|
|
| TAHUN 2 BILANGAN 3 | Jamadilawal/Jamadilakhir 1419 September 1998 |
MADU : Khasiatnya Menurut
AL-Qur'an dan Hadis Selaras dengan perkembangan
dunia yang semakin canggih, dunia perubatan juga semakin maju berbanding dengan cara
perubatan dahulu. Oleh itu rawatan-rawatan tertumpu kepada cara moden di hospital-hospital
yang cukup dengan segala kemudahan dan kepakaran. Namun begitu berubat mengikut saranan
al-Qur'an dan hadis masih tetap mengambil tempat di dalam kehidupan masyarakat Islam. Menurut Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam setiap penyakit itu pasti ada
ubatnya. Sabda Baginda : Maksudnya : "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak
meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu
tua" ( Hadis riwayat Abu Daud) Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan
semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana
dalam al-Quran sendiri telah menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri
daripada pelbagai penyakit, maupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan
segala perintah Allah dengan teratur. Firman Allah dalam surah an-Nahl: (Surah An-NAhl: 69). Tafsirnya: "Kemudian makanlah daripada setiap macam
buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu
keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan
bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran
Tuhan bagi orang yang memikirkan." Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga ada berpesan agar seseorang
itu berubat dengan madu dan al-Qur'an, Baginda bersabda: Maksudnya: "Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian
akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur'an." (Hadis riwayat Ibnu Majah) Daripada hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang
tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi dan
vitamin yang kuat. Di samping itu madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan
tubuh dan cepat memberi tenaga. Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara
rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang
telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan setiap hari akan mencegah daripada pelbagai
penyakit dan memberi tenaga yang cukup. Di samping itu madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan
pagi agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian. Madu juga memiliki
aroma enak yang meningkatkan selera, sepertimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam
juga mengamalkannya. Diperkuatkan dengan hadis baginda yang berbunyi: Maksudnya: "Dari Abu Hurairah, dia berkata:
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Barangsiapa yang menjilat madu
sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang
besar." Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk
yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada
bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan
luka-luka terbakar pada kulit. Jika diusapkan madu akan dapat mengurangi rasa sakit yang
menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kawasan
yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung
tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak damit yang baru lahir. Dalam al-Qur'an, hadis-hadis yang disebutkan dan amalan perubatan
tradisional, madu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adalah menjadi suatu amalan
yang baik menjadikan madu sebagai ubat dan penjagaan kesihatan.
|