
VARIASI AKHLAK YANG MEMBINA KEKUATAN
DAN MEROSAK PERSAUDARAAN DALAM ISLAM(BILANGAN 161 BAHAGIAN PERTAMA)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Pembentukan dan pembinaan kekuatan tali persaudaraan sesama Islam bukan sahaja terjalin melalui hubungan darah kekeluargaan atau keturunan, akan tetapi Islam juga melihat bahawa ikatan persaudaraan itu melewati batasan tersebut dan merangkumi ikatan yang lebih global atas dasar kesatuan aqidah, di mana orang-orang Islam yang tidak ada pertalian darah kekeluargaan di antara sesama mereka masih tidak terputus hubungan persaudaraan, bahkan mereka itu tetap bersaudara kerana adanya ikatan melalui agama, iaitu agama Islam.'
Al-Qur’an telah menyifatkan bahawa ikatan persaudaraan di kalangan sesama Islam merupakan sebahagian daripada sebesar-besar nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa ta'ala. Ini jelas sebagaimana terungkap melalui firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”
(Surah Aali ‘Imraan, ayat 103)
Dalil-dalil Yang Menegaskan Tentang Persaudaraan:
Terdapat beberapa jumlah dalil yang terdiri daripada nash Al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang dapat dikemukakan sebagai sandaran bagi menyokong tuntutan Islam betapa pentingnya memelihara jalinan persaudaraan dalam Islam itu, antaranya ialah:
1. Firman Allah Ta ‘ala yang tafsirnya :
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah Al-Hujuraat, ayat 10)
2. Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang maksudnya :
“Seorang muslim itu adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain) tidak boleh menganiaya dan membiarkannya dianiaya.””
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
3. Diriwayatkan daripada An-Nu‘maan bin Basyeer Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam saling mencintai, menyayangi dan bertolong-tolongan di kalangan mereka umpama satu jasad, apabila sakit satu anggota jasadnya akan terasalah sekalian anggota ( yang lain sehinggakan) tidak dapat tidur malam dan demam.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4. Diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :
“Tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga dia mencintai terhadap saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Keseluruhan dalil-dalil yang dikemukan di atas memberi petunjuk dan penjelasan yang nyata bahawa setiap orang Islam itu adalah bersaudara tanpa dibatasi oleh darah keturunan, warna kulit, asal-usul bangsa, bahasa dan sebagainya. Oleh itu, tidak lain dan tidak bukan pertalian itu hanyalah terjalin melalui ikatan keimanan kepada Allah Subhanahu wa ta'ala dan Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam itu pula pesuruh Allah.
Contoh Ideal Dalam Persaudaraan Islam
Di zaman permulaan Islam di Madinah, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah mempersaudarakan tiap-tiap seorang dari kalangan Muhajirin (orang-orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah) dengan seorang yang lain dari kaum Anshar (penduduk Madinah). Ianya merupakan satu contoh yang ideal dalam suasana persaudaraan Islam. Al-Qur’an telah memaparkan tentang persaudaraan ini dengan gambaran yang elok, di mana Allah Subhanahu wa ta'ala memuji sikap orang-orang Anshar terhadap saudaranya yang berhijrah ke Madinah. Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman yang tafsirnya :
“Dan orang-orang (Anshar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah!) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Al-Hashr, ayat 9)
Begitulah sikap orang-orang Anshar terhadap orang-orang Muhajirin sebagaimana yang digambarkan oleh ayat di atas, mereka membela dan menolong Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dan saudara-saudara mereka yang berhijrah dalam keadaan kemiskinan. Orang-orang Anshar amat kasih dan tidak ada rasa benci terhadap saudara-saudara mereka yang baru datang berhijrah ke tempat mereka. Malahan mereka menaruh belas kasihan dan lebih mengutamakan saudara-saudara mereka yang baru datang sungguhpun mereka sendiri (orang-orang Anshar) berada dalam kesulitan.
Diriwayatkan di dalam hadits yang shahih oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam kerana kelaparan untuk meminta makanan. Lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam mengutus lelaki itu kepada isteri-isteri Baginda untuk meminta makanan. Isteri-isteri Baginda berkata: “Yang ada pada kami hanyalah air.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Siapakah yang akan menjamu orang ini?” Seorang laki-laki Anshar menjawab: “Saya.” Kemudian dia membawa pergi kepada isterinya, lalu berkata: “Muliakanlah tetamu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.” Isterinya menjawab: “Yang ada pada kita hanyalah makanan anak-anakku.”
Si suami berkata lagi: “Sediakanlah makanan, nyalakanlah lampu dan tidurkanlah anak-anakmu jika mereka hendak makan malam.” Lalu si isteri pun menyediakan makanan, menyalakan lampu dan menidurkan anak-anaknya. Selepas itu, si isteri bangun berdiri seolah-olah dia memperbaiki lampunya dan memadamkannya. Dengan demikian kedua-dua suami isteri itu dapat meyakinkan tetamu tadi seolah-olah keduanya sudah makan. Padahal kedua-dua mereka dalam keadaan lapar.
Pada waktu paginya, mereka berdua datang berjumpa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Semalam Allah meredhai perbuatan kamu berdua.” Lalu Allah Ta‘ala menurunkan ayat yang tafsirnya :
“Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah!) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
Sejarah juga telah mencatatkan betapa ketulusan dan kemurnian persaudaraan di antara mereka. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibrahim bin Sa‘d daripada bapanya yang meriwayatkan daripada datuknya, beliau berkata yang maksudnya :
“Ketika mereka (Muhajirin) tiba di kota Madinah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mempersaudarakan di antara Abdurrahman (bin ‘Auf) dan Sa‘d bin Rabee‘.
(Sa‘d) berkata kepada Abdurrahman: “Sesungguhnya aku adalah golongan Anshar yang terbanyak harta, maka aku membahagi hartaku dua bahagian, dan aku mempunyai dua isteri, lihatlah yang mana engkau lebih tertarik daripada keduanya, lalu sebutkan namanya kepadaku, maka aku akan menceraikannya. Kemudian jika sudah habis ‘iddahnya maka kahwinilah dia.”
Abdurrahman berkata: “Semoga Allah memberkati keluargamu dan hartamu, (akan tetapi) di manakah pasar kamu?”
Mereka menunjukkannya pasar Bani Qainuqaa‘…”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Sikap mendahulukan kepentingan orang lain dan kecintaan yang ditunjukkan oleh golongan Anshar terhadap saudara mereka golongan Muhajirin itu mencerminkan ketulusan dan keikhlasan mereka dalam menghubungkan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam yang jarang terdapat dan susah ditemui pada dunia zaman sekarang. Inilah perwatakan masyarakat Islam yang dibimbing dan dibangun oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam semasa di Madinah yang boleh dianggap sebagai model terbaik bagi masyarakat Islam sendiri dan masyarakat lain.
bersambung