TAHUN 2 BILANGAN 2
SAFAR-RABIULAWAL/JUN 1998



"SESUATU RANCANGAN HANYA
AKAN BERJAYA DENGAN KEREDHAAN ALLAH" ...... Titah


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan mengurniakan anugerah Bakti Hijrah kepada Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Seri Laila Jasa Haji Awang Mohammad Yusof bin Abdul Latif

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah bahawa sesuatu rancangan itu hanya akan berjaya dengan keredhaan Allah Subhanahu Wataala.

    Menurut baginda "Disamping percaya dan mengamalkan usaha dan kerjasama kita juga tidak kurang berdoa memohon pertolongan Allah untuk menjayakan rancangan-rancangan kita."

    Baginda menambah, "Usaha yang gigih sangatlah perlu, tetapi ia hendaklah disertai dengan doa kerana kita orang Islam mempunyai pegangan yang teguh dan mendalam bahawa sesuatu rancangan itu hanya akan berjaya dengan keredhaan Allah Subahanahu Wata'ala."

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian di Majlis Sambutan Tahun Hijrah 1419 yang berlangsung di Jame 'Asr Hassanil Bolkiah pada 1 Muharam, 1419 bersamaan dengan 28 April, 1998.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

    Berangkat dan turut hadir di majlis itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Perwakilan asing, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-ketua jabatan dan para jemputan.

    Tema sambutan Awal Tahun Hijrah 1419 ialah Pembangunan Berteraskan Do'a dan Usaha Asas Kesejehteraan.

    Do'a adalah salah satu unsur penting dalam kehidupan. Setiap perbuatan harus dimulai dan diakhiri dengan do'a. Setiap langkah yang dimulakan dengan do'a Insya Allah akan mendapat petunjuk dan rahmat daripada Allah Suhanahu Wata'ala.

    Di majlis itu 3 orang tokoh telah diisytiharkan penerima Anugerah Bakti Hijrah. Mereka ialah Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Seri Laila Jasa Haji Awang Mohd Yusof bin Abdul Latif, Yang Mulia Pengiran Haji Sharifuddin bin Pg Haji Sulaiman dan Yang Mulia Awang Haji Abdul Malik bin Abdullah.

    Sementara itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda yang disiarkan melalui radio dan televisyen pada hari Isnin 27 April, 1998 sempena menyambut awal tahun baru Hijriah 1419 bertitah mengingatkan rakyat dan penduduk negara ini supaya bersabar mengahadapi ujian Allah:

    "Dalam waktu bersabar itu kita juga semestinya berazam serta berusaha mengatasi apa jua masalah-masalah yang kita hadapi dalam keadaan yang tidak menentu ini. Mudah-mudahan kita akan mencapai kejayaan, Insya Allah."

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia selanjutnya bertitah dengan mengingatkan umat Islam agar patuh kepada landasan rukun agama Islam dan membuat persediaan bagi menghadapi masa-masa yang mencabar:

    "Sememangnya ditakdirkan oleh Allah bahawa dalam hidup kita di dunia ini, kita sentiasa menghadapi bermacam-macam cabaran. Maka di masa kita menikmati kesenangan, jangan pula terlalu ghairah sehingga lupa untuk membuat persediaan bagi menghadapi masa-masa yang mencabar."

    Baginda bertitah mengingatkan umat Islam sama-sama berdo'a semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan terus mencurahkan rahmatNya agar Negara Brunei Darussalam akan terus kekal dalam kebajikan dan apa jua yang kita jalani masih di atas landasan kebenaran menurut lunas-lunas yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.

Di Dalam