
TAWASSUL SALAH SATU DARIPADA AJARAN ISLAM
(Bilangan 124 Bahagian Ketiga)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
2. Melalui Zat, sifat-sifat, dan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jumhur ulama juga berpendapat bahawa tawassul melalui perkara-perkara tersebut di atas juga adalah termasuk tawassul yang disyari‘atkan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: "Hanya milik Allah al-Asmaa al-Husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala), maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut al-Asma’ al-Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
(Surah Al-‘Araf: 180)
3. Melalui Doa Orang Islam Yang Masih Hidup.
Bertawassul melalui doa orang Islam yang masih hidup, menurut Al-‘Allamah Ibnu Taimiyah, telapun disepakati oleh ulama akan keharusannya, kerana ianya memang terdapat di dalam Al-Qur‘an dan hadis Nabi. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."
(Surah Al-Hasr: 10)
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertawassul dengan ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anh. Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa ‘Umar bin al-Khattab berkata:
Maksudnya: "Aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: Wahai Saudaraku, sertakan kami dalam doamu, janganlah engkau lupakan kami."
(Riwayat At-Tirmizi)
4. Melalui panggilan
Bertawassul dalam bentuk ini ialah dengan memanggil orang yang paling dicintai, sehingga harapannya dapat terkabul. Menurut Muhammad Alwi al-Maliki, bertawassul seperti ini hukumnya harus. Alasannya disandarkan kepada beberapa riwayat, seperti riwayat Haitsam bin Khannas ini:
Ertinya: "Kami berada dekat Abdullah bin ‘Umar yang sedang sakit kakinya. Tiba-tiba seorang lelaki berkata: "Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai." Maka Abdullah bin ‘Umar pun berkata: "Wahai Muhammad, sehingga seakan-akan dia tidak pernah sakit."
Ertinya: "Mujahid meriwayatkan bahawa dia melihat seorang yang sakit kaki di sisi Ibnu Abbas. Lalu Ibnu Abbas berkata kepadanya. "Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai." Maka orang yang sakit itu pun menyebut nama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu rasa sakit dan lemah di kaki orang itu pun lenyap."
5. Melalui tabarruk dari peninggalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Muhammad Alwi Al-Maliki Al-Makki, mengatakan bahawa para sahabat telah mengambil berkah (tabarruk) dari berbagai bekas atau kesan peninggalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Menurutnya, tabarruk hanya mempunyai satu makna, iaitu bertawassul kepada Allah dengan peninggalan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Menurut Alwi Al-Maliki Al-Makki, bahawa pendapat yang tidak membenarkan tawassul dengan benda-benda atau kesan-kesan peninggalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah tidak boleh diterima. Alasannya, kerana para sahabat sendiri melakukannya untuk tujuan tabarruk yang bererti tawassul, umpamanya bertabarruk atau bertawassul dengan kuburan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab mengharapkan agar setelah meninggalnya dia akan dikuburkan di samping Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq.
Menurut beliau lagi, bertawassul dengan benda-benda itu juga pernah dilakukan oleh para nabi. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: "Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun, peti Tabut itu dibawa oleh Malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu, jika betul kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Baqarah: 248)
Muhammad Alwi Al-Maliki menafsirkan bahawa Bani Israil selalu bertawassul dengan tabut (peti) itu. Peti itu dibawa ke setiap pertempuran sehingga Bani Israil selalunya mendapat kemenangan.
Walau bagaimanapun, amat perlu diingat, bahawa sesuatu yang dijadikan perantara itu hanyalah berfungsi sebagai mediator untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Menurut ulama ini lagi, barangsiapa yang berkeyakinan bahawa perantara itu adalah lebih daripada sekadar mediator, maka dia telah menjadi syirik. Orang yang beri‘tiqâd bahawa perantara itu dapat mendatangkan manfaat dan mudarat seolah-olah seperti Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan atau tanpa kemahuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sesungguhnya orang seperti ini telah musyrik. Oleh itu, hendaklah difahami bahawa tawassul itu bukanlah suatu kemestian dan bukan juga suatu yang sangat perlu. Terkabulnya sebuah doa tidaklah tergantung kepada perantara itu, tetapi yang pasti, doa secara mutlak ialah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala) perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah Al-Baqarah: 186)
Bersambung