Puasa adalah ibadat yang berkesan
sekali dalam mengendalikan hawa nafsu sekaligus dapat menyinari hati dan mendidik seluruh
anggota sehingga ke martabat taqwa, kerana puasa yang sebenar-benarnya bukan hanya menahan
perut dan kemaluan serta mengecap keinginan syahwat bahkan mengekang pancaindera daripada
melakukan perkara-perkara dosa dan haram. Akhirnya berpuasa hati dari segala cita-cita
yang kotor dan pemikiran keduniaan yang boleh memesongkan perhatian selain Allah.
Dari segi ganjaran puasa, bahawa
tidak ada satu amal ibadat pun yang tidak ditentukan dan dibataskan ganjaran pahalanya
selain dari ibadat puasa. Sesungguhnya ganjaran pahala orang yang melakukan ibadat puasa
tidak ditetapkan dengan satu jumlah dan tidak pula dihadkan dengan satu had tertentu.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu daripada Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Segala
amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700
kali ganda. Allah berfirman: "Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu
dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah
meniggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku."
(Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini menerangkan bahawa
segala amalan manusia itu dihadkan atau dibatasi oleh Allah ganjarannya daripada sepuluh
sampai 700 kali ganda, tetapi tentang puasa tidaklah sedemikian. Dalam erti kata lain
tidak dibataskan ganjarannya oleh angka atau jumlah yang tertentu, bahkan terserah kepada
Allah yang Maha Kaya memberikan pembalasan yang setimpal dengannya. Ini tidak lain tidak
bukan adalah menggambarkan bahawa betapa besarnya dan istimewanya ibadat puasa di sisi
Allah.
Lebih daripada itu lagi, Allah
Subhanahu wa taala menyediakan sebuah pintu di dalam Syurga yang dikhususkanNya bagi
orang yang berpuasa untuk memasukinya di hari Kiamat nanti sebagaimana diriwayatkan
daripada Sahl bin Sad Radhiallahu anhu daripada Nabi Shallallahu alaihi
wasallam bersabda:
Maksudnya:
"Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana
pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain
mereka memasukinya. Dikatakan: "Dimanakah orang-orang yang berpuasa?" Maka
mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorangpun selain mereka yang
memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada
seorangpun yang masuk dari padanya."
(Hadits riwayat Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu
Said Al-Khudri Radhiallahu anhu berkata, aku mendengar Nabi Shallallahu
alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Barangsiapa
yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api
neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun."
(Hadits riwayat Bukhari)
Di dalam Islam di samping puasa
fardhu yang diwajibkan di bulan Ramadan, ada disyariatkan juga puasa-puasa sunat yang
dikerjakan di luar bulan Ramadan. Puasa sunat mempunyai beberapa perbezaan daripada puasa
fardhu yang dikerjakan di bulan Ramadan dari berbagai-bagai segi. Di antaranya:
- Orang yang dalam mengerjakan puasa sunat atau
lain-lain perkara yang sunat seperti sembahyang kecuali haji dan umrah adalah harus
baginya memutuskan (tidak wajib menyempurnakan) puasanya itu berdasarkan sabda Rasulullah
Shallalahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Orang
yang dalam berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan
jika dia mahu dia berbuka."
(Hadits riwayat Imam Ahmad)
Akan tetapi adalah dihukumkan
makruh jika dia memutuskan puasa sunatnya itu tanpa ada sesuatu keuzuran bagi keluar
daripada perselisihan pendapat yang mengatakan wajib disempurnakan apabila seorang itu
telah masuk mengerjakan puasa sunat berdasarkan zahir firman Allah di dalam surah Muhammad
ayat 33:
Tafsirnya: "Dan
janganlah kamu batalkan amalan-amalan kamu."
Jika dia keluar dari puasanya itu
dengan sebab ada sesuatu keuzuran seperti menolong tetamu yang merasa keberatan untuk
dijamu makan secara bersendirian maka tidaklah dihukumkan makruh bahkan disunatkan baginya
berbuka. Namun berpuasa adalah lebih afdhal jika tidak ada keberatan atau kesukaran dari
mana-mana pihak untuk menjamu makanan. Maka dengan itu, orang yang berbuka puasa tanpa ada
keuzuran, tidak ada pahala bagi puasanya itu manakala orang yang berbuka puasa kerana ada
sebab keuzuran dikurniakan pahala bagi puasanya itu walaupun ianya tidak sempurna
dilakukan. (Lihat Tuhfah Al-Muhtaj 3/460)
Adalah disunatkan juga bagi orang
yang mengerjakan puasa sunat jika dia memutuskannya sama ada disebabkan keuzuran atau pun
tidak, supaya mengqadha puasanya itu sebagai mengambil kira pendapat yang mengatakan wajib
mengqadhanya kerana menyempurnakannya adalah wajib disisi mereka iaitu imam-imam yang tiga
(Imam Hanafi, Maliki dan Hambali Rahimahumullah). (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/604 dan Fath
Al-Allam 4/167)
2. Tidak disyaratkan berniat di
malam hari dalam mengerjakan puasa-puasa sunat kerana akhir waktu untuk berniat bagi
puasa-puasa sunat itu adalah sebelum tergelincir matahari (waktu zuhur) berdasarkan hadits
yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha berkata:
Maksudnya: "Bersabda
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam kepadaku pada satu hari: "Wahai Aisyah!
