|
|
| TAHUN 1 BILANGAN 3 | SYAABAN 1418 / DISEMBER 1997 |
MENYAKSIKAN KEGIATAN : YDM
Pehin meninjau kelas komputer yang diadakan di pusat berkenaan Sebuah rumah di Kampong Ayer telah diwakafkan untuk dijadikan Pusat Kegiatan Kebajikan penduduk dan belia. Rumah tersebut yang terletak di No. 146 C-1 Kampong Lurong Sekuna telah diwakafkan oleh seorang Hamba Allah. Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Hj. Mohiddin, Timbalan Mufti Kerajaan telah diberi penghormatan untuk merasmikan rumah wakaf itu. Majlis berlangsung pada 6 Rabiulakhir 141 8 bersamaan dengan 10 Ogos, 1997. Yang Dimuliakan Pehin dalam ucapan perasmiannya berharap agar Pusat Kegiatan itu akan benar-benar memberi erti kepada kehidupan beragama bagi penduduk kampung berkenaan, dari yang baik kepada yang lebih baik. Menurut Yang Dimuliakan Pehin lagi inilah suatu perubahan yang ditunggu-tunggu - bergerak dari sekarang sekalipun ditakdirkan bermula dari yang sedikit. Itulah yang lebih baik dari tiada langsung. Yang Dimuliakan Pehin juga melahirkan harapan agar Pusat berkenaan akan dapat melaksanakan program-program yang dirancang dengan teratur dan berterusan serta akan dapat memberi perubahan yang lebih baik pada masa-masa yang akan datang. Di antara kegiatan yang dijalankan di Pusat itu, selain menjadi surau dan tempat mengaji al-Qur'an, ia juga dijadikan Pusat Pameran Kekal Pusat Sejarah dan Jabatan Penerangan, ibu pejabat Majlis Perundingan dan Kejiranan Kampung, kelas komputer dan khutub khanah. |