
PERIHAL KEMATIAN DAN KENDURI ARWAH
(Bilangan 101 Siri Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuAbu Al-‘Ijji Al-Dimasqiyi menyebutkan dalam Syarh Al-Aqidah Al-Thahawiyah, menurut ahli Sunnah wa Al-Jama‘ah, puasa, sembahyang atau sedekah untuk dijadikan pahalanya kepada orang lain sama ada yang telah mati dan yang hidup adalah harus. Pahala tersebut juga sampai kepada mereka. Begitu juga pendapat ulama Syafi‘eyah bahawa doa yang dihadiahkan kepada orang mati dan orang hidup akan sampai kepada mereka sama ada kepada keluarga yang dekat atau jauh, dengan wasiat atau sebaliknya. Perkara ini dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Syarh Al-Aqidah At-Thahawiyah: 664 / Hukm Al-Syari‘ah Al-Islamiyah Fi Ma’tam Lailah Al-Arba‘in: 19 & 37)
Allah Subahanahu wa Ta‘ala juga menjelaskan di dalam Al-Qur‘an bahawa doa orang yang hidup kepada orang yang telah mati itu memberi manfaat kepada si mati. Dalam hal ini Allah Subahanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya beristiqfar (memohonkan keampunan) untuk para sahabat, tabi‘en, orang-orang alim, termasuk keluarga, sanak saudara, rakan dan taulan dan orang-orang Islam yang lain yang telah meninggalkan kita terlebih awal termasuk sebagaimana Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.
(Surah Al-Hasry: 10)
Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan para sahabat memohon keampunan bagi Raja Najasyi yang telah meninggal. Begitu juga Baginda memerintahkan umat Islam memohon keampunan bagi si mati ketika dikuburkan,sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhabarkan kepada kami bahawa Najasyi, Raja Habsyah meninggal pada hari itu, lalu Baginda bersabda: “Pohonkanlah keampunan bagi saudara kamu”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain, Osman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai menguburkan mayat, Baginda berdiri di atasnya seraya bersabda: “pohonkanlah keampunan bagi saudara kamu, pohonkanlah baginya ketetapan menjawab kerana ketika ini dia sedang disoal”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Begitu juga dengan bersedekah, pahala sedekah tersebut akan memberi manfaat kepada si mati jika diniatkan sedemikian, sebagaimana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam apabila ditanya: “Adakah sesuatu yang bermanfaat bagi seseorang yang meninggal apabila disedekahkan sesuatu untuknya? Hal ini diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya Sa‘ad bin Ubadah saudara Bani Sa‘edah, pada masa kematian ibunya, dia tidak berada di sisinya, lalu beliau datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu ku telah meninggal sedang aku tidak berada di sisinya, oleh kerana itu adakah sesuatu boleh memberi manfaat kepadanya jika aku sesuatu itu untuknya?” Baginda bersabda: “Ya”, Sa‘ad berkata: “Maka sesungguhnya aku bersaksi kepada engkau bahawa kebunku yang berbuah itu adalah sedekah untuk ibuku”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain juga ada menyatakan:
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal secara tiba-tiba dan aku menyangka apabila dia (dapat) berkata-kata maka pasti dia akan bersedekah, apakah aku (dapat) bersedekah untuknya?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, bersedekahlah untuknya”.(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan ayat Al-Qur‘an dan hadis-hadis di atas, amal kebajikan yang dilakukan sama ada amalan mengadakan kenduri arwah atau bersedekah, memberikan wang kepada orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur‘an hingga khatam, berdoa dan sebagainya dengan niat pahalanya untuk si mati lebih diyakini bahawa pahalanya akan sampai kepada si mati.
Memberi Wang Kerana Menyembahyangkan Mayat
Kadang-kadang menguruskan mayat itu menggunakan perbelanjaan yang banyak keranakeluarga si mati akan memberi wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat. Berhubung dengan perbelanjaan ini jika orang yang memberi itu bukan ahli waris seperti kaum kerabat yang terdiri daripada zawilarham, anak menantu atau sahabat-sahabat si mati dan harta yang diberikan itu pula bukan daripada harta si mati, maka adalah harus diberikan kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur‘an dan tahlil dengan maksud pahalanya untuk si mati.
Jika yang memberi wang itu terdiri daripada ahli waris dan wang yang diberikan itu pula ialah harta atau wang pusaka (warisan), maka hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan. Sekiranya hal ini terjadi, perlu juga diingat bahawa hendaklah penggunaan wang atau harta pusaka itu tidak menjejaskan perkara-perkara wajib bagi si mati seperti menunaikan wasiat, zakat, hutang dan lain-lain.
Maka dalam hal ini sama ada pemberian berupa wang atau seumpamanya kepada orang yang menyembahyangkan, pembaca-pembaca Al-Qur‘an, atau kepada jemputan yang hadir yang turut mendoakan si mati, pemberian wang tersebut boleh sahaja diterima sebagai sedekah kerana si mati, bukannya upah sembahyang. Si penerima juga boleh membuat pilihan sama ada menerima sedekah tersebut atau menerimanya kemudian menyedekahkannya semula kepada keluarga si mati. Ini yang elok, kiranya keluarga si mati itu lebih memerlukannya atau sangat berhajat kepada wang berkenaan.
Di sini perlu diperjelaskan bahawa pemberian sedekah seperti wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur‘an, tahlil dan kepada jemputan yang hadir tidaklah termasuk perkara yang dituntut di dalam penyelenggaraan mayat dan ia bukanlah suatu perkara yang wajib atau sunat yang disyari‘atkan oleh agama.
Maka sewajarnya perbuatan pemberian sedekah seperti itu hendaklah mengambil kira tidak memberatkan atau membebankan kepada keluarga atau ahli waris si mati. Firman Allah Subahanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”.
(Surah Al-Baqarah: 286)
Hal ini juga sesuai dengan ajaran dan pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Kami berada di sisi Umar lalu beliau berkata: “Kami dilarang daripada sebarang perbuatan yang memberatkan”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Saat kedatangan ajal maut itu mustahak sentiasa dalam ingatan supaya setiap orang akan siap sedia dengan amalan yang membawanya ke syurga. Kenduri arwah atau seumpamanya selepas kematian seseorang itu hanyalah satu usaha daripada orang-orang yang hidup. Namun usahanya sendiri di samping rahmat Allah penentu kepada nasib sebenarnya.