JAWAPAN TARBIAH MINDA AL-HADAF JUN 1998
- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan suatu perubahan penting dalam penerbangan RBA , iaitu mengenai pakaian kakitangan dalam masa penerbangan dan memperkenalkan 'Do'a Safar' atau 'Do'a Belayar" setiap kali penerbangan. Perkara ini dititahkan pada 17hb Ramadhan 1416 bersamaan dengan 7 Februari, 1996. Sempena Sambutan Nuzul al-Quran tahun 1416 Hijriah/ 1996 Masehi.
- Seorang pengembala kambing, yang disifatkan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai seorang yang tidak dikenali dibumi tetapi cukup terkenal di langit. Do'a orang ini mustajab kerana kelebihannya memelihara makan minum yang halal. Orang yang dimaksudkan ialah Awis al-Qarni.
- Kadang-kadang ada orang tidak merasa kenyang walaupun makan banyak, sebaliknya ada yang makan sedikit sudah terasa kenyang. Ini antara lain tentulah bergantung kepada berkat tidaknya makanan yang dimakan itu. Untuk memastikan makanan itu berkat, antara lain, membaca Bismillah sebelum makan, membaca do'a sebelum dan sesudah makan dan bersih dari perkara syubhat. Selain itu sebelum dan sesudah makan sentiasa dalam berwudhu.
- Sudah menjadi kebiasaan, peminang dan yang dipinang akan memberi berbagai hadiah ketika hari peminangan. Menurut Mazhab Syafie, jika berlaku putus pertunangan, hadiah-hadiah tersebut hendaklah dikembalikan kepada pemiliknya. Jika ianya rosak atau binasa maka dinilai dengan harganya.
- Menurut al-Qur'an (surah al-Mu'min ayat 11) mati itu dua kali dan hidup dua kali. Yang dimaksudkan dengan dua kali mati menurut ulama' tafsir ialah mati pertama ialah semasa masih dalam perut sebagai air mani, kemudian segumpal darah dan sepotong daging sebelum ditiupkan roh. Sebelum ditiupkan roh pada peringkat ini dikira belum hidup dan oleh sebab itulah ia disebut sebagai mati.
Mati kedua ialah mati yang sudah lumrah dikenali iaitu tibanya ajal di dunia dan kembalinya tubuh badan ke dalam tanah (kubur).
|
|