|
|
| TAHUN 1 BILANGAN 3 | SYAABAN 1418 / DISEMBER 1997 |
Ucapan Yang Dimuliakan
Lagi Dihormati Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abduk Aziz bin
Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, di Majlis Haflut Takharruj Kali Keenam
Institut Pengajian Islam pada 16 Jamadilawal, 1418 / 18 September 1997 bertempat di Pusat
Persidangan Antarabangsa, Berakas, Brunei Darussalam
Terlebih dahulu peramba / kaola / saya mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas penghormatan pihak IPI menjemput Peramba / Kaola / Saya untuk menjadi tetamu di Majlis Haflut Takharruj ini. Peramba / kaola / saya difahamkan, bahawa umur IPI sudah pun mencapai 8 tahun, dan Haflut Takharruj yang sedang kita hadiri ini pula ialah kali yang ke-6. Jika nisbah dengan kehidupan insan, orang adalah lebih mahu kepada umur yang muda. Kalau bolehlah selama-lama muda. Tetapi nisbah dengan tempat-tempat pengajian, lagi ia tua atau panjang umurnya, lagi kita merasa megah dan bangga kerana usianya yang tua itu. Maka demikian itulah juga, kita merasa semakin berbahagia apabila IPI menempuh masa-masanya yang panjang dan lanjut, iaitu suatu pertanda bahawa ia semakin matang dan mantap. Selain al-Azhar yang sama-sama kita maklumi tentang usianya itu, peramba / kaola / saya juga pernah masuk ke Dewan Besar Bangunan Universiti Oxford di England. Peramba / kaola/ saya mendapati masih terdapat kerusi-kerusi yang sudah usang dan haus tempat penyandaran dan tempat meletakkan tangan masih kekal dan elok terpelihara dengan begitu rupa, untuk apa ini? Tentunya objektif utama mereka ialah bagi memberikan gambaran bahawa Universiti Oxford itu adalah sebuah universiti yang tua di negara tersebut. Para hadirin,
Untuk keperluan umat Islam, kita telah membangunkan masjid-masjid yang setakat ini sudah mencapai lebih dari 80 buah masjid di seluruh negara, tidak termasuk surau dan balai ibadat. Kita juga sudah ada institusi-institusi kewangan Islam, dan khusus yang berkenaan dengan pendidikan agama, kita telah ada sekolah-sekolah ugama dan Sekolah Arab peringkat rendah dan menengah, Maktab Perguruan Ugama, dan yang tertinggi setakat ini, Institut Pengajian Islam atau IPI. Semua ini adalah benteng pertahanan kita dan aset masa depan yang turut menentukan jati diri bangsa dan negara ini. Lebih-lebih lagi bidang pendidikan itu menjadi acuan kepada kefahaman dan pemikiran ummah.
Pendidikan yang betul dan berjaya, menjadi penyelamat yang mutlak
kepada ummah dan negara. Kerana itu, institusi-institusi pengajian yang berorientasikan
Ad-Din ( Pada zaman sekarang, ilmu adalah semakin jauh diteroka, tetapi kefahaman, iman dan semangat orang merosot ke tahap yang rendah. Umat Islam turut tercabar oleh pembawa-pembawa fahaman yang salah dan juga sekularisme. Umat Islam kini sedang menerima akibat dari pertempuran masyarakat Eropah dengan gereja yang telah melahirkan sekularisme di abad pertengahan dahulu. Dan sekarang sekularisme itu sudah berumur lanjut, namun ia bukanlah semakin uzur atau semakin lemah, bahkan semakin galak dan ganas menerpa dan menyerbu ke kubu-kubu pertahanan umat-umat di dunia, termasuk pertahanan diri umat Islam untuk merosakkan 'aqidah dan pendirian mereka. Sekularisme itu sudah lama bertapak dalam masyarakat Eropah. Sekularisme adalah satu doctrine menguruskan ritual keagamaan semata-mata, seperti nikah kahwin, kematian dan ibadat, sedangkan kegiatan-kegiatan yang bersifat duniawi diurus sepenuhnya oleh negara, dalam makna oleh ahli politik, ahli ekonomi, ahli sains dan lain-lain, sementara ahli agama jangan turut campur. Inilah asal sekularisme, sumbernya dari masyarakat Nasrani di abad pertengahan dahulu. Sama ada kita sedar atau tidak, amalan sekularisme ini juga sudah turut menjangkiti banyak negara umat Islam. Sebahagian daripada orang-orang Islam sendiri turut memegangnya. Mereka menyangka amalan sekularisme itu adalah tanda maju dan terpelajar. Lalu apabila terdapat orang-orang Islam yang seperti ini menjadi pemimpin, maka mereka akan bertindak menyisihkan Islam daripada kehidupan. Mereka akan menolak agama itu dari turut menguruskan negara. Tempat ulama bagi mereka ialah diluar gelanggang, dan jika pun ada peranan ulama itu hanyalah setakat untuk menguruskan kematian, nikah kahwin dan membaca doa. Disinilah mustahaknya peranan pusat-pusat pengajian Islam untuk memberikan kefahaman yang betul kepada umat Islam, supaya umat Islam terselamat daripada aliran dan fahaman sekular yang menular itu. Bilamana seseorang telah jadi sekular, maka pegangannya adalah semata-mata akal. Dia menyukat segala-galanya itu hanya dengan akal. Dia mencari kebenaran dengan akal. Dia menyelesaikan semua masalah dan perkara dengan akal. Dia bertindak dengan akal, membangun dan berjuang