
TAWASSUL SALAH SATU DARIPADA AJARAN ISLAM
(Bilangan 124 Bahagian Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah6. Bertawassul Dengan Peribadi Nabi
Bertawassul dengan peribadi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah banyak diriwayatkan di dalam hadis-hadis Baginda, di antaranya disebut dalam kitab Al-Majma‘ Az-Zawaid (9/414-415), riwayat daripada Anas bin Malik, bahawa Fatimah binti Asad bin Hasyim iaitu ibunda kepada Ali bin Abi Talib Radhiallahu ànhu telah meninggal dunia. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke tempatnya lalu duduk di sisi kepalanya dan bersabda:
Maksudnya: "Semoga Allah merahmatimu, wahai ibu setelah ibuku. Engkau berlapar tetapi engkau berikan aku kenyang, engkau kurang pakaian, tetapi engkau mencukupkan pakaianku, dan engkau tidak memakai wangi-wangian, tetapi engkau memberikan aku makanan. Kesemua ini engkau lakukan semata-mata kerana mencari keredaan Allah dan balasan akhirat." Kemudian Baginda menyuruh memandikannya tiga kali. Manakala hendak memandikannya dengan air yang bercampur dengan kapur (pewangi), maka Baginda sendiri menuangkan airnya dengan tangan Baginda. Kemudian Baginda menanggalkan baju luar Baginda dan memakaikannya kepada Ibu ‘Ali dan mengkafannya dengan kain lain di atasnya. Kemudian Baginda memanggil Usamah bin Zaid, Abu Ayyub dan ‘Umar bin Al-Khattab serta seorang budak hitam untuk menggali tanah bagi makamnya. Ketika mereka menggali sampai pada batas lahadnya, Rasulullah pun turut menggalinya, dan Baginda mengeluarkan tanah dengan tangannya sendiri, lalu Baginda berbaring padanya dan berdoa: "Allah yang menghidup dan mematikan, dan Dia sendiri hidup tiada akan mati. Ya Allah, ampunilah ibuku, Fatimah binti Asad, ajarkan hujahnya dan luaskanlah tempatnya demi hak NabiMu dan Nabi-nabi sebelum aku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengasihani dari segala yang pengasih. Baginda pun bertakbir empat kali dan mereka (iaitu) Baginda sendiri, Al-Abbas dan Abu Bakar, memasukkan mayat itu."
(Hadis riwayat At-Thabarani – dalam Kitab Al-Kabir & Al-Awsath)
(Al-Haitsami, Majma‘ az-Zawid: 9:414-415)
Dalam hadis yang lain, At-Thabrani dalam Mu’jam ash-Shaghir, al-Hakim, Abu Nu’aim dan al-Baihaqi dalam ad-Dalail, Ibnu ‘Asakir dalam Tarikhnya, dan As-Suyuthi dalam Ad-Durr Mantsur daripada ‘Umar bin Al-Khattab, menukil bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Ketika Adam melakukan dosa, dia mengangkat kepalanya ke arah langit dan berkata: "(Wahai Tuhan), aku memohon kepadaMu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku." Allah mewahyukan kepadanya: "Siapakah Muhammad?" Adam menjawab: "Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepalaku ke arah ‘arasyMu, dan aku melihat di sana tertulis: "Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah". Aku pun berkata kepada diriku, bahawa tiada seorang pun yang lebih agung daripada seorang yang namanya Engkau tuliskan di samping namaMu. Ketika itu Allah mewahyukan kepadanya: "Dialah Nabi yang terakhir dari keturunanmu, dan jika tidak kerana dia, nescaya Aku tak akan menciptakanmu."
(As-suyuti, ad-Durr, al-mantsur fi Tafsir al-ma‘tsur, 1:42)
Bolehkah Bertawassul Dengan Selain Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam?
Bertawassul selain daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak dihalang oleh Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya, daripada ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: "Bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling baik daripada kalangan Tabi‘ien ialah seorang lelaki dipanggil Uwais, dia mempunyai seorang ibu, dan dengannya ada tanda keputihan (sopak), maka kamu suruhlah dia (Uwais itu) untuk memintakan ampun bagi kamu."
(Hadis riwayat Muslim)
Di dalam riwayat lain pula menyebutkan:
Maksudnya: "Dia mempunyai seorang ibu yang dia (Uwais) berbuat baik kepadanya, jika dia bersumpah (memohon) kepada Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya. Oleh kerana itu jika engkau berupaya (mendapatkan Uwais) untuk memohonkan ampun bagimu, maka lakukanlah."
Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anh telah meminta Uwais mendoakannya supaya beliau diampunkan. Ini adalah dalil menunjukkan, bahawa bertawassul dengan doa orang-orang Islam itu adalah sesuatu yang harus yang diharuskan oleh syara‘, sekalipun sekiranya orang yang berdoa itu lebih rendah kedudukannya daripada orang yang didoakan.
Selain itu juga berlaku tawassul dengan hamba-hamba Allah dan malaikat yang tidak dilihat di dalam keadaan-keadaan tertentu sebagaimana hadis berikut ini:
Daripada ‘Utbah bin Ghazwan daripada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Apabila seorang daripada kamu kehilangan sesuatu atau memerlukan pertolongan sedangkan dia berada di suatu tempat yang tiada orang dapat menolongnya, maka hendaklah dia berseru: "Wahai hamba-hamba Allah, kamu tolonglah aku," sesungguhnya bagi Allah itu ialah hamba-hamba yang kita tidak nampak. Dan perkara ini telah dicuba"
(Hadis riwayat At-Thabrani)
Daripada Ibnu ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya bagi Allah itu ialah malaikat-malaikat di bumi selain Malaikat Hafazah, mereka itu bertugas menulis setiap helai daun pokok yang jatuh, maka apabila salah seorang daripada kamu sesat di bumi yang lapang (sahara) maka hendaklah dia berseru: "Kamu tolonglah aku wahai hamba-hamba Allah"
(Hadis riwayat At-Thabrani)
Terdapat sebuah hadis, bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa selepas Baginda itu menunaikan dua raka‘at sunat fajar:
Maksudnya: "Ya Allah, Ya Tuhan (yang menciptakan) Jibril, Israfil, Mikail dan Muhammad Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berlindung kepadaMu dari seksa neraka."
Berkata An-Nawawi dalam kitab Al-Azkar: Hadis ini riwayat Ibnu As-Sunni. Dan berkata Al-Hafiz selepas mentakhrijkannya, ia adalah hadis hasan. (Syarah Al-Azkar karangan Ibnu ‘Allan juz 2 m/s 139)
Adapun disebut secara khusus mereka itu (Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad) ialah dalam makna bertawassul dengan mereka. Seolah-olah dia berkata: Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dan aku bertawassul kepadaMu dengan Malaikat Jibril, Israfil, Mikail dan Muhammad Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku berlindung kepadaMu daripada seksa neraka.
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Qur‘an, hadis dan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, serta amalan para sahabat sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, maka tawassul itu adalah suatu yang memang wujud. Walau bagaimanapun hendaklah kita beriktiqad bahawa pengantara itu bukanlah ia yang memberi manfaat atau mudarat, kerana jika berkeyakinan bahawa pengantara itu boleh memberi manfaat atau mudarat; maka keyakinan sedemikian itu adalah salah kerana menyamai seperti Allah dan iktiqad tersebut boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah).