Dalam keghairahan
menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang
digariskan oleh Syara dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang
atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-
perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Taala khusus
kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan
Ramadhan.
Apakah adab-adab
dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?
Banyak fadilat
atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan
perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara untuk kita melakukannya ialah
menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan
sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa
ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.
Al-Imam Al-Syafie
Rahimahullahu Taala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara
malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya
Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu
sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya
Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Syaban.
Perlu diingat
juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan
mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat
yang shahih.
Kemeriahan Hari
Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu
semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk
melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Taala. Allah
memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan
takbir.
Ucapan takbir
pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan
untuk menyambut kedatangan Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita
mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam
Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah
Taala:
Tafsirnya:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah
atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah :
185)
Di pagi Hari Raya
pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas
dan Al-Fakih bin Sad Radhiallahu anhum bahawa Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini
dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
Di samping itu
disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan
menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar
pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah,
kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan
daripada Jafar bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya:
"Bahawasanya Shallallahu alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis
(untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."
(Hadits riwayat
Al-Syafie dan Al-Baghawi)
Sebelum keluar
pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan
minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu anhu,
beliau berkata:
Maksudnya:
"Nabi Shallallahu alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah
sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam
bilangan ganjil."
(Hadits riwayat
Al-Bukhari dan Ahmad)
Selain itu, Hari
Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama
muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:
Ertinya:
"Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."
Daripada Jubair
bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabien (orang-orang yang datang
setelah Sahabat Nabi Shallallahu alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya):
"Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam apabila mereka
berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:
Ertinya:
"Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."
Menurut pandangan
jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang
disyariatkan di dalam Islam.
Al-Imam
Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah
pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara
yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang
diitimadkan.(Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)
Manakala itu
pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan
sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya.
Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di
dalam Islam.
Dalil yang
menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu
anha, beliau berkata:
Maksudnya:
"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua
orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Buats. Lalu Baginda baring di
atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku
dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu alaihi
wasallam!" Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar
lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda
menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah
Hari Raya kita."
(Hadits riwayat
Al-Bukhari)
Al-Hafizh Ibnu
Hajar Al-Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau
masuknya Abu Bakar Radhiallahu anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu anhu datang
sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu alaihi
wasallam ke dalam rumah Baginda.
(Al-Fath Al-Baari,
Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)
Sehubungan dengan
perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya
sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah
meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah
pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih
waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.
Dalam keghairahan
menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada
Allah Taala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan
pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.
Apa yang di
harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau
keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan
dan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan
keredhaan Allah Subhanahu wa Taala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan
Hari Raya Idulfiri.