
HAJI : HIKMAH DAN KEWAJIPAN
HAJI
(Bilangan 91 Bahagian
Pertama)
HAJI merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam sebagaimana yang telah difardukan melalui Al-Quran, Al-Sunnah dan ijmak ulama.
Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk. (Surah Ali Imran ayat 97).
Mengenai kewajipan ibadat haji ini Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskan dalam sabda Baginda yang maksudnya:
"Agama Islam itu dibina atas lima perkara bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan mengerjakan haji. (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah tersebut maka ulama sepakat mengenai kewajipan ibadat haji ditunaikan sekali dalam seumur hidup bagi orang-orang yang mampu. Ulama juga sepakat mengenai kufurnya orang-orang yang ingkar akan kewajipannya.
Setiap ibadat yang dituntut untuk dikerjakan setentunya mempunyai hikmah yang tersendiri, begitulah juga ibadat haji. Menurut ulama, menghidupkan atau mengimarah Kaabah pada setiap tahun dengan menunaikan haji atau umrah adalah fardu kifayah. Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menyebut mengenai hikmah ibadat tersebut di antaranya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka binatang ternak (untuk dijadikan korban). (Surah Al-Hajj ayat 27-28).
Terdapat juga penjelasan hadis-hadis mengenai hikmah ibadat haji di antaranya sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah semata-mata (iaitu) dia tidak melakukan perkara-perkara keji dan buruk maka dia suci daripada dosanya seolah-olah pada hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Ibadat haji juga mempunyai keistimewaan tertentu bagi orang-orang yang mengerjakannya sama ada bagi dirinya sendiri atau umat Islam secara keseluruhannya.
Bagi orang yang mengerjakan ibadat haji, ibadat tersebut akan menghapuskan segala kesalahan dan dosa serta membersihkan dirinya daripada maksiat yang telah dilakukan, sebagaimana sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Suatu umrah kepada umrah yang lain adalah kaffarah (menghapuskan segala dosa) di antara keduanya dan haji yang mabrur (diterima) itu tiada balasan baginya selain syurga. (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Dan hadis yang lain yang maksudnya:
"Diampunkan dosa bagi orang yang mengerjakan haji dan bagi mereka yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji. (Hadis riwayat Al-Tabarani dan Al-Hakim)
.Ibadat haji juga mengukuhkan iman seseorang dan dapat membantu menyempurnakan taubat dengan ikhlas dan betul. Ibadat tersebut juga membawa seseorang itu bersyukur kepada Tuhannya iaitu berterima kasih dengan nikmat harta dan kesihatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala kerana ibadat haji tidak wajib dikerjakan jika tidak mempunyai harta yang cukup dan badan yang sihat.
Manakala keistimewaan ibadat haji kepada umat manusia, membawa mereka saling kenal-mengenal di antara satu sama lain walaupun berbeza warna kulit, bahasa dan bangsa. Di samping itu dapat bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal umat Islam di tempat masing-masing dan saling bantu-membantu menangani masalah umat seperti penyelewengan akidah dan sebagainya serta apa-apa juga perkara yang terkandung sepertimana yang dijelaskan oleh Al-Quran iaitu yang tafsirnya:
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka. (Surah Al-Hajj ayat 27).
Ibadat haji juga membawa ikatan mahabbah persaudaraan yang kukuh di kalangan umat Islam sama ada dia seorang yang berbangsa Arab atau sebaliknya dan tidak mengira warna kulit sama ada hitam atau putih yang lebih penting ialah ketakwaan.
Pada hakikatnya ibadat haji dijadikan sebagai muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Di dalamnya umat Islam saling berusaha menyebarkan dakwah Islamiyah dan aktiviti-aktiviti yang dibuat di kalangan mereka. Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Quran bahawa orang-orang Islam itu adalah bersaudara.
Bersambung