebangsaan; Peraduan Melukis Poster; Peraduan Fotografi dan Ekspo Alam Sekitar dan Kesihatan.