TAHUN 2 BILANGAN 3
Jamadilawal/Jamadilakhir 1419 September 1998



DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA BERANGKAT MENYEMPURNAKAN PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN JABATAN MUFTI KERAJAAN

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perletakan Batu Asas Bangunan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri pada 24 Rabiulakhir, 1419 bersamaan 17 Ogos, 1998 bertempat di tapak bangunan Jalan Pengiran Babu Raja, Bandar Seri Begawan. Majlis tersebut disempenakan Istiadat Pemasyhuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembinaan Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abd.Rahman bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha dan ahli-ahli Jawatankuasa Khas yang lain.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Pengerusi Bersama Tertinggi Istiadat Pemasyhuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.

    Majlis dimulai dengan bacaan surah al-Faatihah ramai-ramai dikepalai oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

    Di majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menuang simen ke tiang seri bangunan.

    Sebaik sahaja Duli Yang Teramat Mulia selesai menuang semen, laungan takbir 'Allahu Akbar' telah dilaungkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Md. Zain bin Haji Serudin dan diikuti oleh hadirin. Do'a selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned sebaik sahaja Duli Yang Teramat Mulia selesai menandatangani batu asas bangunan.

    Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima sembah taklimat mengenai bangunan Jabatan Mufti Kerajaan daripada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Wijaya Pengiran Dr. Haji Ismail bin Pengiran Haji Damit, Menteri Pembangunan. Kemudian berkenan pula menyaksikan pameran dan taklimat ringkas projek pembinaan bangunan dan pameran Jabatan Mufti Kerajaan. Taklimat disembahkan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah, Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan dan Dayang Rohaniyati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Saleh Penolong Pengurus Projek daripada Kumpulan Kerja Khas, Kementerian Pembangunan.

    Di majlis itu juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menandatangani buku lawatan Jabatan Mufti Kerajaan dan berkenan menerima pesambah kenang-kenangan daripada Galfar Pembinaan dan Perusahaan (B) Sdn. Bhd yang disembahkan oleh pengerusinya Awang Haji Roni bin Haji Rosli, dan Pengarah Urusan Awang S. Srinivasan.

    Berangkat dan hadir sama di majlis itu juga ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan para jemputan.

    Projek pembinaan bangunan Jabatan Mufti Kerajaan dibina di atas tanah seluas 40 ekar dan telah dimulakan sejak 30 Jun, 1998 oleh Galfar Pembinaan dan Perusahaan (B) Sdn. Bhd dan dijangka siap pada penghujung bulan Disember, 1999.

Di Dalam