TAHUN 2 BILANGAN 2
SAFAR-RABIULAWAL/JUN 1998



RAJA BERKORBAN LAGI

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd.Zain ketika menyaksikan penyembelihan korban bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda di Pusat Penyembelihan Mulaut.

Pembahagian daging korban Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti Kerajaan, kepada salah seorang penerima yang disampaikan oleh Ketua Kampong Jerudong.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melaksanakan lagi ibadat korban bagi diri dan keluarga baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengamanahkan sebanyak 7 ekor kambing dikorbankan untuk diri baginda sendiri dan 13 ekor lembu bagi keluarga baginda dikorbankan sempena Hari Raya Korban Tahun 1418 Hijriah ini.

    Penyembelihan binatang-binatang korban itu yang dikendalikan oleh kementerian Hal Ehwal Ugama, dilakukan di Pusat Penyembelihan Mulaut, pada hari Rabu 10 Zulhijjah 1418 bersamaan dengan 8 April, 1998 selepas menunaikan sembahyang sunat Hari Raya korban. Kemudian daging korban itu dihantar ke Daerah-daerah Belait, Tutong dan Temburong untuk dibahagi-bahagikan kepada seramai 540 keluarga fakir miskin di daerah berkenaan. Pembahagian disempurnakan oleh pegawai-pegawai daerah masing-masing.

    Sementara itu Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri juga telah diamanahkan untuk mengendalikan sebahagian korban yang sama dan juga sedekah biasa berupa daging mentah.

    Penyembelihan, melapah dan membungkus sekilo-sekilo telah disempurnakan di Pusat Penyembelihan Mulaut pada hari Rabu 10 Zulhijjah 1418 bersamaan 8 April, 1998. Daging-daging korban dan sedekah ini kemudian dibawa ke Masjid Kampong Jerudong yang dijadikan pusat pembahagian. Sebelum pembahagian majlis dimulakan dengan doa selamat.

    Apa yang menarik semasa pembahagian ini ialah para penerimanya melahirkan rasa menjunjung kasih atas kurnia daging tersebut dan rata-rata mereka menerimanya sambil berdoa.

Di Dalam