PUASA-PUASA
YANG DIMAKRUHKAN
Puasa-puasa yang
dimakruhkan itu ialah:
PUASA HARI
JUMAAT ATAU HARI SABTU ATAU HARI AHAD SEMATA-MATA
Adalah makruh
berpuasa pada hari Jumaat satu satunya sahaja tanpa di sambung sebelum atau sesudahnya
dengan puasa yang lain. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu anhu berkata,
telah bersabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya:
"Jangan kamu berpuasa pada hari Jumaat sahaja."
(Hadits riwayat
Ahmad)
Tetapi jika
digabungkan puasa hari jumaat itu dengan satu hari puasa yang lain sama ada di sebelumnya
atau sesudahnya, maka tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
Radhiallahu anhu berkata, aku mendengar Rasulullah Shallahu alaihi wasallam
bersabda :
Maksudnya:
"Jangan berpuasa salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat melainkan (dia
berpuasa) sehari sebelumnya atau selepasnya."
(Hadits riwayat
Bukhari)
Adapun dihukumkan
makruh hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari yang
diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada
saudara perempuannya sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
"Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah ke
atas kamu. Jika seorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan)
melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya. (supaya
kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu)"
(Hadits riwayat
Tirmidzi)
Maka oleh kerana
itu juga dimakruhkan hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Ahad kerana hari itu
adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nasrani. Diriwayatkan oleh An-Nasai
bahawa hari-hari yang paling banyak Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam melakukan
puasa ialah hari Sabtu dan Ahad (dengan bergabung), dan baginda bersabda:
Maksudnya:
"Sesungguhnya Sabtu dan Ahad adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku
suka supaya aku menyalahi mereka." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603 dan Tuhfah Al-Muhtaj
3/458)
Jika dilakukan
puasa dua hari tersebut (Sabtu dan Ahad) bersama-sama atau didahului puasa hari Sabtu itu
dengan berpuasa pada hari Jumaat atau disambung puasa hari Ahad itu dengan berpuasa pada
hari Isnin, maka tidaklah dihukumkan makruh kerana sedemikian itu tidak diagungkan oleh
mana-mana kaum.
Dihukumkan makruh
berpuasa sehari semata-mata pada tiga hari tersebut (Jumaat, Sabtu dan Ahad) apabila tidak
ada sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Apabila ada sebab lain yang menganjurkan
untuk berpuasa seperti bertepatan hari tersebut dengan puasa hari Arafah,
Asyura atau hari tersebut bertepatan dengan puasa orang yang melakukan puasa
Nabi Daud (berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau ia melakukan puasa pada hari tersebut
kerana puasa qadha atau nazar, tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah Radhiallahu anhu daripada Nabi Shallallahu alaihi wasallam berkata:
Maksudnya:
"Jangan kamu mengkhususkan pada malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam)
daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan pada hari Jumaat untuk
berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali satu puasa yang (kebetulan bertepatan)
seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu)." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603, Fath
Al-Allam 4/165 dan Syarh Shahih Muslim 4274)
(Hadits riwayat
Muslim)
PUASA
SEPANJANG TAHUN SELAIN DUA HARI RAYA
DAN HARI-HARI TASYRIQ
Adalah makruh
hukumnya berpuasa sepanjang tahun selain dua hari raya dan hari-hari Tasyriq bagi sesiapa
yang takut akan kemudaratan atau terabai hak sama ada yang wajib atau yang sunat.
Diriwayatkan daripada Atha bahawa Al-Abbas, seorang ahli syair mengkhabarkan
kepadanya bahawa dia mendengar Abdullah bin Amr Radhiallahu anhuma berkata:
Maksudnya:
"Telah sampai kepada Nabi Shallallahu alaihi wasallam bahawasanya aku terus
menerus berpuasa dan mengerjakan sembahyang malam. Sama ada baginda mengutus seseorang
kepadaku (untuk berjumpa baginda) atau aku sendiri yang menemui baginda. Maka baginda
bersabda: "Benarkah adanya dikhabarkan bahawa engkau berpuasa dan tidak berbuka dan
engkau mengerjakan sembahyanag malam dan tidak tidur? Puasalah sehari dan berbukalah
sehari, dan dirikanlah sembahyang malam dan tidurlah, sesungguhnya bagi dua matamu ke
atasmu mempunyai bahagian hak dan sesungguhnya bagi dirimu dan keluargamu ke atasmu
mempunyai bahagian hak" Dia berkata: "Sesungguhnya aku mempunyai kekuatan untuk
mengerjakan sedemikian" Baginda bersabda: Berpuasalah seperti puasa Nabi Daud
Alaihissalam" Dia berkata: "Bagaimana (puasa Nabi Daud
alaihissalam)?" Baginda bersabda: "Beliau berpuasa sehari dan berbuka
sehari dan dia tidak lari apabila bertemu musuh (tetap segar dalam menghadapi musuh di
medan pertempuran) Dia berkata: "Aku harus bagaimana (dalam hal ini) wahai Nabi
Allah?" Atha berkata: "Aku tidak mengetahui bagaimana disebut perihal
puasa sepanjang masa". Nabi bersabda sebanyak dua kali: "Tidak dianggap berpuasa
sesiapa yang berpuasa sepanjang masa."
