
HARI
NAHAS :
PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA
(Bilangan 100 Siri Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuBulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan. Di antara kelebihannya di turunkan Al-Qur‘an. Adanya Lailatul Qadar iaitu satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan dan lain-lain. Perkara ini dijelaskan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur‘an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”.
(Surah Al-Baqarah: 185)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur‘an ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”.
Surah Al-Qadar: 1-5)
Bulan Muharram pula merupakan salah satu di antara empat bulan yang dihormati dan ditegah mengadakan peperangan. Bulan Zulka‘edah, Zulhijjah dan Muharram juga dihormati kerana bulan-bulan tersebut dikhususkan untuk mengerjakan haji ke Baitullah. Manakala pada bulan Rejab dijadikan bulan yang dihormati supaya dapat pula mengerjakan umrah di bulan tersebut.
Menyentuh tentang bulan Safar, umat Islam sekarang mungkin telah meninggalkan amalan-amalan karut yang diamalkan oleh generasi lalu dalam bulan tersebut seperti mandi Safar. Kesedaran ini mungkin timbul daripada dakwah dan maklumat tentang Islam yang diterima dari masa ke semasa.
Walau bagaimanapun, perkara-perkara khurafat lain yang mungkin masih dibuat dan diamalkan oleh sebahagian masyarakat Islam di bulan Safar ialah meminum air wafak. Amalan meminum air wafak di bulan Safar ini bukanlah tradisi Islam dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh umatnya meminum wafak untuk menolak bala, sebaumat Isldigalakkan berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk menjauhkan diri daripada bala bencana.
Mungkin ramai umat Islam terkeliru dengan istilah hari utama atau hari yang lebih mulia dari hari-hari lain, dengan itu mereka beranggapan bahawa hari yang selain dari hari-hari yang mulia itu adalah hari-hari nahas atau hari-hari yang kurang baik. Bukanlah begitu hakikatnya, kerana apabila disebut hari yang lebih mulia, tidaklah bermaksud hari-hari yang selainnya adalah hari-hari nahas.
Kita hendaknya
jangan keliru dalam memahami hakikat kandungan hadis-hadis Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan bahawa Allah Subhanahu wa
Ta‘ala menjadikan berbagai kejadian pada hari-hari yang tertentu,
contohnya sabda Baginda yang maksudnya :
“Allah ‘Azza wa Jalla menciptakan bumi pada hari Sabtu, menjadikan
gunung-gunung di dalamnya (bumi) pada hari Ahad, menjadikan tumbuh-tumbuhan
pada hari Isnin, menciptakan perkara-perkara yang tidak digemari pada hari
Selasa, menjadikan cahaya pada hari Rabu, menyebarkan berbagai jenis
binatang di dalam bumi pada hari Khamis dan menciptakan Adam ‘alaihisalam
pada hari Jum‘at selepas ‘Asar iaitu di akhir penciptaan dan di
penghujung waktu hari Jum‘at yakni di antara waktu ‘Asar hingga ke
malam”.
(Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas bukan menunjukkan adanya hari atau waktu yang nahas bahkan ia adalah merupakan penjelasan tentang waktu atau hari-hari kejadian segala makhluk yang ada di langit dan di muka bumi ini termasuklah menjadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘alaihissalam.
Selain perkara di atas, ada juga sebahagian orang percaya kepada tuah atau sial nombor-nombor. Sebilangan orang mempercayai bahawa nombor 13 (tiga belas) itu membawa kepada mala petaka sehingga nombor tersebut tidak disukai. Kepercayaan ini tidak masuk akal, kerana fahaman atau kepercayaan ini jelas bertentangan dengan konsep ajaran agama Islam.
Orang yang mempercayai fahaman sedemikian boleh menjejaskan aqidah kerana menolak qadha‘ dan qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mempercayai qadha‘ dan qadar Allah itu adalah salah satu daripada rukun iman.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengingatkan kita bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu, bukan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah syirik, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya :
"Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan (orang-orang yang beriman) sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dari itu kita hendaklah waspada dalam memahami kejadian-kejadian baik dan buruk dalam kehidupan agar aqidah dan iman kita selamat dari perkara-perkara kufur dan syirik. Begitu juga kita wajib waspada terhadap buku-buku yang dikarang oleh sebahagian orang yang sukar untuk dinisbahkan sebagai kitab yang muktamad atau muktabar. Menurut Sayyid Alwi bin Tahir Al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor dalam fatwanya menjelaskan bahawa kitab-kitab yang tidak muktamad dan tidak boleh dipercayai seperti Syam Al-Ma‘arif Al-Kubra yang di dalamnya mengandungi beberapa perkara yang haram menjadikan kufur siapa yang memperbuatnya seperti menyeru nama-nama syaitan, kencing atas surat yang ada padanya nama Allah dan lain-lain hal yang diperbuat oleh tukang sihir. (Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor: Jilid 2/211)
Selain itu, Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasllam juga menyuruh umatnya agar sentiasa menyangka baik (al-fa’lu) terhadap sesuatu kejadian itu kerana sangka baik terhadap sesuatu itu suatu cita-cita dan harapan untuk mendapat kebaikan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebaliknya sangka buruk terhadap sesuatu (tasya’um) ialah sangka buruk terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hal ini telah dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya yang maksudnya :
“Tidak ada jangkitan yang menular dan tidak ada sangkaan (ramalan baik) pada burung dan Aku merasa kagum terhadap sangkaan baik (kalimat yang baik)”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Dari penjelasan-penjelasan di atas diharapkan tidak ada lagi timbul di kalangan masyarakat kita yang menganggap atau percaya bahawa kejadian-kejadian yang tidak diingini itu adalah sebagai bencana atau nahas sesuatu hari, bulan ataupun nombor-nombor. Bahkan wajib ke atas setiap orang Islam meyakini bahawa apa-apa juga kejadian baik atau buruk itu adalah atas kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.