KESIHATAN

Penyusuan satu minit serentak seluruh negara

KUALA BELAIT, Rabu, 8 Ogos. - Sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2007 yang diraikan setiap bulan Ogos setiap tahun satu aktiviti 'Gelombang Sejagat Pemberian Susu Ibu Selama 1 Minit Penyusuan' diadakan serentak di seluruh hospital di negara ini.

Di daerah ini seramai lebih 30 orang ibu bersama anak-anak damit mereka berumur antara 0 hingga dua tahun yang tinggal di kawasan sekitar Kuala Belait, Seria dan Liang-Lumut menyertai aktiviti tersebut di Hospital Suri Seri Begawan (SSB).

Dalam aktiviti tersebut ibu-ibu berkenaan serentak memberikan anak-anak damit mereka pemberian susu ibu tepat jam 10.00 pagi selama satu minit.

Pemangku Pegawai Jururawat Hospital SSB, Dayang Hajah Yuliana Abdullah ketika ditemui berkata pihak hospital berharap ibu-ibu tersebut mengamalkan dan meneruskan pemberian penyusuan susu ibu kepada anak-anak damit mereka selama dua tahun secara eksklusif, di samping menjadikannya sebagai budaya hidup.

Menurutnya pemberian susu ibu sangat baik, penuh khasiat dan selamat kerana ia mencegah anak-anak damit dari sebarang penyakit seperti cirit-birit dan sindrom mati mengejut selain itu susu ibu juga lebih ekonomi berbanding pemberian susu-susu lain seperti susu tepung dan sebagainya.

Aktiviti dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Sambutan Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia. Gelombang Sejagat Pemberian Susu Ibu diadakan pertama kali di bawah rancangan Perikatan Sedunia Bagi Tindakan Penyusuan Susu Ibu (WABA) dan Penyusuan Susu Ibu bagi Kanak-kanak, Republik Filipina dengan tujuan bagi memberi kerjasama pendidikan di kalangan negara dalam mengawal, mempromosi dan membantu penyusuan susu ibu.

Pada majlis itu penyampaian cenderahati diberikan kepada ibu-ibu yang menyertai aktiviti tersebut yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hospital SSB, Kuala Belait, Awang Muhammad Jamal bin Haji Tarsad.

Sempena memperingati sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pelbagai aktiviti dijalankan di hospital-hospital seluruh negara, umpamanya di Daerah Brunei dan Muara diadakan walkaton pada 12 Ogos dan di Hospital SSB Kuala Belait pula diadakan Hari Keluarga Ria pada 31 Ogos dengan mengadakan jualan bazar antaranya jualan makanan asean, 'garage sale', permainan kanak-kanak seperti bouncer, menunggang motosikal dan bermacam lagi.

Menurut Dayang Hajah Yuliana Abdullah semua aktiviti jualan menggunakan kupon dan separuh daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada Tabung Aktiviti Penyusuan Susu Ibu.


Susu ibu penting bagi pertumbuhan fizikal dan mental

BANGAR, Ahad, 5 Ogos. - Para ibu-ibu di Daerah Temburong diseru untuk memberikan susu ibu kepada anak-anak damit mereka kerana ia penting bagi pertumbuhan fizikal dan mental.

Dalam pada itu dengan pemberian susu ibu secara langsung dapat merapatkan hubungan antara anak dengan ibu khususnya dalam proses penyusuan, di samping ianya berkhasiat.

Dayang Hajah Zubaidah binti Haji Salleh, menyatakan perkara tersebut di Pertandingan Kanak-kanak Sihat bagi Daerah Temburong selaku Pengerusi pertandingan yang diadakan di Dewan Belalong Kompleks Dewan Masyarakat di sini.

Selain dari itu katanya, dalam memastikan kanak-kanak tersebut sihat para ibu perlu mematuhi nasihat doktor khususnya dalam pemberian imunisasi kanak-kanak.

