
WAJIB HAJI
BUKAN KERANA LAMBAIAN
(Bilangan 92 Bahagian Pertama)
DALAM masyarakat kita sering didengar ungkapan lambaian haji. Ketika jemaah haji hendak berangkat ke Tanah Suci, kita akan mendengar perkataan atau pesanan apabila sampai di Mekah nanti lambai-lambailah kami di sini. Sebahagian orang pula apabila ditanya bilakah akan menunaikan fardu haji, di antaranya ada yang mengatakan bahawa belum ada lambaian lagi.Berbagai tafsiran yang boleh dimaksud dengan ungkapan tersebut. Jika yang dimaksudkan dengan ungkapan lambaian itu ialah doa agar orang yang berpesan itu mudah atau diberi kemudahan di masa akan datang untuk mengerjakan haji maka ia adalah pesanan yang baik kerana doa orang yang mengerjakan haji pada saat dan tempat-tempat seperti ketika bertawaf, multazam, makam Ibrahim, Safa dan Marwah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan sebagainya mudah dikabulkan. Bahkan menurut Hassan Al-Basri tempat-tempat tersebut adalah tempat yang doa sangat dikabulkan.Menurut Islam haji merupakan salah satu rukun yang dituntut ke atas setiap orang Islam yang berkuasa mengerjakannya berdasarkan firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya:"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Ali Imran ayat 97).Hukum mengerjakan haji itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu:
1. Fardu Ain: Ibadah haji itu merupakan perkara fardu ain ke atas orang-orang yang belum mengerjakannya jika dia mampu dan sudah memenuhi syarat-syaratnya.
2. Fardu Kifayah: Haji itu menjadi fardu kifayah jika ia dikerjakan dengan tujuan menghidupkan dan memakmurkan Baitullah Al-Haram (Kaabah) pada setiap tahun. Hukum ini tertanggung ke atas orang-orang yang telah mengerjakan haji.
3. Sunat (tathawwu): Haji itu sunat dilakukan oleh kanak-kanak dan hamba kerana haji tidak wajib ke atas mereka.
4. Wajib lebih dari sekali seumur hidup: Tuntutan wajib mengerjakan haji itu hanya sekali seumur hidup, namun haji itu akan menjadi wajib dikerjakan lebih daripada sekali kerana sebab-sebab yang mendatang (aridh) seperti haji nazar dan haji qada.Di negara kita, dakwah untuk mengerjakan ibadah haji dan penerangan hukum-hukum yang berkaitan dengannya telah banyak dijelaskan melalui ceramah, kursus-kursus haji, pengajian di sekolah-sekolah mahupun melalui media cetak dan elektronik. Dengan adanya sebaran tersebut maka kefahaman atau maklumat tentang ibadah haji mendorong orang-orang Islam mengerjakan dengan bersegera tanpa bertanggung-tangguh bahkan ada yang melakukannya lebih daripada sekali.Jika istilah lambaian haji itu dimaksudkan sebagai dakwah (seruan untuk mengerjakan haji) maka ungkapan lambailah kami itu janganlah dimaksudkan serulah kami. Jika ini bermaksud demikian seolah-olah seruan haji itu hanya datang dari lambaian orang yang telah mengerjakan haji. Pada hakikatnya, wajibnya haji itu telah pun ditetapkan di dalam syariat Islam seperti yang terkandung di dalam ayat Al-Quran di atas dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sabda Baginda yang maksudnya:"Wahai sekalian manusia, Allah Subhanahu Wataala telah mewajibkan ke atas kamu ibadat haji, maka kerjakanlah haji itu. (Hadis riwayat Muslim).Dalam hadis yang lain menyebutkan bahawa ibadah haji itu merupakan rukun dalam Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bahawa lima perkara asas dalam Islam itu ialah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji bagi yang berkemampuan.Oleh kerana itu ungkapan belum ada lambaian itu pula, sekiranya lambaian itu dimaksudkan dakwah (seruan) seperti di atas juga tidak menepati kehendak hukum syarak kerana seruan untuk mengerjakan haji itu telah pun disyariatkan sejak Nabi Ibrahim Alaihissalam lagi. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wataala yang memerintahkan Nabi Ibrahim melakukannya yang tafsirnya:"Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke Baitullah dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dari ceruk rantau) yang jauh. (Surah Al-Hajj ayat 27).Menurut kebanyakan ahli tafsir, ayat di atas adalah seruan mengenai kewajipan haji. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas juga diceritakan bagaimana Allah Subhanahu Wataala memerintahkan Nabi Ibrahim Alaihissalam menyeru manusia supaya mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram yang maksudnya:"Apabila Nabi Ibrahim Alaihissalam selesai mendirikan bangunan Kaabah, Baginda berkata: "Ya Tuhanku! Aku telah menyiapkannya. Maka Allah Subhanahu Wataala memerintahkan: "Serulah kepada sekalian manusia supaya mengerjakan haji. Baginda berkata: "Ya Tuhanku! Bagaimana suaraku akan sampai (kepada manusia)? Allah berkata: "Serulah, dan Aku yang akan menyampaikan. Baginda bertanya: "Ya Tuhanku! Bagaimana aku katakan? Allah memerintahkan baginda: "Katakanlah (kepada manusia) : "Wahai sekalian manusia, telah diwajibkan ke atas kamu ibadat haji ke Baitullah, Allah berkata: "Maka mendengarlah (seruan Nabi Ibrahim) itu oleh sekalian makhluk di langit dan di bumi, (ternyata) apakah tidak engkau lihat (sekarang) manusia datang ke Kaabah dari segenap pelusuk dunia. (Hadis riwayat Al-Baihaqi).Dengan perintah Allah Subhanahu Wataala itu, ibadat haji yang diserukan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam ternyata disahut oleh sekalian umat Islam di seluruh dunia hingga ke hari ini.Menurut At-Tabarani ayat di atas pada hakikatnya merupakan perintah Allah Subhanahu Wataala kepada Nabi Ibrahim Alaihissalam untuk menyeru sekalian manusia mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram, bukannya lambaian dari para jemaah haji yang berada di Mekah sebagaimana yang mungkin difahami oleh sebahagian kecil daripada masyarakat Islam. Maka tidaklah patut istilah belum ada lambaian itu dijadikan alasan untuk melambat-lambat atau menangguhkan ibadat haji itu.Akan tetapi jika seseorang itu berkeyakinan bahawa kewajipan haji itu bergantung kepada lambaian berkenaan perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan kehendak hukum Islam.Jika istilah lambaian itu dimaksudkan dengan berkuasa (istithaah) maka ungkapan belum ada lambaian itu ada juga kebenarannya kerana kemungkinan ketika ditanya itu dia belum mampu untuk mengerjakannya. Walau bagaimanapun para ulama telah menghuraikan di dalam kitab-kitab fikah mengenai istithaah tersebut.Berdasarkan ijmak ulama orang-orang yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syarat wajib untuk mengerjakan haji adalah wajib ke atasnya mengerjakan haji tersebut. Jika tidak berhimpun ke atasnya kesemua syarat-syarat itu maka gugur tuntutan wajib tersebut.
Bersambung