
Syaaban/Ramadhan 1419 Disember 1998
Tahun 2 Bilangan 4
RAJA GEMBIRA :
UBD TERUS AGUNGKAN SYI'AR AL-QUR'AN


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Canselor, bertitah melahirkan perasaan sangat gembira atas komitmen Universiti Brunei Darussalam dalam usaha-usaha mengagungkan kitab suci al-Quran dan selaku tuan rumah bagi Majlis Musabaqah Tilawatil Quran antara Universiti-Universiti ASEAN disamping telah berjaya mengambil inisiatif ke depan menggantikan cokmar dengan kitab suci al-Quran yang telah ditulis dan dicetak oleh Universiti Brunei Darussalam.
Baginda bertitah demikian di Majlis perlantikan pro-canselor dan konvokesyen ke 10 Universiti Brunei Darussalam yang berlangsung pada hari Rabu 25 Jamadilawal, 1419 bersamaan dengan 16 September 1998 di Pusat Persidangan Antarabangsa.
Mengenai penggantian cokmar Universiti Brunei Darussalam kepada Mushaf al-Quran tulisan tangan adalah atas asas, al-Quranlah yang patut di highlight sebagai sumber ilmu, lambang ketinggian ilmu dan bahkan sumber segala-galanya yang menjadi suluh hidup di dunia dan di akhirat.
Semoga dengan berkat al-Quran itu, generasi ilmuan yang telah dan bakal lahir juga ialah generasi al-Quran yang sentiasa membaca serta mengamalkannya.
Di majlis itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengisytiharkan perlantikan Pro-Canselor Universiti Brunei kepada Putera Sulung Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Di majlis itu juga baginda berkenan mengurniakan ijazah, diploma dan sijil kepada 373 orang graduan. Daripada jumlah itu seramai 48 orang adalah lepasan ijazah. 150 orang menerima ijazah pertama dan 169 orang pula menerima diploma dan sijil dalam berbagai bidang.