Pertandingan yang disertai lebih 80 kanak-kanak ini dibahagikan kepada empat kategori dan ini merupakan acara tahunan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dikelolakan oleh Majlis Perkumpulan Wanita Daerah Temburong.

Dalam kategori ‘A’ bagi kanak-kanak yang berumur 6 hingga 9 bulan dimenangi oleh Syifa Wajihah binti Abdul Aziz dan diikuti tempat kedua, Syaheerah Nasasha binti Abdul Muhaiminin dan diikuti tempat ketiga, Nurul Alia Amani binti Haji Rosley.

Kategori ‘B’ bagi kanak-kanak yang berumur 9 hingga 12 bulan, tempat pertama dimenangi oleh Aaron bin Bina, tempat kedua dimenangi oleh Mohd. Aqmar Raziq bin Faidzel dan tempat ketiga, Abdul Fadhlullah bin Abdul Momin.

Manakala dalam kategori kanak-kanak yang berumur 12 hingga 18 bulan iaitu kategori ‘C’ dimenangi oleh Dk. Nurul Rasyidah Ariyani binti Pg. Ariffin, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Nur Syahmina Aqilah binti Md. Nur Afiffin dan Siti Nurul Aziqah binti Abd. Rahim.

Sementara kategori ‘D’ bagi kanak-kanak yang berumur 18 hingga 24 bulan dimenangi oleh Syasya Zahirah binti Hasmadi dan diikuti tempat kedua, Nur Ezzatul Aneesa binti Ramli dan ketiga dimenangi oleh Ali Hashim bin Haji Nasib.

Hadir menyempurnakan hadiah kepada pemenang ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Dayang Hajah Kasma binti Haji Mohiddin.

Menurut salah seorang pegawai kesihatan yang menghakimkan peraduan tersebut menjelaskan penghakiman dibuat berdasarkan kepada kesihatan keseluruhan kanak-kanak yang ikut bertanding, di samping dinilai tentang cara penjagaan yang diberikan, pemberian susu ibu, kekerapan hadir ke pusat-pusat kesihatan bagi membuat pemeriksaan seperti pemberian suntikan dan sebagainya.


Lulusan MJPAPRSB dapat tembusi pasaran kerja a’bangsa

GADONG, Rabu, 1 Ogos.- Para jururawat lulusan Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MJPAPRSB) bukan sahaja berkemampuan di pasaran pekerjaan tempatan bahkan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Ini kerana pada tahun ini maktab tersebut telah menerima pelajar-pelajar kejururawatan di bawah Dermasiswa Parkways Hospitals Singapore Pte. Ltd., Singapura.

Menurut Timbalan Setiausaha Tetap (Perancangan Dasar) Kementerian Pendidikan, Awang Haji Mohd. Daud ia merupakan perkembangan positif yang menunjukkan bahawa program kejururawatan yang dikendalikan oleh maktab tersebut mendapat kepercayaan.

Dengan jalinan kerjasama dua hala itu katanya, semua pihak yang terlibat terutamanya para pelajar akan memperolehi manfaat yang amat berguna dan akan dapat menunjukkan prestasi yang membanggakan dari semasa ke semasa dan seterusnya memberikan cabaran kepada pelajar-pelajar lain.

Sehubungan itu beliau menyeru khususnya pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar maktab amnya supaya akan dapat menggunakan kesempatan dan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk meraih kejayaan dengan tidak mengenal erti putus asa.

"Pelajar-pelajar haruslah peka akan perkembangan semasa dan berani mempraktikkan segala ilmu pengetahuan yang dipelajari di Maktab Jururawat ini," ujarnya di Majlis Memulakan Kursus dan Orientasi Bagi Pelajar-pelajar Diploma Kejururawatan Ke-22, Diploma Kejururawatan (Conversion) Pengambilan Ke-8, Diploma Perbidanan Pengambilan Ke-4 dan Sijil Kejururawatan berlangsung di maktab tersebut di sini.