(Hadits riwayat
Bukhari)
Tetapi bagi
sesiapa yang tidak takut akan kemudaratan dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada
pengabaian hak-hak, tidaklah dihukumkan makruh berpuasa bahkan disunatkan. (Lihat Mugni
Al-Muhtaj 1/603 dan Fath Al-Allam 4/165)
PUASA YANG
DIHARAMKAN
Puasa yang
diharamkan itu ialah:
Puasa pada
hari raya Aidilfitri, Aidiladha dan hari-hari Tasyriq
Adalah diharamkan
berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyriq (11,
12 dan 13 Zulhijjah). Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata:
Maksudnya:
"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menegah berpuasa dua hari
iaitu hari raya Adha dan hari raya fitri."
(Hadits riwayat
Muslim)
Manakala daripada
Nubaisyah Al-Hadzali berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya:
"Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari makan dan minum (bukan hari berpuasa)."
(Hadits riwayat
Muslim)
Puasa pada
hari Syak dan hari-hari separuh yang kedua bulan Syaban
Adalah haram
berpuasa sunat pada hari Syak iaitu pada 30 haribulan Syaban yang tersebar berita di
kalangan orang bahawa anak bulan Ramadan telah dilihat, akan tetapi tidak disabitkan oleh
hakim (pemerintah) kerana tidak dipersaksikan penglihatan anak bulan itu oleh seorang yang
adil atau ianya dipersaksikan oleh dua orang kanak-kanak atau beberapa orang perempuan
atau seorang hamba atau seorang fasik. Jika tidak ada tersebar berita tersebut maka
tidaklah dikatakan pada hari itu adalah hari Syak bahkan ia adalah termasuk hari-hari
daripada bulan Syaban. Begitu juga adalah diharamkan berpuasa sunat pada hari-hari
separuh yang kedua bulan Syaban (16 hingga 30 Syaban) tanpa ada sebab.
Diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir berkata: (Lihat Ianah Ath-Thalibin 2/309
dan Al-Qamus Al-Fiqhi 201)
Maksudnya:
"Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang syak padanya manusia (hari Syak) maka
sesungguhnya dia telah menderhakai Abu Al-Qasim Shallallahu alaihi wasallam."
(Hadits riwayat
Tirmidzi)
Manakala
diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata, bahawa Rasulullah
Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
"Apabila telah masuk separuh bulan Syaban maka janganlah kamu berpuasa."
(Hadits riwayat Abu
Daud)
Jika seseorang
itu berpuasa pada hari Syak atau pada separuh kedua bulan Syaban dengan ada sebab
seperti puasa qadha, nazar dan kaffarah atau kebetulan bertepatan hari syak itu dengan
puasa yang pada adatnya dia berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis dan puasa sehari
dan berbuka sehari atau dia telah berpuasa pada 15 Syaban dan berterusan puasanya
itu tanpa berbuka hingga ke hari Syak, maka baginya dibolehkan berpuasa pada hari Syak dan
separuh kedua bulan Syaban itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu
anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: (Lihat
Ianah Ath-Thalibin 2/309 dan Fath Al-Allam 4/151-152)
Maksudnya:
"Jangan kamu dahului bulan Ramadan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari
melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan) dia berpuasa (pada adatnya hari
itu).
(Hadits riwayat
Muslim)
Puasa
seorang isteri tanpa
keizinan suaminya yang berada di dalam negeri
Adalah haram bagi
seorang isteri berpuasa sunat atau puasa qadha muwassa (yang mempunyai masa yang
panjang lagi untuk diqadha) tanpa keizinan suaminya yang berada di dalam negeri. Ini
adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu,
daripada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda: (Lihat Tuhfah Al-Muhtaj
3/461)
Maksudnya:
"Janganlah seorang perempuan (isteri) berpuasa sedangkan suami ada (di dalam negeri)
melainkan dengan keizinan suami; dan janganlah dia mengizinkan (orang lain) masuk rumah
suami sedangkan suami ada, melainkan dengan keizinan suami; dan apa pun yang dia nafkahkan
dari hasil kerja suami tanpa perintah suami, maka separuh pahala itu adalah bagi
suami."
(Hadits riwayat
Muslim)
Demikianlah
disebutkan puasa-puasa yang sunat, makruh dan haram. Di antaranya ada yang dihubungkan
hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan bersempenakan hari-hari tertentu dan ada
pula dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan keadaan diri orang yang
berpuasa. Semoga ia akan menjadi panduan dan rujukan ringkas dalam mengerjakan ibadah
puasa-puasa sunat sepanjang tahun.