BEBERAPA SOALAN MENGENAI HADIAH

(Bilangan 102 Siri Kedua) 

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian ‘athiyyah dan seumpamanya. Amalan ini boleh memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim, bahkan ianya dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan-kelebihan dan fadilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda Baginda:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu Baginda bersembahyang dua rakaat. Dan Baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian Baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya (untuk disedekahkan)”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Baginda lagi ketika di atas mimbar:

Maksudnya: “Dan Baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

 Perbezaan Di antara Sedekah, Hadiah Pemberian dan ‘Athiyyah

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 26/324)

 

Sementara yang dikatakan sebagai ‘athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan ‘athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (Al-Tahzib: 4/509)

Di dalam istilah syara‘ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.

 

Hukum Pemberian

Menurut Ijmak ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan, dan belas kasihan. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur‘an, (Mughni Al-Muhtaj: 2/537) sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”.

(Surah Al-Maidah: 2)

 

Galakkan Sikap Suka Memberi

 

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis-hadis Baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya:

Maksudnya: “Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan”.

(Hadis riwayat Malik)

 

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadaNya. Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau riya’ adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil itu disebut melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing”.

(Hadis riwayat Muslim)

Bersambung