![]() |
| |
| TAHUN 2 BILANGAN 2 |
|
|
KHUTBAH PERTAMA SEMBAHYANG SUNAT ISTISQA'
![]()
![]()
![]()
Saudara-Saudara muslimin,
Mari kita lihat dahulu dengan tenang, apa sebenarnya yang menimpa kita pada masa ini ? Bacaan PSI sudah sampai ke tahap yang merbahaya : 500/600. Puncanya kemarau, kemarau dan kemarau. Sehingga ke hari ini, negara telah mengalami kemarau lebih dari empat bulan. Cuaca panas dan membakar. Hutan terus terbakar, rumput-rampai kuning dan kering, daun-daun berguguran, bumi merkah, tanam-tanaman rosak, binatang-binatang juga terjejas, kerbau tidak dapat berkubang. Ya, betapalah penderitaan mereka itu, Allah Subhanahu Wata'ala jua yang Maha Mengetahuainya.
Keadaan ini, saudara-saudara muslimin tidak syak lagi, adalah benar-benar sudah menjadi ancaman kepada makhluk Allah yang ada di bumi bertuah ini ; mereka yang batuk-batuk, adalah biasa ! Yang selesema, biasa! Yang mengadu terganggu pernafasan, biasa! Yang pedih-pedih mata, biasa ! Ini adalah risiko awal yang kita alami setakat ini. Kata yang arif di dalam bidangnya, tunggu 5/10 tahun lagi baru akan ketahuan kesan yang sebenarnya bencana ini terhadap kesihatan manusia.
Jadi melihat ini, tidak diragukan lagi, bahawa negara sekarang dalam cengkaman bala atau bencana.
Asal bala itu ialah ujian. Jika ia sedikit atau ringan, dinamakan ia ujian, seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 155 :
"Bahawa Allah akan menguji dengan sedikit perasaan takut (takut terhadap musuh), dengan sedikit kelaparan dan kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman..." Tetapi apabila ia banyak atau berat, dinamakanlah ia bencana atau musibah.
Sekarang telah sampai kepada peringkat yang berat, yang merbahaya, ujian yang bukan lagi kecil dan ringan. Ia datang menakutkan kita, benar-benar menakutkan, takut bertambah takut, sehingga tidak ramai yang berani aktif di luar rumah, nelayan terancam, buruh kasar terancam, anak-anak sekolah terancam sehingga ada ketikanya sekolah-sekolah terpaksa dicutikan, kita semua terancam, di mana jua kita berada, hatta di dalam rumah, dalam ofis, bau asap akan dapat sahaja terhidu. Kata setengah teori, sekali kita menghirup udara jerebu yang merbahaya, sama seperti kita menghisap sekian banyak rokok. Kalaulah ini benar, saudara muslimin! Maka asasnya adalah kuat untuk kita merasa takut, kerana bukankah menurut kajian yang muta'akhir bahawa di dalam rokok yang dihisap orang itu terdapat 4,000 bahan kimia, di antaranya ialah racun dan penyebab barah, pembunuh dalam jangka panjang.
Saudara-saudara muslimin,
Sungguhpun begitu, janganlah terkejut jika dikatakan bahawa bala bencana itu mengandungi hikmah, ia tidak mesti ditafsirkan sebagai negatif, tetapi bala bagi Allah Subahanahu Wata'ala adalah sesuatu yang positif. Ibarat tuan turun ke laut hendak menangkap ikan. Layar telah pun dikembangkan, atau enjin perahu sudah dihidupkan, tiba-tiba angin bertiup dengan kencang, dan ada tanda bahawa laut pasti bergelora dan ombak akan mengamuk. Lalu tuan pun memusing haluan, namun ombak lebih cepat mengejar, mujur juga tuan belum lagi jauh dari pantai. Perahu tuan pun karam dan tuan terhumban daripadanya. Tetapi oleh kerana tuan masih dekat dengan pantai, yakni belum terlepas ke tengah laut, maka Alhamdulillah, tuan selamat, sekalipun perahu tuan pecah dan karam.
