TAHUN 2 BILANGAN 2
SAFAR-RABIULAWAL/JUN 1998



SKIM SIMPANAN KORBAN
BOLEH MENARIK LEBIH RAMAI
MENYERTAI IBADAH KORBAN

Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awg. Abd. Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan dan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Timbalan Mufti Kerajaan ketika menyempurnakan pembahagian daging korban

Sambutan Hari Raya Idul Adha dan korban bagi keluarga Jabatan Mufti Kerajaan dan keluarga Surau Kampong Mulaut termasuk membaca do'a selamat.

    Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah berharap azam untuk berkorban di Hari Raya Idul Adha dan hari-hari tasyrik akan diperkuat tahun hadapan dengan mencadangkan supaya Surau Kampong Mulaut menguruskan skim simpanan korban bagi ahli jemaahnya dan keluarga mereka.

    Selain Surau Kampong Mulaut, Awang Ahmad Bukhari juga akan memastikan skim demikian akan dapat dilaksanakan bagi kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan dan keluarga mereka.

    Menurut beliau, " Hasrat berkorban melalui skim itu tidak lagi akan menjadi perkara yang berat dari segi kewangan untuk diputuskan dan penyertaan berkorban akan lebih ramai".

    Beliau berucap demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Idul Adha dan Korban Bagi Keluarga Jabatan Mufti Kerajaan dan Keluarga Jemaah Surau Kampong Mulaut, yang diadakan pada hari Jumaat 13hb Zulhijjah, 1418 bersamaan dengan 10hb April, 1998 bertempat di surau kampung berkenaan.

    Menurut beliau bahawa Hari Raya, sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban adalah perkara ibadat, ianya tidak boleh disamakan dengan hari raya orang lain. Oleh itu perkara ibadat tidak harus dicampuradukkan dengan pekara sia-sia dan maksiat. Kita pastikan bahawa setiap keluarga kita berhari raya adalah kerana kejayaan mereka beribadat, dan kejayaan melatih diri ke arah taqwa. Sekiranya mereka memerlukan panduan dan bimbingan, usahakanlah untuk memintanya daripada orang-orang yang mengetahui. Jabatan Mufti Kerajaan sentiasa bersedia memberikan khidmat bimbingan itu.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Mufti Kerajaan. Juga hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Timbalan Mufti Kerajaan, jemaah Surau Kampong Mulaut, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan serta ahli keluarga mereka.

    Sebelum pembahagian daging-daging korban yang disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan dan Yang Dimuliakan Pehin Timbalan Mufti, majlis diakhiri dengan membaca do'a selamat dikepalai oleh Awang Haji Mas Reduan bin Haji Jumat.

Di Dalam