TAHUN 2 BILANGAN 3
Jamadilawal/Jamadilakhir 1419 September 1998



APABILA KITA AMAN DAN MAKMUR
JANGAN LUPA ALLAH - TITAH

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berangkat bercemar duli menerima junjung ziarah ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian di perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan mengepalai perarakan Maulud Nabi Muhammad Sallalahu 'Alaihi Wasallam

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menyeru umat Islam di negara ini agar sentiasa memelihara rahmat Allah dengan cara bersyukur sambil meningkatkan rasa taqwa supaya ia akan terus berkekalan.

    Baginda bertitah demikian sempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bagi tahun 1419/1998 yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei pada malam 12 Rabiulawal, 1419 bersamaan 5 Julai, 1998.

    Menurut baginda: "Rahmat Allah di dunia ada bermacam-macam, ada rahmat kemakmuran, rahmat keamanan dan sebagainya yang semua itu adalah sangat-sangat dihajati oleh manusia."

    Baginda seterusnya mengingatkan bahawa apabila kita makmur dan aman, janganlah lupa kepada Allah, sebaliknya hendaklah kita pelihara kemakmuran serta keamanan itu dengan berbuat taat dan bukannya dengan perbuatan-perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

    Caranya, titah baginda ialah dengan berpegang kepada jalan yang diredhai, memperbetulkan niat dan sikap serta memperkukuhkan taat setia kepada raja dan negara, kerana hanya dengan itu barulah masyarakat akan sentiasa selamat dan dapat menikmati segala rahmat yang dilimpahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

    Kemuncak perayaan maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada pagi hari Isnin 12 Rabiulawal, 1419 bersamaan 6 Julai, 1998, ialah perhimpunan dan perarakan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli bersama rakyat dan penduduk bagi meraikan sambutan kemuncak itu.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (dikenali sekarang sebagai Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan kerabat diraja yang lain.

    Sambutan peringkat kebangsaan ini dimulai dengan bacaan surah al-Faatihah beramai-ramai diketuai oleh Mufti Kerajaan, dan diikuti oleh sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Kemudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkenalkan kepada ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian.

    Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh pegawai-pegawai masjid Daerah Brunei dan Muara, dan do'a selamat oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan mengepalai perarakan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien.

    Pada tahun ini seramai lebih 30 ribu umat Islam ikut serta dalam perarakan dan perhimpunan tersebut yang terdiri daripada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah menengah dan pihak swasta.

    Semasa perarakan, peserta perempuan sejumlah 150 pasukan membuat persembahan secara berasingan. Mereka membuat persembahan dikir dan nasyid.

    Tema sambutan pada tahun ini ialah Pembangunan Berteraskan Do'a Dan Usaha Asas Kesejahteraan.

    Semoga amalan kita merayakan hari keputeraan Nabi Muhammad Sallallahhu 'Alaihi Wasallam secara tunai dan langsung itu dapat mengingatkan kita kepada tanggungjawab membangun diri, keluarga, bangsa dan negara dengan berteraskan aqidah, syariah dan akhlak ajaran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Pembangunan demikian adalah benar dan dituntut. Dan ia adalah pembangunan yang diredhai Allah Ta'ala.

Di Dalam