Lihatlah saudara ! Allah disini telah mencepatkan bencana itu datang, untuk menyelamatkan tuan. Sekiranya Dia lambatkan sedikit ribut itu dan tuan telah sampai ke tengah laut, maka sudah barang tentu lainlah pula ceritanya.
Inilah namanya hikmah, atau rahsia ketuhanan. DidatangkanNya sesuatu itu dengan tujuan, bukan dengan cuma-cuma tiada bertujuan. Bencana adalah untuk menguji kesabaran kita, untuk menyedarkan hati nurani supaya jangan leka, jangan tidur. Untuk menundukkan sedikit ego dalam diri supaya cepat sedar, cepat mengaku salah, cepat faham, cepat ingat dan cepat mengerti bahawa apa jua musibah dan bencana itu adalah angkara dari perbuatan kita sendiri, dari dosa-dosa kita sendiri, Firman Allah :
![]()
Tafsirnya: "Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu musibah yakni kesusahan atau bencana itu, maka ia adalah disebabkan oleh tangan-tangan kamu sendiri (perbuatan-perbuatan salah lagi berdosa daripada kamu)." Saudara-saudara muslimin, Setelah jelas kedudukan perkara dan kita pun juga sudah redha mengaku bersalah, maka tibalah pula waktunya untuk kita memuhasabah, mengoreksi diri masing-masing. Usah malu-malu, kita hanyalah dengan Allah, tidak perlu orang lain turut campur, ingatkan benar-benar apa salah kita, apa dosa kita. Jika ia hanya berkaitan dengan hak Allah semata-mata, maka memadailah kita sendiri sahaja dengan Allah, di mana jua dan bila, hatta sekarang, bukakan hati, beri tugas pada hati untuk menghadapkan taubat kehadrat Allah, taubat nasuha, nescaya Allah terima taubat itu.
Catatkan, butirkan sendiri dosa-dosa kita. Adakah ia dosa kerana meninggalkan sembahyang? Atau dosa tidak berzakat? Atau dosa zina? Atau dosa minum arak? Atau dosa main judi? Atau dosa membuka 'aurat'? Atau dosa memakan benda-benda haram dan syubhah? Atau dosa kerana Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis riwayat at-Thabarani daripada sahabat Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'Anhuma memperingatkan :
![]()
Maksudnya : "Lima perkara dengan lima perkara". Bertanya para sahabat : "Apakah lima perkara dengan lima perkara itu, wahai Rasulullah ?" Baginda menjawab : " (Pertama) tidak mungkir janji suatu kaum, melainkan Allah kacau bilaukan mereka dengan gangguan musuh-musuh, (kedua) tidak menghukum mereka dengan selain daripada hukum yang telah diturunkan oleh Allah, melainkan Allah sebarkan / timpakan kemiskinan di kalangan mereka, (ketiga) tidak zahir, nyata dan berterang-terangan maksiat di kalangan mereka, melainkan Allah sebarkan/timpakan kematian secara menyeluruh, (keempat) tidak menahan mereka akan zakat, melainkan ditahan untuk mereka hujan, dan (kelima) tidak mengurangi mereka sukatan dan timbangan, melainkan dihalang mereka dari mendapat tumbuh-tumbuhan dan mereka akan ditimpa kemarau panjang." Apa maksud mungkir janji suatu kaum ?
Bukankah dalam dunia sekarang, termasuk juga di kalangan umat Islam sendiri, ada janji-janji politik, janji-janji oleh kerajaan-kerajaan di sana sini, menjanjikan pembangunan-pembangunan untuk ummah, tetapi janji-janji itu banyak yang kosong, tidak ditunaikan. Lalu kerana itu, lihat ! terdapatlah umat-umat dan kerajaan-kerajaan yang tidak habis-habis dikacau oleh musuh-musuh, dikacau keamanan mereka, dikacau ekonomi mereka, dikacau dasar-dasar luar dan dalam mereka, dikacau cara hidup mereka dan dikacau agama mereka. Kemudian apa pula erti tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, yakni tidak menjalankan undang-undang Allah dalam kehidupan, tidak yakin, atau banyak ragu sehingga lebih memilih undang-undang ciptaan manusia ? Maka dalam kedudukan ini, Allah Subhanahu Wataala akan menghukum mereka itu dengan kefakiran, dengan kemiskinan yang meluas dan merata.
