![]() |
|
| TAHUN 2 BILANGAN 3 |
|
Bangunan Jabatan Mufti Kerajaan: Mercu Tanda Kecemerlangan Syiar Islam
Majlis Perletakan Batu Asas Bangunan Jabatan Mufti Kerajaan telah diadakan dengan mengambil sempena Istiadat Pemasyhuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, pada 24 Rabiulakhir, 1419 bersamaan 17 Ogos, 1998. Majlis Perletakan Batu Asas tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah itu sangat bermakna dan akan menjadi ristaan yang abadi di dalam catatan sejarah institusi hukum ini. Pembinaan bangunan tersebut tidak syak lagi merupakan satu mercu tanda kekukuhan dan kegemilangan pentadbiran Islam di zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan yang ke-29. Kukuhnya institusi fatwa merupakan bukti kukuhnya agama Islam di Negara Brunei Darussalam. Kekukuhan Islam di negara ini, tidak syak lagi berkait rapat dengan komitmen raja, di samping sokongan dan dukungan umat Islam sendiri dalam menghayati Islam sebagai agama rasmi negara. Institusi fatwa berfungsi untuk mengeluarkan fatwa dan irsyad sebagai tanggungjawab tradisi. Di samping mengeluarkan fatwa dan memberi bimbingan hukum kepada umat Islam, institusi fatwa juga boleh berfungsi untuk menjadi pusat rujukan Islam di negara ini. Kegiatan, projek dan program dari fungsi-fungsi tersebut di atas adalah antara faktor yang akan memakmurkan lagi bangunan ini nanti. Dengannya umat Islam mudah-mudahan akan sentiasa mendapat manfa'at daripadanya. |