![]() |
|
| TAHUN 2 BILANGAN 3 |
|
BERKAT KEBERANGKATAN RAJA : 12 ORANG PUAK DUSUN DAPAT HIDAYAT LAGI
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kampong Bukit di Daerah Tutong telah membawa hidayat kepada keluarga Awang Abdul Aziz dan keluarga Awang Abdul Mokti. Mereka melafazkan ikrar memeluk agama Islam di hadapan majlis baginda.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kampong Bukit, di Daerah Tutong pada hari Rabu 22 Safar, 1419 bersamaan dengan 17 Jun, 1998 untuk menyempurnakan penganugerahan anak kunci rumah skim perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, telah mengukir satu lagi sejarah yang indah. Semasa keberangkatan baginda itu seramai 12 orang puak Dusun telah melafazkan ikrar memeluk agama Islam di hadapan majlis baginda sendiri. Persinggahan baginda ke rumah Ketua Kampong Bukit, Awang Haji Omar bin Abdullah Sada, bukan saja merupakan sukut baik bagi penghuninya malahan juga menambahkan lagi sinar Islam di kampung berkenaan apabila sembilan orang puak Dusun telah memeluk Islam. Mereka terdiri daripada Awang Sada bin Gagut, isteri dan seorang anaknya. Mereka kini dikenali sebagai Awang Abdul Aziz, Siti Aisah dan Nur Ramizah. Sementara Mahari bin Tamin, isteri dan empat orang anak mereka memilih nama Islam mereka sebagai Mohd . Mahari, Maisarah, Masnoni, Mohd Khairul, Masyanti dan Nurul Hafizah. Dari rumah Ketua Kampung, baginda mengakhiri lawatan ke kampung tersebut dengan berangkat singgah ke rumah salah seorang penduduk Awang Mikut bin Harun. Di rumah ini baginda berkenan menyaksikan pengislaman tuan rumah berkenaan, isteri dan juga seorang anak mereka. Mereka kini dikenali sebagai Awang Abdul Mokti bin Abdullah, Siti Maisarah binti Abdul Aziz dan Airil Mustakim bin Abdul Mokti. Di majlis pengislaman itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan agar saudara-saudara baru itu mempelajari lagi tentang ajaran-ajaran Islam. Sesungguhnya sinar hidayat Allah benar-benar menyinari Kampong Bukit yang baginda lawati. Setakat ini daripada hampir 700 orang penduduk, lebih 30 peratus telah memeluk agama Islam. Semoga jejak 12 orang saudara baru itu akan menjadi ikutan mereka yang belum beragama Islam di negara ini amnya dan penduduk-penduduk kampung berkenaan khasnya. Kedua-dua majlis pengislaman itu disempurnakan oleh Mufti Kerajaan , Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang. Abdul. Aziz bin Juned. Berangkat sama ialah adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.
|