|
|
| TAHUN 1 BILANGAN 3 | SYAABAN 1418 / DISEMBER 1997 |
BERKAT KEBERANGKATAN RAJA
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Mukim-mukim Bukit Sawat dan Liang di Daerah Belait, Mukim Rambai di Daerah Tutong dan ke Daerah Temburong pada bulan Mei 1997 telah mengukir satu sejarah yang tak mungkin dilupakan. Semasa keberangkatan baginda itu seramai 21 orang telah memeluk agama Islam di hadapan majlis baginda sendiri. Peristiwa bersejarah itu berulang lagi. Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kampong Bebuloh, di Daerah Brunei dan Muara pada hari Rabu 12 Rejab 1418 bersamaan dengan 1 2 November 1997 telah menggerakkan hati Ketua Kampungnya berserta keluarga untuk memeluk Islam. Peristiwa yang tidak diduga ini berlaku di rumah Awang Lantang bin Tundak, Ketua Kampong Bebuloh. Pada mulanya telah dirancang satu majlis pengislaman bagi seorang anak Awang Lantang dan dua orang keluarganya. Bagaimanapun hidayat Allah telah memancar memenuhi rumah ini dengan berkat daulat seorang raja yang sangat mengambil berat terhadap perkembangan dan kebajikan umat Islam. Dengan kerelaan sendiri Awang Lantang telah menyatakan hasratnya di hadapan majlis baginda untuk memeluk agama Islam bersama isteri dan seorang lagi anaknya. Hasrat itu diperkenankan menjadikannya 6 orang dari puak Dusun telah memeluk Islam pada hari itu. Awang Lantang kini dikenali sebagai Awang Mohammad Sa'id sementara isterinya pula Dayang Sa'idah. Majlis pengislaman itu telah disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah. |