
HARI NAHAS : PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA
(Bilangan 100 Siri Kedua)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuMenurut Sayyid Alwi bin Tahir Al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor tidak terdapat satupun hadis yang sahih mengenai turunnya bala pada hari Rabu atau pada hari Rabu yang terakhir bagi setiap bulan. Sebahagian ulama mengatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan berkaitan dengan perkara tersebut adalah hadis-hadis rekaan (maudhu‘) semata-mata. Salah satu hadis maudhu‘ tersebut ialah:
Maksudnya: “Akhir hari Rabu tiap-tiap bulan itu nahas yang berkekalan”.
Ulama berpendapat bahawa beberapa orang perawi hadis ini adalah pendusta dan tidak dipakai riwayatnya. Di antara mereka itu ialah Maslamah bin Al-Shilat, Al-Abrazi, Ibrahim bin Abu Hibbah dan Isa bin Abdullah. (Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor : 2/210-211)
Anggapan di atas juga jelas meleset dari kebenaran kerana jika hari Rabu yang terakhir bagi setiap bulan itu adalah hari nahas atau bencana, bagaimana pula doa pada hari itu dikabulkan? Menurut sahabat Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhuma mengatakan bahawa doa pada hari Rabu di antara Zohor dan ‘Asar itu adalah doa yang dikabul dan diangkat. (Al-Qurtubi: 2/313) Beliau menceritakan dan berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdoa di Masjid Fath sebanyak tiga kali pada hari Isnin dan hari Selasa, maka dikabulkan juga doa Baginda pada hari Rabu antara waktu Zohor dan ‘Asar. (Kerana) aku mengetahui (doa Baginda dikabulkan) dari wajahNya, Baginda merasa gembira. Jabir berkata lagi: “Tidak ada bagiku suatu perkara yang lebih penting dan payah/kusut melainkan aku bermohon (berdoa) pada masa atau saat (doa dikabulkan), lalu aku bermohon pada waktu (tersebut) dan aku mengetahui permohonanku dikabulkan”.
Keterangan-keterangan di atas dengan sendirinya menolak dan menangkis berbagai pendapat yang mengatakan bahawa hari Rabu yang terakhir pada setiap bulan adalah hari bala, sehingga tidak perlu kita membuat apa-apa upacara tertentu semata-mata untuk menolak bala hari Rabu. Pendapat ini tidak mempunyai asas.
Selain dari itu ada juga sebahagian orang yang mempercayai nahas bulan Safar sehingga mereka meminum air wafak. Pada beberapa dekat yang lalu ada di antara orang Melayu mengadakan upacara mandi Safar bagi menolak bala bulan tersebut.
Maka dalam hal ini, kita umat Islam wajib mengetahui bahawa Islam adalah agama yang menolak kepercayaan tentang khurafat, tahyul dan kepercayaan tentang adanya bulan atau hari-hari tertentu yang membawa mala-petaka ataupun sial atau menyangka buruk terhadap sesuatu. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda maksudnya:
“Tidak ada jangkitan, tidak ada sempena baik pada burung, tidak ada sempena buruk dengan sebab burung hantu dan tidak ada sempena jahat pada bulan Safar”.(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis ini tidak ada hari sial atau hari nahas di dalam Islam. Al-‘Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami pernah ditanya tentang hari nahas, hari bahagia serta hari-hari dan malam-malam yang baik untuk melakukan sesuatu seperti belayar dan berpindah. Beliau menjawab dalam fatwanya dengan berkata:
Ertinya: “Sesiapa yang bertanya tentang hari nahas dan perkara yang selanjutnya sayugia tidak dijawab bahkan hendaklah ditolak dan apa yang dilakukannya itu adalah kerja bodoh serta jelaskan kepadanya (sipenanya) tentang keburukan hal tersebut. Dan sesungguhnya perkara sedemikian itu adalah dari budaya dan kelakuan orang-orang Yahudi, bukan dari amalan orang-orang Islam yang bertawakkal kepada (Allah) yang mencipta dan menjadikan mereka, yang mereka sendiri tidak mengharapkan pemeliharaan lain selain Allah dan kepadaNya mereka berserah diri. Adapun apa yang dinukil daripada Ali Karramallahu Wajhah tentang hari-hari yang buruk dan seumpamanya adalah tidak benar (batil), lagi dusta yang tidak berasas. Maka hendaklah sentiasa berwaspada tentang perkara sedemikian. Wallahu ‘alam”. (Al-Fatawa Al-Haditsiyyah m.s 28)
Pada hakikatnya yang ada hanyalah hari yang lebih utama daripada hari-hari yang lain atau bulan-bulan yang lain contohnya hari Jum‘at adalah ‘penghulu’ bagi hari-hari dalam satu minggu. Hari Isnin, hari Khamis, hari ‘Arafah dan hari ‘Asyura mempunyai keistemewaannya tersendiri sehingga disunatkan umat Islam melebihkan ibadat atau amal pada hari-hari tersebut dengan berpuasa. Begitu juga dengan kelebihan bulan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Sesungguhnya hari Jum‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”.(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Ibnu Abbas menceritakan dalam sebuah hadith, katanya yang bermaksud:
“Aku (Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma) tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura dan berpuasa dalam bulan ini yakni bulan Ramadhan”.(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Bersambung