TAWASSUL SALAH SATU DARIPADA AJARAN ISLAM

(Bilangan 124 Bahagian Kedua) 


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Tatacara Bertawassul

Mengerjakan ibadat seperti sembahyang, berpuasa, membayar zakat, menunaikan haji, membaca Al-Qur‘an dan lain-lain amal yang taat, bererti mereka yang mengerjakan amalan-amalan itu bertawassul dengan ibadat-ibadat tersebut. Tawassul seperti ini lebih mendatangkan harapan untuk diterima dan tercapai tujuan, umpamanya, seseorang itu dianjurkan sembahyang hajat untuk memohonkan hajatnya agar dikabulkan. Demikian juga seseorang digalakkan membaca surah Yaasin untuk mencapai hajatnya. Di antara saat-saat dikabulkan doa ialah seseorang itu berpuasa ketika dia hendak berbuka.

 

Dalam kitab-kitab hadis dan buku-buku sejarah terdapat banyak riwayat tentang tawassul, sama ada bertawassul dengan zat Allah, nama-nama dan sifat-sifatNya, dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, dengan amalan salih yang dilakukan oleh seseorang dan dengan maqam (kedudukan) para wali-wali Allah. Maka bertawassul itu dapat dilakukan dengan cara-cara berikut:

1. Melalui Amalan Salih

Contoh bertawassul dengan amal salih ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim tentang tiga orang yang terkurung di dalam gua. Orang pertama bertawassul dengan kebaktian terhadap orang tua. Orang kedua bertawassul dengan sikapnya menjauhi perilaku keji, padahal kesempatan sudah terbuka baginya. Orang ketiga bertawassul dengan kejujurannya memelihara harta orang lain. Kerana tawassul mereka dengan menggunakan amal salih itulah, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memperkenankan hajat mereka dengan melapangkan kesulitan yang sedang mereka alami.

Untuk jelasnya, kita peturunkan nash hadis berikut:

Dari Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma, katanya: "Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan: "Pada suatu ketika ada tiga orang berjalan-jalan, mereka ditimpa hujan lebat, lalu mereka berteduh ke dalam gua di sebuah bukit. Maka telah jatuh dari bukit itu sebuah batu besar ke pintu gua tadi, menyebabkan mereka terkurung di dalamnya. Yang satu berkata kepada yang lain: "Perhatikanlah amal salih yang telah kamu kerjakan semata-mata kerana Allah, lalu berdoalah kepada Allah, (dengan menyebut amal salih itu) mudah-mudahan Allah membukakan batu itu daripada kita."

 

Doa orang pertama

Maka salah seorang dari antara mereka berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sangat tua, seorang isteri dan beberapa orang anak kecil yang perlu aku pelihara. Apabila aku hendak kembali kepada mereka di waktu petang, aku memerah susu untuk mereka. Maka aku mulai dengan ibu bapa, aku beri minum lebih dahulu keduanya, sebelum memberi minum anak-anakku. Pada suatu hari, aku pergi jauh mengambil kayu dan baru pulang setelah hari senja, aku dapati keduanya tidur nyenyak. Lalu aku memerah susu sebagaimana biasa dan aku bawa susu itu dan berdiri dekat kepala keduanya. Aku tidak suka membangunkan mereka dan tidak mahu memberi minum anak-anakku lebih dahulu daripada mereka, sedangkan anak-anak itu telah memekik-mekik dekat kakiku (meminta diberi minum). Namun keadaanku dan mereka (anak-anak itu) terus berkekalan begitu sampai terbit fajar. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredaanMu, maka gembirakanlah kami dengan suatu lubang, yang dari situ kami dapat melihat langit! Lalu Allah membukakan suatu lubang yang dari situ dapatlah mereka melihat langit."

 

Doa orang kedua

Dan yang seorang lagi berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya ada seorang perempuan anak saudaraku, aku sangat mencintainya sebagaimana cinta laki-laki kepada perempuan-perempuan. Aku meminta kepadanya supaya menyerahkan dirinya, tetapi dia menolak sehingga aku dapat memberikannya wang seratus dinar. Kemudian aku pun berusaha dengan susah payah, sehinggalah aku dapat mengumpulkan wang seratus dinar itu. Aku pun mendatanginya dengan wang tersebut. Setelah aku menjatuhkan diriku di antara dua kakinya, dia berkata: "Wahai Abdullah! Bertaqwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau buka ‘cincin’, (merosakkan kehormatan gadis), melainkan dengan haknya (perkahwinan)!" Lalu aku pun berdiri meninggalkannya. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu ialah kerana mencari keredaanMu, maka gembirakanlah kami dengan suatu lubang. Lalu Allah bukakan untuk mereka suatu lubang."

 

Doa orang ketiga

Dan yang seorang lagi berdoa pula: "Ya Allah! Sesungguhnya aku pernah mengupah seseorang untuk menugal padi. Setelah dia menyelesaikan pekerjaannya, dia berkata: "Berikanlah hak saya (upah)!" Lalu aku berikan upahnya itu. Tetapi dia tidak suka (tidak mahu menerimanya). Maka dari upahnya (padi itu) aku kumpulkan dan belikan seekor sapi sekaligus mengembalanya. Kemudian dia datang kepadaku dan berkata: "Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan engkau menzalimi hak saya!" Aku menjawab: "Pergilah engkau kepada sapi dan penggembalanya. Maka ambillah!" Dia berkata: "Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan saya dipermain-mainkan!" Aku menjawab: "Saya tidak mempermain-mainkan engkau. Ambillah sapi itu dan penggembalanya sekali!" Lalu diambilnya dan dibawanya semua. Kiranya Engkau juga mengetahui bahawa aku melakukan itu kerana mencari keredaanMu, bukakanlah untuk kami tutup yang masih ada!" Lalu dibukakan oleh Allah tutup yang masih ada."

(Hadis Muttafaq ‘alaih daripada Ibnu ‘Umar)

 

   Bersambung