
HARI NAHAS : PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA
(Bilangan 100 Siri Pertama)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu WassalamuSemua kejadian makhluk di langit dan muka bumi yang diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala termasuk menjadikan matahari dan bulan adalah bagi keselesaan makhluk-makhluk yang lain. Lihatlah, Allah menjadikan matahari dengan cahayanya yang menyebabkan adanya siang, begitu juga dijadikan bulan membawa cahaya pada waktu malam bagi menerangi permukaan bumi daripada kegelapan malam sebagai manfaat dan faedah kepada manusia, haiwan dan tumbuhan dan kepada makhluk-makhluk yang lain.
Selain itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan sesuatu itu dengan tujuan dan hikmatnya yang tertentu supaya makhluk-makhluk yang lain dapat memanfaatkannya. Sebagai contoh Allah menjadikan bulan dan matahari bagi faedah manusia mengetahui perjalanan dan perkiraan waktu, mengetahui peredaran bulan dan hari, siang dan malam. Perkiraan itu dituntut bagi mengetahui waktu dan masa untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti mengetahui waktu sembahyang, puasa, haji, zakat dan lain-lain. Hal ini digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :
“Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Qur‘an) dengan sejelas-jelasnya”.
(Surah Al-Isra‘ : 12)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”.
(Surah Yunus: 5)
Hari dan bulan mempunyai fadilat dan kelebihan tertentu di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Islam menetapkan dua belas bulan pada setiap tahun sebagai ketetapan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hal ini telah dijelaskan oleh Al-Qur‘an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.(Surah Al-Taubah: 36)
Dalam memperkatakan tentang bulan dan hari ini, ada sebahagian orang ramai yang mempercayai bahawa adanya bulan, hari atau waktu yang tidak baik, sial dan nahas. Kepercayaan sedemikian besar kemungkinan masih dipegangi oleh sebilangan orang sekarang. Antara kepercayaan tersebut ialah mempercayai bahawa bulan Muharram adalah bulan yang tidak baik, kerana dikaitkan Muharram itu sebagai “haram”. Bulan Safar pula dikatakan bulan nahas, maka kerja-kerja besar seperti majlis perkahwinan, membangun rumah atau berpindah ke rumah baru tidak dilakukan pada bulan-bulan tersebut bagi tujuan mengelak daripada bencana atau kecelakaan.
Begitu juga ada sebahagian orang mempercayai jika telah keluar rumah dan tertinggal sesuatu atau barang yang hendak dibawa, maka dia tidak akan kembali mengambil barang tersebut kerana perbuatan sedemikian itu dipercayai akan membawa padah dan sebagainya. Sebahagian orang pula mempercayai nombor-nombor tertentu membawa tuah dan sebahagiannya pula membawa bencana.
ASAL USUL SEMPENA BURUK ATAU HARI NAHAS
Kepercayaan tentang sempena baik atau buruk itu telah wujud sejak zaman Arab Jahiliyah lagi. Sebagai contoh apabila seseorang itu hendak keluar rumah dan didapati ada burung terbang atau lalu di sebelah kanan, mereka mempercayai bahawa seseorang itu tidak akan mendapat bencana dan boleh melakukan atau meneruskan hajatnya untuk keluar rumah. Sebaliknya jika burung itu terbang atau melintas ke sebelah kiri, seseorang itu tidak akan keluar rumah atau jka dia telah keluar rumah, dia akan kembali ke rumahnya dan tidak meneruskan hajatnya. Oleh yang demikian, menurut mereka kedudukan di mana burung itu terbang sebagai petanda dan petunjuk untuk mengetahui tentang baik buruknya melakukan sesuatu pekerjaan seperti hendak keluar rumah.
Di dalam Al-Qur‘an Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menceritakan peristiwa kaum ‘Add. Allah Subhanahu wa Ta‘ala membinasakan mereka kerana mendustakan RasulNya dengan menurunkan angin ribut yang kencang yang berlanjutan sehingga manusia gugur bergelempangan seperti batang-batang pohon kurma yang terbongkar.Peristiwa ini telah digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :
“(Demikian juga) kaum ‘Add telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!. Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berterusan; Yang menumbangkan manusia gugur bergelempangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar”.
(Surah Al-Qamar: 18-20)
Imam Qurtubi menceritakan bahawa menurut Ibnu Abbas, peristiwa tersebut berlaku pada hari Rabu yang terakhir bagi bulan itu. Yang dimaksudkan hari nahas di dalam ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta‘ala membinasakan kaum ‘Add yang kafir dan orang-orang mendustakan Rasul mereka sahaja. Dengan kata lain Allah tidak membinasakan RasulNya dan orang-orang yang beriman dengan rasul mereka. Maka peristiwa tersebut tidak ada kena mengena dengan hari yang membawa bencana, sial dan nahas. (Al-Qurtubi: 17/135)
Dari peristiwa tersebut sebahagian orang mempercayai bahawa pada hari Rabu yang terakhir bagi setiap bulan adalah hari bala diturunkan. Maka tidak ada sebarang pekerjaan atau kerja-kerja amal pada hari tersebut.
Bersambung