TAHUN 2 BILANGAN 3
Jamadilawal/Jamadilakhir 1419 September 1998



JANGAN ADA CERITA PENYELEWENGAN AQIDAH DI BRUNEI : Titah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
ketika bertitah merasmikan Masjid Zainab

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
berkenan menerima pesambah daripada pewakaf
Awang Haji Abdul Samad bin Haji Metussin

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu' izzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan umat Islam di negara ini supaya mengamalkan sikap lebih bijaksana dan berhati-hati ketika menerima sesuatu yang baru, khasnya yang berkaitan dengan perkara-perkara keagamaan.

    Titah baginda: "Kita sebenarnya tidaklah kurang dengan pihak-pihak yang boleh dirujuk untuk menentukan sesuatu itu betul ataupun salah".

    "Beta penuh yakin, bahawa jika kita terus berpegang kepada disiplin 'melalui saluran', maka kita tidaklah mudah tersilap, kerana dengan melalui saluran itu, kita akan diberikan panduan-panduan yang lurus dan betul".

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduaka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Zainab, Kampong Sungai Taring, Lumut pada hari Jumaat 25 Muharam, 1419, bersamaan dengan 25 Mei, 1998.

    Mengenai masalah akidah, baginda melahirkan rasa risau, lebih-lebih lagi apabila kedengaran ianya melibatkan penuntut dan belia.

    Titah baginda: "Beta berharap, jangan ada cerita tentang penyelewangan aqidah ini di Brunei. Negara kita kecil, sementara pentadbiran agama pula telahpun disediakan dengan cukup lengkap, maka tidak ada sebab untuk kita tidak dapat bersatu dalam aqidah, iaitu aqidah Ahli Sunnah Waljema'ah, yang telah terbukti keindahannya itu".

    Berangkat sama di majlis pembukaan rasmi Masjid Zainab itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (dikenali sekarang sebagai Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota), Duli yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

    Berangkat dan hadir di majlis itu juga ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, perwakilan-perwakilan asing, setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan para jemputan.

    Masjid Zainab yang boleh menampung 2,000 jemaah, diwakafkan oleh Awang Haji Abd. Samad bin Haji Metussin. Mula dibina pada tahun 1985, siap pertengahan tahun 1997 dan mula digunakan pada 28 Ogos, tahun yang sama.

    Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Barangsiapa yang membangun sebuah masjid kerana Allah Ta'ala (atau untuk mendapat keredhaan Allah), maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga nanti" Hadis riwayat Muslim.

Di Dalam