
MENGABLIBABAKAN
LESEN
(Bilangan 94 Bahagian Pertama)
MENURUT Kamus Dewan perkataan lesen bererti sijil atau dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang memberikan kebenaran kepada seseorang atau sesuatu pihak melakukan atau menggunakan sesuatu.Tujuan lesen itu dikeluarkan ialah memberi kebenaran pada sesuatu projek atau aktiviti seperti berniaga, mendirikan bangunan, mendapatkan kawasan perindustrian dan sebagainya. Tanpa lesen projek atau aktiviti yang dilaksanakan akan bersalahan dengan kehendak undang-undang dan boleh diambil tindakan seperti didenda dan lain-lain.
Manakala istilah ali baba pula diertikan sebagai cara perusahaan yang memakai nama Melayu atau kelihatan sahaja dimiliki atau diuruskan oleh orang Melayu tetapi sebenarnya kepunyaan atau diselenggarakan oleh bangsa asing.
Dari istilah ini timbullah ungkapan orang Melayu yang mengalibabakan perniagaannya. Maka ruangan Irsyad Hukum kali ini akan membicarakan tentang pandangan syarak terhadap orang-orang yang mengalibabakan lesennya.
Pada kebiasaannya mana-mana orang atau syarikat yang akan menjalankan sesuatu urusan seperti perniagaan, perindustrian, membina bangunan dan seumpamanya, hendaklah memohon kebenaran kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran atau lesen bagi menjalankan urusan tersebut.
Pengeluaran lesen berkenaan terhad bagi satu tempoh tertentu seperti satu tahun, dua tahun atau lebih. Setelah tempoh kebenarannya mansuh pemegang lesen berkenaan dikehendaki membaharuinya bagi membolehkan pemegang meneruskan perniagaannya atau urusan-urusan yang tercatat dalam lesen itu.
Menurut undang-undang atau peraturan hanya pemilik atau penama yang tercatat di dalam lesen berkenaan sahaja yang dibolehkan dan dibenarkan menjalankan lesen tersebut, manakala orang atau pihak lain yang tidak ada kaitan dengan lesen itu tidak berhak berbuat demikian. Jika berlaku sedemikian bererti dia telah menyalahi undang-undang atau peraturan itu.
Pemilik lesen wajib mematuhi persyaratan yang berkaitan dengan hak pemilikan lesen itu, termasuk tidak menyalahgunakannya seperti menyewakan kepada orang lain. Ini bererti pengeluaran atau pemberian lesen kepada seseorang di atas nama sendiri adalah berdasarkan persetujuan pihak pemberi/pengeluar lesen dan pemilik. Dengan itu lesen hanya boleh dijalankan menerusi syarat-syarat tertentu, seperti lesen tersebut hanya sah digunakan dalam tempoh satu tahun, hanya sah dan berfungsi bagi penama yang tercatat sahaja dan bagi kegunaan menjalankan urusan-urusan yang ditentukan sama ada perniagaan, perindustrian dan sebagainya.
Pada hukum syarak, setiap syarat yang dipersetujui seperti ini wajib dipatuhi dan tidak boleh melanggarnya selama mana tidak terdapat dalam syarat tersebut perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak hukum syarak, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang maksudnya:
"Dan semua orang Islam di atas syarat mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram." (Hadis riwayat Al-Tirmizi).
Berdasarkan prinsip Islam, melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui itu adalah dilarang dan haram. Selain dari itu, mematuhi undang-undang atau peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah wajib ditaati selagi ia tidak bertentangan dengan syarak. Hal ini dijelaskan oleh Al-Quran yang tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulul Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (Surah An-Nisaa: 59).
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga memerintahkan supaya mentaati pemimpin atau pemerintah sekalipun yang memimpin itu seorang hamba. Baginda bersabda yang maksudnya:
"Saya berpesan kepada kamu supaya kamu bertakwa kepada Allah, dan supaya kamu dengar dan taat kepada pemerintah kamu, sekalipun yang memerintah itu seorang hamba Habsyi." (Hadis riwayat Al-Darimi).
Dengan demikian, perbuatan menyewakan lesen kepada orang lain sama ada lesen berniaga dan seumpamanya adalah salah menurut undang-undang atau peraturan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pada pandangan syarak pula perbuatan tersebut adalah berdosa kerana sengaja khianat dan menyalahi syarat yang telah dipersetujui di antara pemilik lesen dengan pihak berkuasa semasa mula mendapatkan lesen tersebut, sedangkan agama Islam mewajibkan supaya mematuhi perjanjian dan syarat yang telah dipersetujui itu.
MENYEWAKAN LESEN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Zaman sekarang kita dapati bidang perniagaan semakin berkembang dan setentunya pemilik lesen juga kian bertambah. Dengan perkembangan tersebut ada orang yang ingin mendapatkan untung dengan mudah atau cepat tanpa banyak usaha dengan menyewakan lesen atau seumpamanya.
Pada syarak orang Islam yang mempunyai lesen dan telah membuat persetujuan dengan pihak berkuasa mengenai syarat-syarat yang dikehndaki oleh lesen tersebut, tidak boleh menyewakan lesen tersebut kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada orang bukan Islam. Apatah lagi lesen itu disewakan bagi tujuan membuka sebuah restoran atau kedai makan.
Untuk menarik dan memikat pelanggan Islam, restoran atau kedai makan tersebut dilabelkan dengan label halal dan diberi nama dengan nama-nama yang berbentuk Islam, padahal pengendali sebenar restoran itu bukan orang Islam, sedangkan pemilik sebenar lesen itu menjadi kongsi niaga yang tidur (sleeping partner). Mereka mengambil keuntungan hanya dengan menyewakan lesen tersebut tanpa melakukan apa-apa usaha. maka di sini sudah wujud penipuan bahkan ada unsur penghinaan terhadap Islam dengan penggunaan label-label halal tersebut. Orang-orang sedemikian boleh dilabelkan sebagai orang yang menjual agamanya kerana menukarkan label-label tersebut dengan harga yang sangat murah.
Perbuatan menghina agama seperti di atas adalah suatu dosa. Bahkan ianya boleh menjejaskan keislaman seseorang itu kerana perbuataan mengalibabakan lesennya itu menyebabkan orang Islam memakan makanan yang haram atau syubhah yang disediakan oleh restoran atau kedai makan itu kerana tertipu dengan label-label tersebut. Selain itu tanpa disedari perbuataan tersebut adalah termasuk dalam usaha menghalalkan yang haram.