SUNAT DIUTAMAKAN WAJIB DIABAIKAN ?

(Bilangan 104 Siri Ketiga) 

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Begitu juga dengan zakat, ia merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. Zakat bertujuan membersih golongan kaya daripada perasaan kedekut. Ibadat ini juga dapat membersihkan perasaan dendam dan hasad dengki golongan miskin terhadap mereka yang hidup mewah. Jelasnya tujuan amalan zakat ialah untuk membentuk masyarakat yang penyayang dan adil.

Selain Al-Qur‘an, kewajipan mengeluarkan zakat itu disepakati oleh ijmak ulamak. Perintah wajib ibadat tersebut telah dijelaskan di dalam beberapa ayat Al-Qur‘an dan hadis. Ibnu Hajar dalam Az-Zawajir banyak menyebutkan hadis-hadis berkenaan dengan orang yang meninggalkan dan melengah-lengahkan zakat, di antaranya sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud yang bermaksud: 

“Kami diperintahkan menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, barangsiapa yang tidak mengeluarkan zakat tidaklah ada sembahyang baginya”

Dan dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunaikan sembahyang dan tidak mengeluarkan zakat maka dia bukan tergolong daripada orang Islam yang memberi manfaat terhadap amal kebajikannya”.

(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, kewajipan zakat itu seiring dengan kewajipan sembahyang. Kerana itu ibadat tersebut hendaklah ditunaikan kerana lebihan harta yang ada adalah hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui asnaf-asnaf yang ditentukan oleh syarak.

Dalam usaha mengukuhkan hidup bermasyarakat, umat Islam digalakkan bantu membantu melalui sumbangan atau derma kebajikan kepada pihak-pihak yang memerlukannya seperti orang miskin, anak yatim dan sebagainya. Sekalipun amalan sedemikian menjadi tuntutan agama Islam, namun ibadat zakat tidak seharusnya diabaikan atau dilengahkan kerana ia adalah satu kewajipan yang mesti didahulukan. Orang yang mempunyai harta (telah wajib ke atasnya zakat) sedang dia ingkar mengeluarkan zakat, disifatkan sebagai sama seperti keadaan orang kafir. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang  maksudnya: 

“Barangsiapa baginya harta (untuk dia) menunaikan haji ke Baitullah atau (harta itu) wajib dikeluarkan zakat daripadanya tetapi dia tidak menunaikan haji dan mengeluarkan zakat daripada harta, dia memohon (kepada Allah) supaya dikembalikan semula (ke dunia untuk mengerjakan haji dan menunaikan zakat) ketika dia hendak mati. Lalu berkata seorang lelaki: “Bertakwalah wahai Ibnu Abbas, sesungguhnya yang memohon dikembalikan semula (kedunia) hanyalah orang kafir”. Maka berkata Ibnu Abbas sambil membacakan sepotong ayat Al-Qur‘an yang tafsirnya:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang salih”.

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Menurut Al-Qurtubi bahawa menyegerakan ibadat zakat adalah wajib dan tidak harus melambat-lambatkannya. Begitulah juga dengan ibadat-ibadat yang lain yang telah ditentukan waktunya. (al-Qurtubi: 18/130) Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: 

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang salih”.

(Surah Al-Munafiqun: 10)

Berdasarkan ayat di atas bahawa perkara-perkara wajib adalah wajib diutamakan dan tidak boleh melengah-lengahkan atau dilambat-lambatkan. Maka dalam hal ini melakukan umrah, melancung ke tempat lain yang memerlukan perbelanjaan yang banyak sehingga ibadat zakat tertangguh adalah bercanggah dengan kehendak Islam yang sebenar. Dalam perkara zakat, mana-mana harta yang wajib dikeluarkan zakat seperti harta wang simpanan, perniagaan, pertanian, binatang ternakan seperti kerbau dan kambing, emas dan perak yang cukup syarat-syaratnya hendaklah ditunaikan dengan segera ditakuti dengan melambatkannya akan luput. Walau bagaimanapun, zakat-zakat yang terluput wajib diqadhakan sepertimana juga dalam perkara sembahyang.

Bersambung