Sesuatu cara atau jalan dalam
segala rupanya untuk mendekatkan atau mendampingkan diri kepada Allah Subhanahu wa
Taala, sama ada berbentuk benda, amal perbuatan atau niat maka ia dikatakan
sebagai qurbah.
Pengertian di atas adalah disandarkan kepada ayat Al-
Quran yang tafsirnya:
Dan sebahagian dari orang-orang
Araab itu ada yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan memandang apa yang
mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di
sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa Rasulullah (yang membawa rahmat
kepada mereka). Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal
bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke
dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
(Surah At-Taubah : 99)
Bahawasanya manusia itu pada dasarnya hampir dengan
Allah Subhanahu wa Taala dengan syarat sebagaimana tersebut di dalam
Al-Quran dan ayat- ayat lain yang berkaitan dengan kesempurnaan iman yang tafsirnya
:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa
hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan
hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Surah Al-Baqarah : 186)
Sebenarnya manusia pada mulanya adalah suci. Akan tetapi
disebabkan mereka melakukan dosa dan maksiat maka mereka jauh dengan Allah. Oleh kerana
itu Allah Subhanahu wa Taala memberi kesempatan kepada manusia untuk kembali
semula menjadi dekat dan berdamping denganNya melalui qurbah. Dengan hal yang
demikian manusia dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.
Sehubungan dengan ini, di antara perkara yang boleh
mendampingkan atau mendekatkan diri seorang hamba dengan Tuhannya Azza wa Jalla
ialah dengan melakukan ibadat korban.
Di dalam istilah ilmu fiqh, ibadat korban dikatakan
sebagai al-udhhiyah, yang memberi maksud apa yang disembelih sebagai taqarrub
(mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala) pada hari- hari nahr
dengan syarat-syarat tertentu.
Pandangan Islam Terhadap Ibadat Korban
Islam mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah
satu ciri mendekatkan diri kepada Allah. Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur
tatacara berkorban itu dengan kemas dan sempurna.
Hikmat dari pensyariatan ibadat ini di antaranya ialah:
(i) Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi
Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail Alaihimassalam dengan
menyembelihnya, akan tetapi Allah menggantikannya dengan kibasy. Fakta ini dijelaskan oleh
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: Daripada Zaid bin Arqam, dia
berkata: Para sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bertanya:
Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia
adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata: Apa yang akan kami perolehi
daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut
ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai
Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai bulu ada
kebajikannya.
(Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)
(ii) Memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan
terhadap masyarakat iaitu dengan memberi dagingnya sebagai makanan atau meluaskan rezeki
orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya, meskipun pada asalnya ia bertujuan untuk
memberi manfaat kepada penduduk Makkah dan orang yang datang ke sana untuk mengerjakan
haji. Firman Allah yang tafsirnya :
Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami
syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang
ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka. ( surah Al-Hajj ayat 34)
(Surah Al-Hajj: 34)
(iii) Melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap
nikmat hidup yang telah diberikanNya.
(iv) Menyemai dan menanamkan sifat dan nilai-nilai murni
ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam
dan sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah mengatasi rasa
cinta kepada diri sendiri dan kepada anak.
Adapun dalil-dalil yang menunjukkan pensyariatan ibadat
korban di dalam Islam adalah dari Al-Quran, sunnah dan ijmâ
yang tafsirnya :
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan
kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu,
kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai
bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat
sebarang perkara yang diingininya).
(Surah Al-Kautsar)
Sementara dalil daripada sunnah yang menunjukkan
korban ini sebagai sesuatu yang disyariatkan ialah hadits yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu
anhu, dia berkata yang maksudnya :
Nabi Shallallahu alaihi wasallam
berkorban dengan dua ekor kibasy (biri-biri) putih yang bertanduk. Baginda menyembelih
keduanya dengan tangan Baginda sendiri sambil membaca Basmalah dan bertakbir dan Baginda
meletakkan (menginjakkan) kakinya di pangkal leher biri-biri itu.
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Apakah hubungan di antara mengalirkan darah dengan
menyembelih binatang sebagai korban dengan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah dan
menjadi taqarrub kepadaNya?