Adakah di sisi kamu sesuatu (untuk dimakan)?" Aisyah berkata, aku berkata:
"Wahai Rasulullah! Tidak ada di sisi kita sesuatu pun (untuk dimakan)" Baginda
bersabda: "(Jika begitu) maka aku berpuasa."
(Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga tidak disyaratkan
dalam mengerjakan puasa-puasa sunat di dalam berniat mentayin (menentukan
jenis puasa seperti puasa hari isnin, Arafah, Asyura dan sebagainya). Ia sah
dilakukan dengan berniat mutlaq sahaja seperti katanya:
Ertinya: "Sahaja aku
berpuasa"
Imam Nawawi berkata: "Adalah
wajar supaya disyaratkan tayin di dalam puasa yang beriringan seperti puasa
hari Arafah, Asyura, puasa hari-hari Putih, Enam Syawal dan sebagainya
sebagaimana disyaratkan sedemikian itu di dalam Sembahyang sunat rawatib."
(Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/572,
Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah 28/87-88 dan Ianah Ath-Thalibin 2/252)
PUASA-PUASA
SUNAT ITU IALAH : PUASA ENAM
Puasa enam ialah puasa sunat yang
dikerjakan sebanyak enam hari di dalam bulan Syawal. Ia boleh dikerjakan berselang seli di
dalam bulan Syawal, tetapi mengerjakannya berturut-turut selepas hari raya adalah terlebih
afdhal. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu anhu berkata bahawa
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Barangsiapa
yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal,
adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun."
(Hadits riwayat Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak
enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadan diibaratkan
seperti berpuasa di sepanjang tahun berdasarkan perkiraan setiap kebajikan itu dibalas
dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadan selama 29 atau 30
hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu
disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini
diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat daripada Tsauban bahawa Rasulullah
Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
"Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan
berpuasa enam hari selepasnya (dibulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka
yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun."
(Hadits riwayat Ad-Darimi)
PUASA HARI ARAFAH
Puasa hari Arafah ialah puasa
sunat pada hari kesembilan Zulhijjah yang disunatkan kepada orang-orang yang tidak
melakukan ibadat haji. Kelebihan berpuasa pada hari itu menghapuskan dosa-dosa setahun
yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang sebagaimana diriwayatkan daripada Abu
Qatadah Al-Anshari berkata:
Maksudnya: "Dan
ditanya (Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam) tentang berpuasa di hari Arafah?
Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan
datang."
(Hadits riwayat Muslim)
Manakala bagi orang-orang yang
melakukan ibadat haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan
adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan
apa yang diriwayatkan daripada Ummu Al-Fadhl binte Al-Harits berkata:
Maksudnya: "Bahawa
beberapa orang di sisinya di hari Arafah membicarakan puasa Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam (di hari Arafah). Sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa
Baginda berpuasa dan sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa Baginda tidak berpuasa.
Maka aku hantar kepada Baginda segelas susu yang pada ketika itu Baginda berada di atas
untanya, lalu Baginda meminumnya."
(Hadits riwayat Muslim)
Disunatkan juga berpuasa pada
hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah) sebagai langkah
berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9
Zulhijjah (Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari iaitu dari hari yang
pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan
haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari Arafah berdasarkan hadits yang
diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu, daripada Nabi Shallallahu
alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Tidak
ada hari-hari yang lebih dicintai oleh Allah untuk dilakukan ibadah kepadaNya daripada
sepuluh hari di bulan Zulhijjah, dimana satu hari berpuasa daripadanya (sebanding) dengan
puasa satu tahun dan mendirikan ibadah satu malam daripadanya (sebanding) dengan
mendirikan ibadah pada lailatulqadar."
(Hadits riwayat Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain yang
diriwayatkan daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah
isteri-isteri Nabi Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam adalah melakukan puasa sembilan hari di awal
bulan Zulhijjah, di hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin
yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya."
(Hadits riwayat An-Nasai)