
FAHAMAN YANG MENYEBABKAN SESAT
(Bilangan 106 Bahagian Kedua)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuPerbuatan memanggil
roh atau menghadirkan roh juga berkaitan dengan perkara-perkara ghaib. Ia
ditentukan oleh Allah Ta‘ala di dalam ilmuNya sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Katakanlah:
“Tiada sesiapa di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib
melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan
dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)”.
(Surah An-Naml: 65)
FirmanNya lagi yang tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.
(Surah Al-Isra’: 85)
Berdasarkan ayat
ini, dapatlah difahami bahawa roh itu adalah urusan Allah, manusia tidak
tahu menahu mengenainya kecuali sekadar apa yang diajarkan oleh Allah kepada
mereka, kerana perkara roh adalah salah satu perkara yang dirahsiakan Allah
dengan ilmuNya dan ianya tertutup dari pengetahuan makhluk.
Al-Qur‘an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
menunjukkan bahawa roh-roh orang yang mati akan terus berkekalan selepas
matinya jasad. Perkara ini digambarkan oleh Allah dalam firmanNya :
Tafsirnya: “Allah (Yang
Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa
daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa
orangyang tidak mati; dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang
yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya)
sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang
berfikir”.
(Surah Az-Zumar: 42)
Telah sabit dalam satu riwayat bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dalam peperangan Badar, Umar bertanya kepada Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, adakah jasad-jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap?” Rasulullah menjawab: “ Demi Tuhan yang diri Muhammad di TanganNya bukan kamu sahaja yang paling mendengar apa yang aku ucapkan, mereka (mayat orang Quraisy yang dicampakkan ke dalam salah satu lembah Badar) juga dapat mendengarnya, akan tetapi mereka tidak berupaya menjawabnya”. (Al-Bidayah Wa An-Nihayah: 3/292)
Oleh yang demikian dakwaan memanggil atau menghadirkan roh adalah dakwaan batil yang tidak mempunyai asas sama ada dari nas atau logik, bahkan Allah Ta‘ala sahaja yang mengetahui dan menguasai roh-roh itu dan Dia sahaja yang berupaya mengendalikannya sebagaimana yang dikehendakiNya.
Termasuk dalam ajaran sesat itu ialah ajaran-ajaran yang mendakwa bahwa Allah Ta‘ala telah menzahirkan zatNya dan menjelma masuk ke dalam jasad tubuh badan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka bersatulah dua jasad dengan roh yang satu.
Pendapat tentang penjelmaan zat Allah di dalam jasad Nabi Muhammad Shallalhu ‘alaihi wasallam dan bersatu menjadi satu roh adalah dakwaan golongan Zindiq mengenai penjelmaan Allah di dalam diri Al-Masih Isa ‘Alaihissalam. Pendapat ini ditolak oleh Al-Qur‘an di dalam firman Allah:
Tafsirnya: “Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawa Allah ialah salah satu dari tiga Tuhan, pada hal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa”
(Surah Al-Maidah: 73)
Pendapat ini juga menjadi pegangan segolongan pelampau Syi‘ah yang mendewa-dewakan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Sementara itu Kaum Bahai pula mengiktiqadkan bahawa rasul-rasul Allah adalah penjelmaan dari Tuhan. Semua pendapat ini adalah kufur yang terang dan terkeluar daripada agama Islam.
Ahli Sunnah Wal Al-Jemaah telah sepakat mengatakan bahawa Allah Ta‘ala Maha Suci daripada menyerupai segala yang baharu, dan Allah tidak berjisim, bukannya bayang-bayang dan gambar, bukannya daging, bukannya darah dan tulang. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang tafsirnya :
“Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
(Surah As-Syura: 11)
Mereka (Ahli Sunnah Wa Al-Jemaah) juga sepakat bahawa Nabi Muhammad Shallalhu ‘alaihi wasallam diciptakan oleh Allah daripada air mani yang memancar, sebagaimana Allah menciptakan manusia yang lain. Firman Allah:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesunguhnya aku hanyalah seorang manusia seeprti kamu”.
(Surah Al-Kahfi: 110)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu)”.
(Surah AL-Maidah: 75)
Oleh itu berdasarkan ayat di atas adalah mustahil zat Allah yang tiada bandingannya itu masuk ke dalam jasad tubuh badan rasulNya (manusia biasa), kerana dua zat yang berbeza tidak boleh menjadi satu. Pendapat sedemikian adalah menyalahi akidah Ahli Sunnah Wa Al-Jemaah, kerana kepercayaan tersebut adalah syirik yang terang-terangan. Kepercayaan penyatuan zat Allah dengan makhlukNya itu adalah merupakan kepercayaan satu kumpulan sesat yang telah lama wujud dikenali dengan nama Wahdatul Wujud.
Bersambung