Perkara ini boleh dijelaskan melalui dua aspek seperti
berikut:
1. Mengalirkan darah melalui menyembelih binatang korban
pada Hari Raya Idul Adhha dan pada tiga hari Tasyriq merupakan sebagai jalan atau
cara untuk melebihkan sedikit pemberian kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Sebagaimana
juga ianya dapat berfungsi sebagai cara untuk memuliakan para tetamu dan jiran- jiran,
serta untuk memberi kelapangan kepada fakir miskin. Semua ini merupakan penzahiran
keriangan dan kegembiraan kerana bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan Allah kepada
manusia. Firman Allah Taala yang tafsirnya :
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah
engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
(Surah Adh-Dhuha : 11)
2. Untuk membenarkan atau mengakui apa yang
dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Taala bahawa Allah menjadikan binatang-binatang
ternak untuk diambil manfaat atau dimanfaatkan oleh manusia, dan diizinkan kepada mereka
untuk menyembelihnya sebagai makanan.
Kalau ada orang mengatakan bahawa menyembelih
binatang itu merupakan penganiayaan dan penzaliman terhadap jiwa-jiwa yang sepatutnya
mendapat belas kasihan dan keadilan, maka di sini dapat dijelaskan bahawa Allah
Taala yang mencipta manusia dan mencipta segala binatang dan makhluk- makhluk lain,
dan Dia memerintahkan kepada kita untuk berlaku ihsan dan rahmat terhadap binatang-
binatang. Di samping itu juga diharuskanNya manusia untuk menyembelih binatang tersebut,
lebih-lebih lagi pada setengah keadaan sembelihan itu merupakan taqarrub kepada
Allah Subhanahu wa Taala. Oleh yang demikian ianya dapatlah dijadikan sebagai
pengukuhan atau sandaran bahawa menyembelih binatang itu bukanlah dikatakan sebagai
penganiayaan atau penzaliman.
Hukum Ibadat Korban
Mengenai dengan hukum korban, sebilangan besar ulama
fiqh mengatakan bahawa ibadat korban itu adalah sunat muakkadah (sunat yang
sangat-sangat dituntut). Akan tetapi mereka berbeza pendapat adakah ibadat korban itu
wajib bagi orang yang berkemampuan?
Jumhur ulama mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang
berkemampuan. Jika ditinggalkannya walau tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan
tidak mesti dia mengqadhanya. Di antara mereka yang berpendapat begini ialah Abu
Masud Al-Badri, Said bin Al- Musayyab, Alqamah, Al-Aswad, Atha,
Imam Malik, Imam Ahmad dan lain-lain.
Dalil bagi mereka yang mengatakan sunat berkorban,
di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Jabir, dia mengatakan yang maksudnya :
Aku bersembahyang Idul Adhha bersama-sama
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Apabila telah selesai, Baginda membawa
seekor kibasy (biri-biri) lalu Baginda menyembelihnya dan membaca: (dengan nama Allah dan
Allah Maha Besar, wahai Tuhan kami, inilah korban daripadaku dan daripada orang-orang yang
belum berkorban daripada kalangan umatku).
(Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi)
Di antaranya juga ialah hadits yang diriwayatkan oleh
Ibnu Abbas Radhiallahu anhuma secara marfû yang maksudnya :
Aku diperintahkan (diwajibkan) untuk mendirikan
sembahyang dua rakaat (Hari Raya) Adhha sedangkan kamu tidak diperintahkan (diwajibkan)
untuk mendirikannya, dan aku diperintahkan (diwajibkan) untuk menyembelih korban akan
tetapi ia tidak diwajibkan ke atas kamu.
(Hadits dikeluarkan oleh Ahmad)
Hukum sunat ibadat korban itu adalah sunat muakkadah
yang berupa sunat kifâyah jika ahli keluarga orang yang menyembelih korban itu
ramai bilangannya. Jadi jika salah seorang daripada mereka menyembelih korban maka adalah
memadai untuk mewakili semua ahli keluarga. Sebaliknya jika dia tidak mempunyai ahli
keluarga melainkan hanya dirinya seorang sahaja, maka hukumnya adalah sunat ain.
Ibadat korban itu lebih afdhal dari bersedekah sunat.
Berkata Imam Syafie: Tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya bagi orang
yang mampu, jika ditinggalkannya juga maka hukumnya makruh.
