
SUNAT DIUTAMAKAN WAJIB DIABAIKAN ?
(Bilangan 104 Siri Pertama)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuManusia dijadikan oleh Allah Subhanhau wa Ta‘ala tidak lain hanya untuk menyembah dan beribadat kepada Allah semata-mata. Perkara ini juga sebagai bukti bahawa manusia itu sentiasa berhajat kepadaNya dan berada di dalam kekuasaanNya. Hal tersebut dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
(Surah Az-Zariyat: 56)
Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala terdapat tuntutan-tuntutan yang dikenali dengan beberapa istilah hukum. Istilah itu ialah wajib, sunat, makruh, haram dan harus.
Fardu dan wajib
mempunyai maksud yang sama kecuali beberapa perkara di dalam bab haji.
Sebenarnya perkara yang fardu dan wajib dalam Islam yang mesti ditunaikan
oleh semua orang Islam itu bukanlah bermaksud sehingga membebankan seseorang
muslim untuk melakukannya. Bahkan ia merupakan tugas, tanggungjawab dan
syari‘at yang di dalamnya terkandung berbagai hikmat dan fadilat bagi
mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat.
Contohnya sembahyang yang wajib dilakukan sehari semalam. Masa yang diambil
untuk menunaikan sembahyang tersebut hanyalah sedikit, jika dijumlahkan
kelima-lima waktu itu tidak pun sampai satu jam. Masa tersebut jauh berbeza
jika dibandingkan dengan masa dua puluh empat jam yang ada dalam sehari
semalam.
Walaupun demikian, dalam menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan itu bagi
orang-orang yang lemah iman dan takwanya tetap sahaja merasakan sebagai
bebanan. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam
firmanNya:
Tafsirnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.
(Al-Baqarah : 45)
Adapun perkara-perkara sunat boleh menampong kecacatan-kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardu. Kemungkinan dalam menunaikan amalan fardu itu tanpa disedari wujud kecacatan atau kurang sempurna. Hal sedemikian dijelaskan oleh Rasulullah Shallalhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: “Jika didapati sembahyang fardunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para Malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya”.
(Hadis riwayat An-Nasa‘I)
Sekiranya amalan
fardu itu sempurna dikerjakan maka mengerjakan amalan sunat merupakan satu
kelebihan besar. Amalan fardu itu diibaratkan sebagai modal dan amalan sunat
itu merupakan keuntungan dan laba. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam sangat menggalakkan membuat amalan sunat tersebut
sebagaimana riwayat Thalhah bin Ubaidillah bahawa seorang lelaki daripada
penduduk Najd telah bertanya kepada Nabi mengenai kewajipan sembahyang,
puasa dan zakat, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sembahyang itu lima kali dalam sehari semalam”, lalu
lelaki tersebut berkata: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripada
sembahyang? Baginda menjawab: “Tidak kecuali yang sunat”, Baginda
menyambung lagi: “Dan puasa dalam bulan Ramadhan”. Lelaki itu bertanya:
“Apakah ada kewajipan atasku selain daripada itu? Baginda menjawab:
“Tidak kecuali yang sunat”. Thalhah berkata: “Dan Rasulullah
menyebutkan kepadanya (lelaki itu) mengenai zakat, seraya lelaki itu
bertanya: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripadanya? Nabi menjawab:
“Tidak kecuali yang sunat”. Lalu Thalhah berkata: “Lelaki itu
berpaling dan berkata: “Demi Allah saya tidak menambah perkara ini dan
tidak menguranginya”.
Rasulullah bersabda: “Berbahagialah engkau jika benar”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Galakan amalan sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan balasan serta ganjaran yang diberikan kepada orang yang melakukannya sangat besar. Antara hadis-hadis yang menyebutkan tentang ganjaran amalan dalam ibadat sunat sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah berfirman: “Barang siapa yang memusuhi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah mengistiharkan perang terhadapnya. Dan tiada hambaKu berdamping kepada Aku dengan sesuatu, yang lebih Aku sukai daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepada Aku dengan membuat perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, maka dengan pendengaranKu dia mendengar akannya, dan dengan penglihatanKu, dia akan melihat akannya, dan dengan kudratKu tangannya membuat akannya, dan dengan kudratKu, dia berjalan dengan kakinya dan jika dia memohon daripadaKu, nescaya Aku berikan dia, dan jika dia memohon perlindunganKu, nescaya Aku lindungkan dia, dan tiadalah Aku teragak-agak akan membuat sesuatu, sebagaimana yang Aku sendiri membuatnya, Aku teragak-agak dari jiwa hambaKu yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci akan menyakiti akannya”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Al-Qur‘an juga ada menyebutkan mengenai perintah wajibnya melaksanakan hukum dan peraturan yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada RasulNya. Hal ini digambarkan dalam firman Allah :
Tafsirnya: “Ini ialah satu ‘surah’ yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya (menjalankannya), dan Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)”
(Surah An-Nur: 1)
Berdasarkan ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan kepada umatNya supaya melaksanakan segala hukum dan peraturan yang ditetapkanNya. Peraturan dan hukum itu wajib dijalankan oleh orang Islam tanpa ragu-ragu serta dengan penuh ketaqwaan kerana peraturan dan hukum yang ditetapkan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala itu benar-benar boleh menjaga maslahat manusia tanpa pilih kasih. Ia juga benar-benar mampu menyelesaikan segala permasalahan dengan baik tanpa perlu kepada pindaan-pindaan kerana ia dicipta oleh Allah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Selain itu hukum-hukum tersebut berperanan sebagai pemberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam, mendidik jiwa supaya bertakwa dan membawa umat kepada jalan yang sempurna dalam kehidupan bermasyarakat dan keluarga.
Bersambung