.
PERSOALAN DARAH KETIKA HAMIL
(BILANGAN 204 BAHAGIAN PERTAMA)
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Kehamilan berlaku ke atas seorang wanita setelah terjadi persenyawaan atau pembuahan di dalam rahim akibat hubungan wati’ (persetubuhan). Maka hamil itu bererti keadaan seorang wanita yang mengandung anak atau janin di dalam rahimnya.
Pada kebiasaannya tempoh kehamilan itu berlaku selama sembilan bulan ke atas. Ulama fiqh berselisih pendapat mengenai tempoh kehamilan tersebut. Walaubagaimanapun menurut Imam al-Qurtubi ulama sepakat mengatakan tempoh minima kehamilan itu tidak kurang daripada enam bulan.
Begitu juga ulama fiqh berbeza pendapat mengenai tempoh maksima kehamilan. Menurut Imam Syafi‘e ia boleh berlaku sehingga empat tahun, kerana ada riwayat daripada al-Baihaqi mengatakan perempuan Bani Muhammad bin ‘Ijlan mengandung selama empat tahun.
![]()
Maksudnya: Dari Walid bin Muslim berkata: “ Aku telah berkata kepada Malik Bin Anas: Aku telah berbual dengan ‘Aisyah radhiallahu anha dan ia berkata: “ Kandungan seorang perempuan yang hamil tidak lebih dari dua tahun seperti kadar masa memintal benang. Maka Anas bin Malik berkata: “ Maha suci Allah siapa yang berkata demikian? Seorang perempuan jiran kami iaitu isteri Muhammad bin ‘Ijlan dia seorang perempuan yang berkata benar dan suaminya juga seorang yang berkata benar, dia telah mengandung sebanyak tiga kali selama dua belas tahun iaitu, empat tahun bagi setiap kandungan.”
( Hadis riwayat Baihaqi )
Pendarahan ketika hamil
Wanita yang sedang hamil, jarang sekali berlaku pendarahan, lebih-lebih lagi pada awal kehamilannya. Ini kerana anak yang berada dalam kandungan telah menyebabkan pintu rahim tertutup dan mengakibatkan darah tidak keluar, sehinggalah kandungan itu lahir.
Walaubagaimanapun bagi sesetengah kes, berlaku juga pendarahan ketika hamil. Persoalannya jika darah keluar ketika hamil, apakah ia dianggap sebagai haid atau darah fasad atau Istihadhah yang mana semua darah-darah ini mempunyai hukum tersendiri.
Apabila berlaku pendarahan ketika hamil, darah tersebut boleh dianggap sebagai darah haid atau darah fasad tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:-
1) Apabila darah keluar ketika hamil dan belum melahirkan anak, menurut pendapat yang shahih di dalam kitab al-Muhadzzab ia adalah darah haid, jika cukup syarat-syarat ke atas wanita yang keluar darah haid, seperti darah yang keluar itu tidak kurang dari satu hari satu malam ( tempoh minima ). Manakala tempoh haid yang paling maksima ( lama ) tidak lebih dari lima belas hari dan malamnya. Begitu juga tempoh di antara dua haid tidak kurang dari lima belas hari ( hari bersih di antara dua haid ). Jika ini berlaku maka wajiblah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang ketika berkeadaan haid.
2) Adapun darah yang keluar semasa sakit beranak ataupun yang keluar semasa melahirkan, terdapat dua pendapat:-
I. Jika perempuan yang hamil itu tidak dalam keadaan haid, sebelum melahirkan anak, maka darah tersebut adalah darah fasad. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh Khatib asy-Syarbini.
II. Darah tersebut ialah darah Istihadhah. Ini pula pendapat Imam al-Bakri pengarang kitab I‘anah Talibin.
Kedudukan tuntutan ibadat
Seseorang perempuan yang mengetahui dan yakin bahawa darah yang keluar itu adalah darah haid, maka dengan sendirinya ia dikecualikan daripada beberapa kewajipan ibadat seperti meninggalkan sembahyang tanpa wajib qadha dan menjauhi beberapa larangan seperti bertawaf, membaca al-Quran dan lain-lain perkara yang diharamkan ke atas mereka.
Bagaimana pula kedudukan ibadat perempuan yang menghadapi darah istihadhah dan darah fasad?
Adapun perempuan yang mustahadhah atau menghadapi darah fasad bukanlah ia dalam keadaan berhadas. Bagi mereka yang menghadapi sedemikian tidaklah gugur kewajipan sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat lain dan tidak pula ada larangan seperti yang dikenakan kepada perempuan yang sedang dalam haid atau nifas.
Perkara mustahadhah telah dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis baginda:
Maksudnya : “ Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha ia berkata: Fatimah binti Abi Hubaishi telah datang kepada Rasulullah sambil berkata: “ Saya seorang wanita yang dalam keadaan istihadhah (darah yang keluar setelah tempoh haid), namun saya tidak suci-suci. Apakah boleh saya meninggalkan sembahyang? Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Tidak, hal itu hanyalah pendarahan dan bukan haid. Apabila haid datang maka tinggalkanlah sembahyang. Apabila haid itu telah hilang, maka cucilah darah daripada mu, kemudian sembahyanglah. ” Dan ayahku berkata: “ Kemudian berwudhulah bagi setiap sembahyang sehingga waktunya datang (masuk waktu sembahyang)”
( Hadis riwayat Bukhari)