Islam adalah
agama yang cukup prihatin terhadap budi pekerti dan tingkah laku umatnya.
Kebaikan dan kecantikan tingkah laku yang diamalkan oleh umat Islam, bukan
sahaja boleh menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan aman dan damai,
malah menjadi model atau contoh yang baik kepada penganut agama lain.
Kerana keindahan Islam dalam berbagai aspek itu, mendorong banyak
orang-orang di luar Islam memeluk Islam.
Dari aspek
hubungan sesama manusia umpamanya, Allah menjelaskan di dalam Al-Qur‘an
bagaimana menjaga kesejahteraan masyarakat dan individu termasuk menjaga
pertalian antara satu sama lain. Demi menjaga kesejahteraan, maka membuat
sebarang janji hendaklah ditepati. Menepati janji itu adalah tuntutan
syara‘, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan
sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya
perjanjian itu akan ditanya”.
(Surah Al-Isra’:
34)
Ayat ini
memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan
janji. Oleh kerana itu jangan mudah kita membuat janji, kalau janji itu
dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi.
Pendidikan
memenuhi janji itu boleh kita dapati daripada amalan-amalan berbagai
ibadat yang kita lakukan, umpamanya sembahyang yang kita tunaikan dalam
waktunya. Lebih-lebih lagi jika dilakukan di awal waktunya adalah suatu
janji. Ini janji kita dengan Allah. Kalau kita telah biasa memenuhi janji
dengan Allah, nescaya kita boleh mendisiplinkan diri meneguhi janji dengan
sesama manusia, kerana setiap perjanjian itu akan ditanya, ertinya akan
dipertanggungjawabkan.
Kekuatan kita di
antara lain diasaskan dengan berpegang teguh dengan tali Allah dan tali
manusia. Tali dengan sesama manusia itu janji. Oleh kerana itu melepaskan
ikatan daripada kedua-dua tali ini, akibatnya akan ditimpakan kehinaan di
mana saja kita berada. Inilah peringatan Allah di dalam firmanNya:
Tafsirnya:
“Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka
berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab
daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada
Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang
demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah
(perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-Nabi dengan tiada alasan
yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa
mencerobohi (hukum-hukum Allah).”
(Surah Ali Imran:
112)
Bahkan antara
sifat mengerjakan kebajikan itu ialah orang-orang yang menyempurnakan
janjinya apabila mereka berjanji dan mereka itu adalah orang-orang yang
bertaqwa. Sifat ini adalah urutan daripada sifat al-birr (kebajikan) di
mana sebelumnya disebut perkara kebajikan itu hanya menghadapkan muka kamu
ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang
kepada Allah, hari akhirat, segala Malaikat, segala kitab-kitab, sekalian
Nabi-nabi: dan mendermanya seseorang akan hartanya (sedang ia
menyayanginya) kepada keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang
yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang yang meminta (bantuan) dan
untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjakannya seseorang akan
sembahyang dan mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang
menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian. Hal ini
dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan
orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji. Mereka
itulah orang-orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan
mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah:
177)
Ini bererti
bahawa orang Islam mestilah menyempurnakan janji-janjinya. Sebaliknya
mungkir janji atau sengaja tidak mahu menyempurnakan janjinya di mana
orang sedemikian tergolong dalam golongan orang-orang munafiq. Hal orang
munafiq ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya:
“Dari tanda-tanda orang munafiq itu ada tiga iaitu jika dia bercakap dia
berbohong dan jika dia berjanji dia mengingkari janji dan jika diamanahkan
dia khianat”.
(Hadis riwayat
Muslim)
Munafiq juga
adalah satu sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat. Hal ini
dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu di tempatkan pada tingkatan yang
terkebawah sekali daripada (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau
tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka”.
(Surah An-Nisa’:
145)
Demikian,
keburukan orang-orang yang sengaja mungkir janji sebagaimana yang
disebutkan oleh Al-Qur‘an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Walau bagaimanapun, orang yang berjanji dan dia berazam akan
menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh suatu keuzuran yang
menyebabkan janji tersebut tidak mampu disempurnakan, maka tidaklah dia
termasuk dalam golongan munafiq itu.
Bersambung