![]() |
| |
| TAHUN 2 BILANGAN 2 |
|
|
MENDUKUNG KONSEP MEMBANGUN DENGAN IRINGAN DO'A
Bentuk, wajah dan corak Brunei merdeka adalah jelas berdasarkan Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari, 1984 yang berbunyi : " Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah." Titah pemasyhuran tersebut menjadi asas yang kita pegang sebagai garis pandu dalam menentukan arah dan matlamat pembangunan bangsa. Sesungguhnya pembangunan bangsa mestilah menjurus kepada aspek moral, mental dan fizikal dengan bersendikan kepada keseimbangan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Sehubungan dengan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah-titah baginda menguatkan lagi perkara tersebut, antaranya terakam dalam titah baginda sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 14 yang lalu telah menekankan kepada rakyat baginda supaya mendukung konsep membangun sambil berdo'a : " Kita pelihara dan bangunkan negara dengan iringan do'a, semoga ia terus diberikan perlindungan oleh Allah, dimakmurkanNya dengan rahmat dan nikmat serta rezeki yang mantap." D'oa merupakan perkara penting dalam syari'at Islam, tidak kurang pentingnya dengan perkara hukum, politik dan ekonomi. Bahkan do'a adalah senjata orang mukmin. Ia mempunyai kekuatan yang hebat dan dapat memecahkan berbagai persoalan hidup yang tidak terpecahkan oleh akal fikiran, tenaga dan juga harta. Orang yang tidak mahu berdo'a akan mendapat kemurkaan Allah. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Barangsiapa tidak mahu berdo'a kepada Allah akan dimurkai Allah."( Hadis riwayat Tirmizi ). Oleh kerana itu, sebagai orang Islam kita mesti tunduk dan patuh dengan saran dan wawasan murni baginda itu. Kita terjemah dan pratikkan dalam wadah pekerjaan dan kehidupan, kita budayakan ia menjadi syarat berkhidmat dan mentadbir negara. Kita berdo'a supaya Raja, negara, bangsa, agama dan diri kita serta ahli keluarga akan sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah, sentiasa makmur, dikurniakan kehidupan yang berkat, rezeki yang halal serta kekal buat selama-lamanya. Sesungguhnya, kita tidak akan mendapat apa-apa kerugian mendo'akan semua itu. Bahkan kebajikan dan manfaatnya akan kembali kepada kita juga. Bekerja, berusaha dan berikhtiar membangun bangsa merupakan hal yang sangat dituntut di dalam Islam. Dan dalam masa yang sama, kita juga dituntut untuk menunaikan pembangunan rohani dan kita dituntut untuk berdo'a agar segala usaha kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah. Selepas itu bertawakal kepadaNya. Apa yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu adalah merupakan satu manual yang cantik dan tepat bagi pembangunan yang seimbang kerana dengan berdo'a kita sebenarnya hampir dengan Allah Ta'ala dan mengingatnya dalam erti kata tidak menyalahi garis-garis suruh dan tegahNya. Disinilah letaknya konsep usaha, ikhtiar, berdo'a dan bertawakal. Unsur-unsur ini perlu tumbuh subur di dalam diri kita semua selaku aset bangsa yang menjadi jentera pelaksana dalam arena pembangunan bangsa. |
|