Adakalanya ibadat korban itu menjadi wajib jika
dinazarkan, sebagaimana hadis yang maksudnya :
Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati
Allah, maka hendaklah dia mentaatinya.
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Umpamanya seorang itu berkata: Aku bernazar untuk
menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti ataupun dia berkata:
Kerana Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban. Kata-kata
seperti ini adalah menjadi nazar yang sebenar.
Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seorang
itu berkata: Aku jadikan kambing ini untuk korban ataupun dia berkata:
Ini adalah korban, maka dianggap sama seperti bernazar sebenar (nazar
hakikat). Sebutan seperti ini menjadikan korban sesuatu yang wajib ditunaikan, sekalipun
seorang yang melafazkan itu tidak mengetahui yang sebutan seumpama itu menjadi wajib ke
atasnya korban.
Asy-Syeikh Daud Fathani menyebutkan bahawa apabila
seseorang membeli dan membawa seekor kambing atau lembu bertujuan untuk korban, tiba-tiba
ditanya orang: Hendak buat apa kambing atau lembu ini?, lalu dijawab dengan
katanya: Ini adalah korban, atau katanya: Aku jadikan untuk
korban, maka dengan jawapan itu tidak dinamakan nazar sebenar, tetapi dihukumkan
sama seperti hukum nazar sebenar, di mana wajib baginya menyembelih binatang tersebut dan
wajib disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin, serta haram bagi yang berkorban
memakan daging tersebut.
Tetapi jika dia menjawab dengan berkata: Inilah
korban sunatku, atau dia berkata: Kambing ini hendakku sembelih sebagai korban
sunat, maka ulama sepakat mengatakan tidak menjadi nazar dan tidak juga menjadi
seperti hukum nazar.
Ataupun boleh juga dijawab pertanyaan seperti di atas,
sebagaimana tersebut di dalam kitab Hasyiah Al-Baijuri: (Lembu atau kambing) ini
akan kami sembelih pada Hari Raya Haji nanti. Maka dengan jawapan seperti ini
tidaklah dia menjadi korban wajib.
Waktu Menyembelih Korban
Waktu menyembelih korban ialah dari terbit matahari
dan kadar berlalu sembahyang sunat Hari Raya dan dua khutbahnya, sebagaimana perkara itu
dijelaskan oleh hadits berikut maksudnya: Nabi Sallallahu alaihi wasallam
bersembahyang pada Hari Raya Korban, kemudian Baginda menyembelih (korban) lalu bersabda:
Barangsiapa yang menyembelihnya sebelum dia bersembahyang (Hari Raya), maka
hendaklah dia menyembelih yang lain sebagai gantinya, dan barangsiapa yang belum
menyembelihnya, maka hendaklah dia menyembelihnya dengan menyebut nama Allah.
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkata Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarh Shahîh
Muslim: Adapun waktu mengerjakan ibadat korban itu adalah selepas dia mendirikan
sembahyang Hari Raya bersama imam, dalam keadaan ini dia mendapat pahala
sebagaimana yang disepakati oleh para ulama. Ibnu Al-Mundzir pula berkata:
Para ulama sepakat bahawa ibadat korban itu tidak harus dilakukan sebelum terbit
fajar pada Hari Raya korban, akan tetapi mereka bersalahan pendapat pada menentukan hukum
berkorban yang dilakukan selepas waktu tersebut.
Imam Syafie, Daud, Ibnu Al-Mundzir dan lain-
lainnya berkata: Bermula waktu untuk berkorban itu dari terbit matahari dan kadar
berlalu sembahyang Hari Raya dan dua khutbahnya. Jika disembelih binatang korban itu
selepas kadar waktu ini, diterima korbannya, sama ada imam sudah mendirikan sembahyang
Hari Raya ataupun belum, sama ada dia mengerjakan sembahyang Dhuha ataupun tidak, sama ada
dia orang kota ataupun orang kampung atau orang musafir, sama ada imam menyembelih
korbannya atau tidak.
Oleh itu adalah wajar kepada orang-orang yang
berkemampuan agar tidak melepaskan peluang untuk berkorban, kerana ibadat ini amatlah
dituntut dan tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu wa Taala, lebih-lebih
lagi ada kalangan ulama yang mengatakannya wajib, dan masa melakukannya pula adalah
terhad, berbanding dengan sedekah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan waktu.