![]() |
|
| TAHUN 2 BILANGAN 3 |
|
Sambutan Hari Keputeraan dimulai dengan do'a kesyukuran
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama rakyat dan penduduk negara ini bagi menunaikan sembahyang Maghrib dan Isya' berjemaah, bertahlil dan membaca do'a kesyukuran sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke 52 tahun di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.
Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-52 tahun dimulai dengan do'a kesyukuran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada petang Rabu, 21 Rabiulawal, 1419 bersamaan 14 Julai 1998.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah bekenan berangkat menyertai rakyat dan penduduk negara ini bagi sama-sama menunaikan sembahyang fardhu Maghrib dan Isya' berjemaah, bertahlil dan membaca do'a kesyukuran, di Jame' Asr Hassanil Bolkiah.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (dikenali sekarang sebagai Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Majlis tersebut bermula dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim. Kemudian diikuti dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Do'a kesyukuran dibaca oleh Mufti Kerajaan , Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awg. Abdul Aziz bin Juned. Sementara itu, sembahyang Fardhu Isya' diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Alangkah indahnya tradisi yang kita amalkan ini, di mana semua perkara itu kita rujukkan kepada Allah Ta'ala supaya mengurniakan keselamatan dan rahmatNya kepada raja, kerabat baginda rakyat dan negara serta segala isi di dalamnya.
|