BERKABUNG

(Bilangan 105 Bahagian Kedua) 

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

HUKUM BERKABUNG

Menurut ijma‘ para ulama, berkabung adalah wajib bagi wanita yang kematian suami. Di samping itu mereka berbeza pendapat tentang hukum ihdad bagi sesetengah perempuan yang bukan kematian suami, seperti kerana sebab ditalak.

Bagi perempuan yang beriddah kerana kematian suami, yang iddahnya ialah selama empat bulan sepuluh hari (kecuali bagi perempuan yang hamil, tempoh bagi iddah mereka ialah sehingga melahirkan) maka jumhur ulama telah bersepakat bahawa hukum ihdad atau berkabung di dalam tempoh iddah bagi wanita ini adalah wajib. Ini bersandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

Maksudnya: “Tidak halal (haram) bagi wanita yang beriman dengan Allah Subhanahu wata’ala dan rasulNya untuk berkabung ke atas jenazah selama lebih dari tiga hari kecuali bagi suaminya”.

(Hadits riwayat Muslim)

Manakala perempuan yang beriddah kerana talak raj‘ie, para ulama’ sepakat bahawa perempuan ini tidak diwajibkan ke atasnya berkabung, kerana dia masih boleh dirujuk oleh suami. Malah ada ulama yang mengatakan adalah lebih (awla) utama baginya berhias-hias untuk menarik perhatian muthalliq (bekas suaminya) supaya merujuknya kembali. Tetapi Abu Thaur pula meriwayatkan daripada salah satu pendapat Imam As-Syafi‘ie Rahimahullah bahawa sunat (mustahab) ke atasnya berkabung.

Perempuan yang di dalam tempoh iddah talak bain bainunah shugra (talak yang tidak boleh dirujuk oleh bekas suaminya kecuali dengan nikah dan mahar yang baharu) atau yang di dalam iddah talak bain bainunah kubra (talak yang tidak boleh dirujuk kecuali setelah bekas isterinya dinikahi dan diceraikan oleh suaminya yang baharu dengan syarat-syarat yang tertentu juga dengan nikah dan mahar yang baharu), maka bagi perempuan ini menurut Imam As Syafi‘ie dalam Qaul Jadid adalah tidak wajib ke atasnya berkabung kerana ianya beriddah kerana talak, sedangkan berkabung yang wajib itu ialah kerana kematian suami. Walau bagaimanapun adalah sunat hukumnya jika mereka berkabung.

Begitu juga bagi perempuan selain perempuan-perempuan yang dalam iddah kerana kematian suami atau ditalak adalah harus bagi mereka berkabung jika sekiranya terjadi kematian di antara kaum keluarganya seperti ayah atau abang dalam tempoh yang telah diharuskan oleh syara’ iaitu selama tiga hari atau kurang dan tidak boleh bahkan haram hukumnya jika melebihi tiga hari berdasarkan sabda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam riwayat Muslim di atas.

Walau bagaimanapun suami berhak melarang si isteri yang ingin berkabung kerana kematian salah seorang dari kaum keluarga si isteri, kerana berhias itu adalah hak suami yang mesti ditunaikan, oleh yang demikian si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada suami sebelum melakukannya.

Dari penjelasan ulama di atas, berkabung bukan sahaja disebabkan oleh kematian suami bahkan juga boleh berlaku kerana perceraian (talak) mengikut sesetengah pendapat ulama.

 

Hikmat pensyariatan ihdad (berkabung)

 

Agama Islam melarang dan memerintahkan sesuatu itu ada dengan tujuan dan hikmatnya yang tertentu.

Adapun diantara hikmat Islam mensyariatkan berkabung (ihdad) ini secara umumnya adalah sebagai menzhahirkan rasa sedih terhadap kehilangan seseorang dengan cara yang terbatas dan terkawal, tidak seperti kelakuan orang-orang jahiliah apabila berlakunya kematian, mereka akan menangis dengan menjerit-jerit, menampar-nampar pipi serta mengoyak-ngoyakkan baju dan barbagai-bagai lagi perkara yang dilarang oleh syara‘.

Perbuatan-perbuatan seperti di atas adalah perbuatan orang jahiliah yang tidak sepatutnya kita lakukan sebagaimana yang telah digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda  yang maksudnya:

“Tidak termasuk golongan kami mana-mana orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-hgoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan orang jahiliah”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Perbuatan berhias atau bersolek boleh menarik perhatian lelaki bahkan boleh membuatkan lelaki tergoda. Oleh sebab itu perbuatan sedemikian ditegah oleh Islam bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang buruk demi menjaga kesucian syariat Allah Subhanahu wa ta’ala. Berkabung adalah sebagai ganti diri suami yang telah tiada untuk megawal dan mengawas isterinya yang ditinggalkannya dalam tempoh waktu yang tertentu.

Bersambung