BEBERAPA SOALAN MENGENAI HADIAH

(Bilangan 102 Siri Kedua) 

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Rukun Pemberian

Menurut ulama Syafi‘eyah, pemberian itu mempunyai beberapa rukun iaitu pemberi, penerima, barang atau benda (sesuatu) yang diberi dan lafaz pemberian (ijab dan qabul). Terdapat beberapa syarat tertentu bagi orang yang memberi, orang yang menerima dan barang atau benda (sesuatu) yang diberikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut: 

(i) Syarat bagi pemberi hendaklah orang itu baligh, berakal, tidak ditegah membelanjakan dan mempergunakan hartanya, dia memberian dengan kehendaknya sendiri dan memiliki sesuatu yang akan diberikan. Maka tidak sah pemberian daripada seorang kanak-kanak, orang gila, muflis, orang yang dipaksa dan daripada orang yang bukan pemilik sesuatu yang diberikan itu. 

(ii) Syarat bagi penerima pula ialah hendaklah dia boleh memiliki sesuatu yang diberikan kepadanya. Maka kanak-kanak kecil adalah sah menjadi penerima, tetapi yang menerima bagi pihak dirinya ialah bapa atau penjaganya. Oleh itu tidak sah suatu pemberian jika penerimanya itu masih janin (anak yang masih di dalam kandungan ibunya) atau penerimanya adalah haiwan kerana keduanya tidak boleh memiliki sesuatu. 

(iii) Syarat bagi sesuatu yang diberikan itu hendaklah suci, bukan darah, bangkai, arak dan seumpamanya. Hendaklah sesuatu yang diberikan itu boleh memberi manfaat dan boleh diserahkan (bukan barang kepunyaan yang kena rampas). Barang pemberian itu hendaklah ada dalam milik dan kekuasaan pemberi, dan barang yang akan diberikan itu hendaklah diketahui oleh pemberi dan penerimanya. 

(iv) Lafaz pemberian pula ialah setiap perkataan atau ucapan yang membawa erti memberi atau menerima, sama ada berupa perkataan atau perbuatan, umpamanya si pemberi berkata: “Aku berikan buku ini kepadamu”, lalu si penerima berkata: “Aku terima pemberianmu”. 

Menurut mazhab Syafi‘e perkara hibah, pemberian (‘athiyyah) tidak sah melainkan dengan ijab dan kabul. Ini kerana akad pemilikan itu sendiri memerlukan adanya ijab dan kabul seperti akad nikah. Walau bagaimanapun menurut Ibnu ‘Uqail (ulama mazhab Hanbali) muamalah cara mu‘atah (meletakkan harga barang dan mengambil (membeli) barang itu tanpa ijab dan kabul) dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijab dan kabul sekalipun tanpa lafaz adalah memadai dan mencukupi. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah:

Maksudnya: “”Menurut qaul Ash-Shahih Muamalah secara Mu‘atah dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijab dan kabul itu adalah memadai atau mencukupi, tidak memerlukan lafaz. Inilah qaul (pendapat) yang dipilih oleh Ibnu ‘Uqail, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memberi hadiah dan diberi hadiah, dan Baginda pernah memberi dan diberi. Baginda juga membahagikan dan mengagihkan sedekah (zakat) dan memerintahkan para sa‘ie (pekerja atau petugas dalam perkara zakat) supaya membahagi dan mengagih-agihkannya. Baginda ada menerima zakat, para sahabat juga berbuat demikian. Tidak ada riwayat daripada mereka tentang wajib ijab dan kabul. Nabi tidak pernah memerintahkan sahabat Baginda dan mengajarkannya tentang wajib ijab dan kabul. Jika ini (ijab dan kabul) merupakan syarat, tentu ada riwayat secara periwayatan yang masyhur daripada mereka. Ketika Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) menunggang unta kepunyaan Umar, lalu Baginda bersabda kepada Umar: “Juallah unta itu kepadaku? Umar menjawab: “Dia (unta itu) untukmu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: “Dia (unta itu) untuk mu wahai Abdullah bin Umar. Buatlah dengannya sebagaimana yang engkau suka”. Tidak ada riwayat bahawa Nabi mengucapkan lafaz kabul daripada Umar, demikian juga tidak ada lafaz kabul daripada Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) yang dia menerima daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kalaulah ini (ijab dan kabul) menjadi syarat sudah pasti Nabi akan melakukannya dan Baginda akan mengajarkannya kepada Ibnu Umar, di samping itu Nabi tidak akan memerintahkannya (Abdullah bin Umar) untuk membuat apa sahaja terhadap unta itu sebelum ada lafaz kabul (penerimanya) oleh Ibnu Umar. (Al-Mughni li Ibnu Qudamah: 6/238)

 

Oleh yang demikian demi menghormati pendapat semua ulama fiqh, jika hendak menyumbangkan atau memberikan sesuatu kepada seseorang hendaklah ijab dan kabul itu dilakukan dengan ada ucapan (lafaz) memberi dan ucapan menerima terhadap barang yang disumbangkan atau diberikan itu.

Mengambil Kembali Pemberian

Adapun mengambil kembali pemberian merupakan satu sifat buruk lagi keji. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Orang yang mengambil balik pemberiannya, samalah seperti anjing yang muntah lalu ia menjilat balik muntahnya”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hal ini kita juga sering mendengar di kalangan masyarakat perumpamaan orang tua-tua iaitu “buruk siku”, perumpamaan ini bukan sahaja menggambarkan keji dan buruknya mengambil balik suatu pemberian tetapi realitinya perbuatan mengambil balik pemberian itu suatu tegahan agama.

Pelbagai Bentuk Pemberian 

Pada dasarnya sesuatu pemberian harus diterima melainkan pemberian yang haram atau berasal daripada yang haram atau tujuan pemberian itu berunsur rasuah. Oleh kerana itu pemberian itu ada berbagai bentuk; 

i.Pemberian yang halal bagi pemberi dan penerima.

ii.Pemberian yang haram bagi kedua-dua pihak.

iii.Pemberian yang halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.

 

Pemberian yang halal bagi penerima ialah pemberian seseorang kepada seseorang yang lain seperti kepada isteri, anak, sahabat, kawan karib dan lain-lain dengan tujuan supaya tercipta perasaan kasih sayang, mahabbah, keakraban dan silaturrahim sesama mereka. Perkara inilah yang sangat digalakkan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas. (Maksudnya: “Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu saling cinta mencintai antara sesama kamu”.)

Manakala pemberian haram bagi si pemberi dan penerima ialah apabila pemberian yang diberikan kepada seseorang itu dengan tujuan atau harapan hajatnya akan tercapai, dipenuhi dan diluluskan. Bentuk pemberian seumpama ini disebut juga sebagai rasuah. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran:

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan) kepada saudaranya, kemudian dia mendapat hadiah diatas pertolongan tersebut, lalu dia menerimanya, maka dia (si penerima hadiah) telah mendatangi satu pintu besar dari pintu-pintu riba”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Ibnu Taimiyah juga ada menyatakan:

Maksudnya: “Sesiapa yang memberikan hadiah kepada wali al-amr untuk melakukan perbuatan yang tidak diharuskan (haram) maka hadiah tersebut haram bagi pemberi dan penerima. Inilah hadiah berbentuk rasuah yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya”. (Fatwa: 5/244)

Bersambung