Dari 91 orang pelajar yang diterima bagi mengikuti Program Kejururawatan Sesi 2007-2010, 22 pelajar mengikuti Program Diploma Perbidanan Sesi 2007-2010 pengambilan keempat dan tujuh orang Pembantu Jururawat Terlatih dari Kementerian Kesihatan melalui skim latihan dalam perkhidmatan bagi Program Diploma Kejururawatan (Conversion Programme) Sesi 2007-2009.

Sementara itu seramai 29 orang lagi mengikuti Program Sijil Kejururawatan bagi sesi 2007-2009 bagi pengambilan kedua.

Menurut Pemangku Timbalan Pegetua MJPAPRSB, Awang Haji Julaini dan beberapa orang pelajar yang mengikuti Diploma Kejururawatan adalah penerima-penerima Biasiswa Gleneagles Jerudong Park Medical Centre.

Selain dari pembantu jururawat terlatih dari Kementerian Kesihatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Jabatan Penjara juga menghantar beberapa orang kakitangan bagi mengikuti berbagai program kejururawatan yang ditawarkan di maktab tersebut.

Pada pengambilan kali ini, beberapa orang pelajar luar negeri termasuk dari Republik Filipina, Republik Indonesia dan Nepal juga akan juga mengikuti kursus di MJPAPRSB.


Derma darah amalan terpuji

SERIA, Khamis, 16 Ogos. - Lebih 80 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah menderma darah di kempen menderma darah bagi Pusat Perkhidmatan Simpanan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Ketua Penyelia Simpanan Darah hospital tersebut, Awang Haji Ibrahim bin Haji Bakar ketika ditemui merasa sangat terharu dengan sambutan yang amat memberangsangkan dari penderma yang datang ke dewan serbaguna sekolah tersebut beramai-ramai bagi menjayakan kempen tersebut berbanding tahun lalu. Kempen diadakan dua kali setahun di sekolah itu.

Katanya aktiviti pendermaan darah merupakan satu amalan membanggakan dan kita di Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana mempunyai penderma-penderma yang bersedia tampil ke hadapan untuk mendermakan darah secara sukarela.

Katanya, lagi kempen tersebut penting kerana tabung darah terus memerlukan bagi membantu pesakit kanser, leukemia, mangsa kemalangan, pesakit yang menjalani pembedahan, pesakit obstetrik dan sakit puan, anak damit yang lahir pramasa, kes kebakaran, mangsa cedera parah dan pesakit yang menghidap penyakit darah seperti ‘thalassemia’, ‘haemophilia’ dan lain-lain.

Beliau memberi keyakinan kepada mereka yang ingin hendak mendermakan darah tidak perlu ragu-ragu berbuat demikian kerana sebelum menderma darah kesihatan mereka akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan mereka dalam keadaan sihat selain peralatan yang digunakan bebas daripada kuman dan virus serta dipakai buang.

Beliau menjelaskan penderma boleh mendermakan darah setiap tiga bulan bagi lelaki dan empat bulan bagi wanita. Beliau seterusnya menasihatkan penderma walaupun proses pendermaan darah hanya mengambil masa 15 minit, mereka perlu rehat selama satu jam dari masa tiba sehingga selesai menderma.

Selain itu katanya, penderma harus berusia 18 hingga 60 tahun, mempunyai berat badan tidak kurang daripada 50 kilogram dan bebas dari selesema, demam panas dan penyakit-penyakit lain sewaktu menderma darah.

"Selepas menderma darah, rehat selama 15 minit di ruang yang disediakan sambil menikmati jamuan, minum banyak air dalam masa 24 jam, tidak boleh melakukan kerja berat dalam masa 24 jam dan tidak boleh merokok sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam," jelasnya.

Orang ramai yang ingin menderma darah boleh berbuat demikian dengan pergi terus ke Unit Pendermaan Darah Perkhidmatan Makmal Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Tutong serta tempat diadakan kempen menderma darah.