Ya, lihatlah saudara muslimin ! Dalam kaya mereka itu merempat. Bumi orang-orang Islam adalah kaya-raya, tetapi mereka fakir, segala-galanya fakir. Kalau tidak fakir wang tetapi fakir maruah, fakir kuasa, fakir pengaruh, fakir keberanian, fakir semangat, khasnya semangat jihad, fakir cemburu kerana itu mudah ditipu atau dibeli, fakir tawakkal kepada Allah, fakir taqwa, fakir ilmu dan banyak lagi kefakiran itu berlaku kepada umat Islam, kerana dosa mereka tidak yakin terhadap undang-undang Allah, tidak mahu tunduk dan mengikut undang-undang tersebut. Sekali lagi Kemudian, apa pula erti tidak zahir fahisyah, tidak berterang-terangan maksiat di kalangan umat, melainkan Allah akan timpakan, akan sebarkan bencana kematian ke atas mereka ? Tafsirnya sangat mudah. Lihatlah, saudara muslimin ! Maksiat zina sebagai contoh, atau maksiat menghampiri zina melalui pergaulan-pergaulan bebas, melalui konsert-konsert, melalui sukan-sukan, melalui wayang-wayang, gambar-gambar, sekarang internet. Melalui semua ini, apakah lagi yang tidak ada, apakah lagi yang tidak nampak, apakah lagi yang tidak zahir ? Nah, dengan ini, Allah telah berjanji akan menimpakan/menyebarkan bencana-bencana kematian, di kalangan siapa saja yang terlibat dengan maksiat berterang-terangan itu. Sekarang, dicetuskannya HIV/AIDS. HIV/AIDS adalah virus. Virus ini sedarkan kita ialah tentera-tentera Allah Ta'ala. Cubalah lawan ia, sampai sekarang pakar-pakar belum lagi dapat melawannya, mereka masih bingung, mereka tidak akan dapat melawannya, sekiranya tidak atau belum dengan izin Allah. Bahkan tentera-tentera ini akan terus sahaja memusnah dan memusnah. Disepanjang tahun 1997, telah dianggarkan ada seramai 29-30 juta orang telah dijangkiti HIV/AIDS, dengan anggaran kira-kira 16,000 jangkitan baru pada setiap hari. Jika angka jangkitan baru ini setabil sehingga tahun 2000, maka bermakna pada tahun 2000 itu kelak, angka pengidap HIV/AIDS adalah dalam lingkungan 40 juta orang di seluruh dunia. Negara Brunei Darussalam sahaja, kes jangkitan HIV yang pertama kali dikesan ialah pada bulan Januari 1986. Dari semenjak itu sehingga November 1997, seramai 443 orang telah dikesan dijangkiti virus HIV ; 17 orang daripada mereka ialah rakyat dan penduduk tetap, sementara 426 orang lagi, warganegara asing. Apa yang hendak dikatakan di sini, bahawa negara kita juga tidak terkecuali dari turut menerima serangan tentera-tentera Allah yang bernama virus HIV/AIDS ini. Kemudian, dua perkara yang terakhir, iaitu maksiat menahan zakat dan maksiat mengurangi sukatan dan timbangan, adalah sama-sama berkaitan sebagai boleh mendatangkan bala tiada turun hujan, musnah tumbuh-tumbuhan dan kemarau panjang. Sayugia, semua perkara-perkara ini kita renungkan bersama-sama.
![]()
![]()
![]()
![]()
![]()
|
|