|
|
| TAHUN 1 BILANGAN 3 | SYAABAN 1418 / DISEMBER 1997 |
Agama Islam amat mengambil berat tentang kebersihan dan kesucian terutama perkara-perkara yang berhubung dengan perbentukan rohani dan jasmani insan. Antara aspek-aspek tersebut ialah penjagaan kebersihan dan kesucian makanan kerana unsur permakanan itu amat besar pengaruhnya dalam pertumbuhan diri manusia. Ini termasuklah disiplin dalam mendapatkan rezeki yang menjadi sumber kehidupan harian di dunia ini. Agama Islam juga telah menggariskan panduan terhadap perkara-perkara yang diharuskan kepada umat Islam untuk memakan, memiunum atau menggunakannya. Dalam memilih makanan, kehalalannya adalah perkara yang menjadi prioriti. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyebutkan tentang perintah Allah Subhanahu Wata'ala agar kita sentiasa memilih makanan yang halal dan melarang kita daripada memakan makanan yang haram. Antara ayat-ayat tersebut ialah firman Allah Taala :
Tafsirnya : Wahai sekalian manusia ! Makanlah daripada apa yang ada di
bumi, yang halal yang baik " FrimanNya lagi :
Tafsirnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari benda-benda
yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu". Para ulama telah mentafsirkan bahawa makanan-makanan yang baik ( al-Thayibbat) itu bermaksud makanan yang halal. Maka dalam ayat di atas jelas kepada kita bahawa Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan agar manusia makan makanan yang halal sepertimana yang dituntut ke atas rasul-rasul yang terdahulu. Hal ini dituntut kerana Allah Subhanahu Wata'ala hanya akan menerima perkara-perkara yang baik sahaja. Manakala sebaliknya Allah tidak menghiraukan amalan dan juga ibadat orang-orang yang sentiasa mendapatkan rezekinya dari sumber-sumber yang tidak halal seperti yang diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu : Maksudnya : Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala itu baik, tidak menerima melainkan yang baik, dan sesungguhnya Allah memerintah yang baik, dan sesungguhnya Allah memerintah orang-orang yang beriman dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah Ta'ala berfirman : ( Tafsirnya) " Wahai sekalian rasul ! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik," dan firman Allah Ta'ala : ( Tafsirnya) " Hai sekalian orang-orang yang beriman ! Makanlah daripada segala yang baik-baik, yang kami telah rezekikan kepada kamu " Kemudian baginda menceritakan perihal seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya telah menadahkan kedua tangannya ke langit ( berdoa ) : Ya Tuhanku ! Ya Tuhanku ! pada hal makannya haram, meminumnya haram, pakaiannya haram dan ( mulutnya ) disuapkan dengan yang haram ; Maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya ". Dalam memilih makanan harian, kebanyakan orang kita lebih mengutamakan khasiat zahir makanan tersebut seperti kandungan vitamin, protein dan sebagainya tanpa mengambil kira kehalalannya. Tabi'at seumapama ini, biasanya timbul daripada kejahilan dan sikap kurang perhatian terhadap ajaran agama Islam. Tetapi ada juga yang senghaja degil dan tidak menghiraukan ajaran Islam walaupun telah dijelaskan hukumnya. Allah Subhanahu Wata'ala telah menerangkan dengan jelas tentang perkara-perkara yang diharamkan ke atas kita. Baik melalui firmanNya dalam al-Quran mahupun melalui penjelasan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam sunnahnya. Sebagai contoh firman Allah Ta'ala :
Tafsirnya : Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. ( Surah al-Baqarah : 275 ) Dalam ayat ini dengan jelas Allah menerangkan hukum halal dan haram. Tetapi masih ramai orang-orang Islam yang mengambil jalan yang telah diharamkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala seperti riba. Keangkuhan dan kedegilan seumpama ini adalah didorong oleh syaitan yang menguasai hawa nafsu. Mereka lebih mengutamakan keuntungan yang besar walaupun keuntungan tersebut diperolehi dengan cara yang tidak direstui oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang-orang yang sentiasa mendapatkan sumber rezeki dengan cara yang haram seperti ini akan mendapat balasan azab Allah, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :
Maksudnya : " Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram". Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Thabarani baginda bersabda :
Maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya ". Keperihatian dalam pengawasan dan penjagaan tentang kehalalan makanan ini adalah perlu kerana ia mempunyai kaitan yang rapat dengan ibadat kita kepada Allah. Jika ibadat kita sudah tidak diambil indah oleh Allah Subhanahu Wata'ala, sudah tentu hidup kita ini tidak mempunyai erti dan nilai lagi. Begitu juga dengan segala amal kebajikan kita, tiada mendapat apa-apa ganjaran selain dari penat dan lelah sahaja. Ia tidak akan membawa kepada kebahagian dan keselamatan dalam hidup kita. Sedangkan tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah seperti firmanNya :
Tafsirnya : " Dan (ingatlah ) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". Menurut riwayat yang dikeluarkan oleh at-Thabarani daripada Ibnu al-'Abbas katanya : " Pernah aku membaca di hadapan Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam ayat ini iaitu ;
Tafsrirnya : " Hai sekalian manusia ! Makanlah barang yang halal yang baik dari apa yang ada di bumi ". Maka Sa'ad bin Waqqas pun berdiri seraya berkata : " Ya Rasulullah ! Aku bermohon kepada Allah supaya aku dijadikan sebagai orang yang diperkenankan doanya, Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Maksudnya : " Hai Sa'ad ! Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah (orang yang ) diperkenankan permintaan, dan demi ( Allah ) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram keperutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari. Dan seseorang hamba yang tumbuh dagingnya dari yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya". Hadis ini lebih jelas menerangkan batapa makanan yang halal itu mempunyai kesan yang kuat terhadap peribadatan kita. Dari itu untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat., umat Islam hendaklah bersikap peka terhadap penjagaan dan pengawasan makanan ini. Tanggungjawab tersebut adalah merupakan amanah yang mesti ditunaikan oleh semua orang. Tidak mengira sama ada orang perseorangan, ketua keluarga, pemegang kuasa, atau pemerintah. Mudah-mudahan dengan demikian kita terhindar dari azab Allah dan tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang derhaka kerana melanggar ketentuan hukum Allah Subhanahu Wata'ala seperti yang disebutkan dalam firmanNya:
Tafsirnya : " Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampau batas-batas syari'atNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina". ( Surah an-Nisaa : 14 ) |