TAHUN 2 BILANGAN 2
SAFAR-RABIULAWAL/JUN 1998



DEMI MENJUNJUNG TITAH PERINTAH QUNUT NAZILAH DAN SEMBAHYANG ISTISQA' DILAKUKAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan sama-sama memohon do'a sejurus selesai menunaikan Sembahang Sunat Istisqa' di Jame' Asr Hassanil Bolkiah. Berangkat sama ialah adinda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

    Dengan limpah kurnia Allah Subahanahu Wata'ala hujan telah membasahi bumi Brunei Darussalam setelah lebih 4 bulan mengalami keadaan kemarau, kebakaran hutan, berasap dan berjerebu.

    Negara Brunei Darussalam dalam menangani masalah ini bukan saja dengan kaedah penggunaan alat-alat canggih tetapi juga yang lebih utama ialah dengan pendekatan keagamaan seperti berdo'a, sembahyang hajat, membaca qunut Nazilah dan Sembahyang Sunat Istisqa'.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda sempena menyambut Hari Raya Idul Adha 1418 Hijriah yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen pada malam 7 April 1998 telah menyatakan antara lain:

    "Diantara usaha-usaha yang dituntut oleh ugama ialah dengan menjalani pendekatan kepada Allah dengan membanyakkan do'a serta dengan penuh ikhlas melakukan istighfar dan taubat terhadapNya. Mudah-mudahan dengan cara ini bencana-bencana itu akan terangkat dan sebagai gantinya diturunkan pula rahmat." Sebab itulah menurut baginda "selama mana kemarau berterusan maka sembahyang hajat dan membaca do'a untuk meminta hujan hendaklah diteruskan di seluruh masjid atau surau."

    "Dalam konteks ini beta telahpun memerintahkan supaya Qunut Nazilah dibaca setiap hari Jumaat semasa Sembahyang Jumaat dan juga sembahyang Istisqa' meminta hujan."

    Demi menjunjung titah perintah inilah, maka Sembahyang Sunat Istisqa' telah dilakukan sebanyak dua kali. Sembahyang hajat dan Qunut Nazilah pula dilakukan pada setiap hari Jumaat. Semua ini mengharapkan limpah kasihan serta rahmat Allah Subhanahu Wataala bagi memohon diturunkan hujan yang sangat diperlukan itu

    Kali pertama umat Islam di negara ini menunaikan sembahyang sunat Istisqa' ialah pada hari Rabu 26 Zulkaedah,1418 bersamaan dengan 25 Mac, 1998, di semua masjid dan surau di seluruh negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama rakyat baginda menunaikan Sembahyang Sunat Istisqa' di Jame 'Asr Hassanil Bolkiah.

    Berangkat sama ialah adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

    Turut berangkat dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, perwakilan asing yang beragama Islam, Setiausaha-Setiausaha Tetap, dan pegawai-pegawai kanan.

    Liputan Sembahyang Sunat Istisqa' ini bukan hanya disiarkan secara langsung oleh RTB malahan juga turut mendapat liputan CNN.

    Sembahyang Sunat Istisqa' diimamkan oleh Mufti Kerajaan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, sementara khutbah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

    Alhamdulilah, do'a dan permintaan kita dikabulkanNya. Cuma beberapa jam sahaja selepas sembahyang, hujan telah dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di negara ini. Di Daerah Belait, terutama di kawasan Sungai Liang hujan dilaporkan turun begitu lebat selama lebih 3 jam. Hujan juga dilaporkan berlaku dikawasan Daerah Tutong sehingga dapat menambah air takungan air yang membekalkan ke seluruh negara. Di Daerah Brunei dan Muara dan Temburong hujan juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan.

    Bagaimanapun juga, setakat ini hujan yang turun belumlah dapat mengatasi sepenuhnya masalah kebakaran, asap dan jerebu. Hujan masih lagi diperlukan.

    Oleh itu, Sembahyang Sunat Istisqa' buat kali keduanya diadakan lagi. Pada kali ini penumpuan hanya 5 buah masjid utama sahaja. Masjid-masjid tersebut ialah Jame 'Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar Ali Saifuddin di Daerah Brunei dan Muara, Masjid Hassanal Bolkiah di Daerah Tutong, Masjid Mohammad Jamalul Alam di Daerah Belait dan Masjid Utama Mohammad Salleh di Daerah Temburong. Sembahayang Sunat Istisqa' diadakan pada hari Rabu 17 Zulhijjah, 1418 bersamaan dengan 15 April, 1998.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan berkenan berangkat bersama rakyat baginda menunaikan Sembahyang Sunat Istisqa' di Jame 'Asr Hassanil Bolkiah.

    Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan lain-lain kerabat diraja.

    Turut berangkat dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, perwakilan asing yang beragama Islam, Setiausaha-Setiausaha Tetap, dan pegawai-pegawai kanan.

    Sembahyang Sunat Istisqa' diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim. Sementara khutbah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

    Sembahyang Sunat Istisqa' kali ini juga tidak ketinggalan diliput oleh Radio Televisyen Brunei dan turut disiarkan oleh stesyen penyiaran Singapura dalam beritanya.

    Allah itu Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-hambaNya. Selepas sahaja sembahyang Sunat Istiqa' kali kedua ini, beberapa kawasan di negara ini telah dilaporkan menerima hujan lebat. Di antara kawasan yang mula menerima hujan itu ialah di sekitar kawasan Lambak Kanan dan sekitarnya, Gadong, Muara, Mukim Pengkalan Batu, Mukim Kilanas dan Mukim Sengkurong di Daerah Brunei dan Muara. Hujan juga dilaporkan berlaku di Daerah-daerah Belait, Tutong dan Temburong. Malah sehingga tulisan ini dibuat, hujan dilaporkan terus berlaku di semua daerah, malam ataupun siang, dengan kadar yang sederhana dan menggembirakan. Pada masa ini Alhamdulillah, masalah kemarau dan jerebu telah selesai. Semoga ianya tidak berulang lagi.

    Apa yang mustahak untuk direkod sebagai merista rahmat Allah ini, bahawa sungguhpun Brunei mengalami kemarau selama lebih empat bulan, namun bekalan air kita tidak menghadapi apa-apa masalah. Alhamdulillah, suatu rahmat Allah yang khusus kepada kita.

Di Dalam