
BERKABUNG
(Bilangan 105 Bahagian Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuMELAKSANAKAN TUNTUTAN BERKABUNG
Daripada penjelasan ulama di atas, berkabung adalah wajib bagi isteri yang kematian suami. Manakala berkabung bagi perempuan yang telah diceraikan suami dengan talak bain bainunah shugra atau kubra adalah sunat. Adapun bagi perempuan-perempuan yang kematian ahli keluarganya seperti abang atau bapanya pula adalah harus.
Namun untuk memenuhi tuntutan berkabung itu, Islam telah menentukan cara melaksanakannya iaitu dengan meninggalkan apa jua perkara yang mempunyai unsur-unsur yang dianggap sebagai berhias di sepanjang tempoh iddah mereka.
Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menggariskan cara tuntutan berkabung itu dengan memakai pakaian yang tidak menarik perhatian. Dengan erti kata lain tidak dibenarkan memakai pakaian yang berwarna terang dan berwarna-warni, pakaian ketat dan jarang yang boleh menampakkan bentuk badan dan seumpamanya selain haram, haram juga semasa dalam tempoh perkabungan. Hal ini digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda yang bermaksud :
“Seorang perempuan tidak boleh berkabung ke atas kematian seseorang lebih daripada tiga hari kecuali ke atas kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari dan pada tempoh berkabung itu dia tidak boleh memakai pakaian yang dicelup (berwarna-warni)”.
(Hadits riwayat Muslim).
Memakai wangi-wangian atau haruman samada pada pakaian atau tubuh badan adalah juga ditegah sama sekali selagi mereka di dalam iddah. Hal ini ada disebut Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya yang bermaksud :
“……Dan jangan memakai bau-bauan yang harum, kecuali selepas dia bersih, itupun hanyalah daripada wangi-wangian jenis qusth atau azhfar”.
(Hadits riwayat Muslim)
Larangan berhias itu termasuklah bercelak mata samada untuk tujuan berhias atau berubat kecualilah pada waktu malam jika ianya diperlukan. Ini termasuk juga mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta berwarna yang bertujuan untuk berhias. Larangan ini berdasarkan hadits Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Athiah Radiallahu ‘anha yang bermaksud :
"Kami telah ditegah untuk berkabung ke atas orang yang mati melebihi dari tiga hari kecuali ke atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari serta dilarang untuk bercelak mata dan memakai minyak wangi dan memakai pakaian yang berwarna warni”.
(Hadits riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
Berinai atau berpacar juga ditegah, sebagai mana hadits baginda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam Baginda bersabda yang bermaksud :
“Tidak boleh bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berkabung ke atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecualilah terhadap suaminya dan pada ketika itu ia tidak boleh bercelak mata dan berinai”
(Hadits riwayat An-Nasa’ie)
Dari mafhum hadis ini, larangan tersebut termasuklah pacar kuku (cutex) yang digunakan untuk mewarnakan kuku.
Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas samada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak dan sebagainya adalah juga merupakan perbuatan yang ditegah. Larangan ini adalah jelas berpandukan hadis baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud :
“Perempuan yang kematian suami tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh bercelak mata dan tidak boleh berinai”.
(Hadits riwayat Abu Daud dan An-Nasa‘ie)
Selain daripada perkara yang disebutkan di atas, apa- apa jua yang dianggap sebagai perbuatan berhias-hias oleh masyarakat setempat walaupun pada pandangan masyarakat lain ianya dianggap perkara biasa, maka hendaklah dihindari dan dijauhi daripada melakukannya.
Walau bagaimanapun, Islam mengharuskan dan tidak melarang perempuan-perempuan yang berkabung melakukan perkara-perkara seperti mengurus rumah tangga, bersikat rambut tanpa menyapu minyak, memotong kuku, menghilangkan segala kotoran dan perkara-perkara yang bertujuan untuk kebersihan diri.
Dari penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa perempuan yang kematian suami adalah wajib berkabung dengan menghindarkan diri daripada melakukan sebarang tegahan di sepanjang tempoh iddahnya seperti berhias dengan pakaian yang menarik perhatian, berwangi-wangian, bercelak mata, berinai dan sebagainya menurut apa yang telah digariskan oleh Syara‘. Inilah berkabung yang sebenarnya mengikut hukum Syara‘. Dari itu sayugia diingatkan bagi perempuan yang diwajibkan berkabung ini supaya mengambil berat akan tuntutan ini kerana jika ianya tidak ditunaikan dan dilaksanakan dia dihukumkan berdosa.