hanya dengan akal. Sekiranya kita bentangkan kepadanya hukum hakam agama, apabila dia merasakan hukum hakam itu tidak sedap atau tidak selesa dan cocok dengan akalnya, maka dia akan tolak hukum hakam itu. Pada masa itu, dimana Allah, siapa yang ampunya hukum hakam dan dimana alam akhirat tempat menyediakan balasan baik bagi orang orang yang taat, dan balasan buruk bagi mereka yang derhaka kerana melanggar hukum hakam itu, tidak lagi diperdulikan. Orang begini sudah tidak mahu lagi membezakan mana satu perkara akal dan perkara ijtihad, dan manapula perkara tauqif yang diterima daripada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang tidak dapat dan tidak boleh dicongak-congak atau dianalisa oleh akal. Ramai dalam dunia ini orang yang mengutamakan akal dari agama. Mereka menjadi perosak dan pembinasa, dan biasanya ialah bagi jangka panjang. Kesan kebinasaan yang dilakukan oleh mereka itu diterima oleh generasi-generasi kemudian. Inilah yang terjadi dalam sejarah, dimana terdapat misalnya orang merumikan al-Quran, meng'ajamkan bahasa azan (menukar dari Bahasa Arab kepada bahasa bukan Arab), membuang tarbush tutup kepala kepada bergondol, pada hal tutup kepala itu ialah adab terpuji dan jatidiri orang-orang Islam yang diwarisi daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, para sahabat dan orang-orang salaf. Ingatlah, akal itu bukan agama, dan agama pula bukan akal. Akal hanya berperanan untuk membantu memecahkan masalah, termasuk masalah keagamaan. Tetapi bukanlah akal itu yang membentuk agama, atau yang menghuraikan agama, atau dengan kata lain, agama tidaklah diambil dan diperolehi dari akal. Berkata Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah :
Ertinya: "Sekiranyalah agama Islam itu diambil daripada akal, atau dihuraikan dengan akal, sudah barang tentu bahagian bawah (tapak) sepatu muza itu lebih utama dan lebih layak ia disapu dengan air daripada bahagian atasnya." Tetapi Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
baginda itu menyapu bahagian atas yang zahir ketika mengambil air sembahyang, bukan dibahagian bawah, ditapak muza itu. Peramba / kaola / saya menyebutkan perkara ini, adalah khusus untuk para pelajar IPI kita, kerana mereka ini adalah bakal cerdik pandai kita, bakal pemimpin dan pejuang agama serta tanah air. Jalan mereka ini masih panjang, dan medan mereka luas. Kita belum pasti lagi di manakah kesudahan mereka. Tetapi yang jelas, kita mengharapkan mereka itu akan jadi ulama bukan ulama sebagaimana tanggapan dan tafsiran ahli sekular untuk hanya menguruskan hal ehwal perkahwinan dan kematian, tetapi ulama yang sekaligus jadi pemimpin, pemelihara 'aqidah ummah dan pendakwah, ahli tadbir, pengurus dan ahli segala macam ilmu yang ada, pahlawan dan perwira yang akan membela agama Allah, yang salah satu dari ciri perjuangan mereka ialah untuk menolak dan menghancurkan sekularisme di negara yang tercinta ini. Maka ke arah ini, asas untuk mereka itu mestilah kuat. Faham keislaman mereka itu tidak boleh dicampur aduk dengan lain-lain kefahaman. Konsep ilmu yang mereka pegang jangan menyimpang dari konsep semata-mata kerana Allah, menuntut dan belajar kerana Allah. Perkara ini penting, dan inilah perbezaan di antara penuntut Islam dan pusat pengajian Islam dengan yang lain-lain. Jika ini tidak ada, maka hubungan kita dengan Allah akan terjejas teruk, dan kita akan menjadi orang yang rugi lagi kecewa di akhirat kelak. Inilah sebenar-benarnya sumber berkat, sumber kejayaan bagi penuntut penuntut Islam dan pusat pengajian Islam. Tanpa adanya pegangan ini, bermakna kita sudah memilih j'alan lain, bukan jalan yang dikehendaki oleh Islam, walaupun kita orang Islam dari pusat pengajian Islam. Peramba / kaola / saya menekankan perkara ini berdasarkan sebuah hadis panjang riwayat Muslim daripada sahabat Abi Hurairah Radhiallahu anhu: Tentang tiga orang yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, yang mula-mula dinyalakan untuk mereka api neraka. Maksud hadis tersebut lebih kurang: "Seorang lelaki mati terbunuh pada Sabilullah, dia dibawa mengadap dan ditunjukkan segala nikmat yang pernah diterimanya. Lalu firman Allah kepadanya: "Apakah yang engkau sudah buat dengan nikmat-nikrnat itu?" Lelaki itu menjawab: "Aku telah berjuang di jalanMu ya Allah (Sabilullah), sehingga aku terbunuh dan syahid." Berfirman Allah "Engkau dusta! Niat asalmu berperang itu ialah supaya orang ramai memuji mu dan menggelarkan engkau orang berani dimana gelaran itu telah pun engkau terima." Lalu lelaki itu pun diperintahkan supaya diseret dan dilontarkan ke dalam api neraka. Seorang lagi, penuntut ilmu yang mengajarkan ilmunya dan juga membaca kitab suci al-Quran. Dia dibawa mengadap dan ditunjukkan nikmat-nikmat itu. Firman Allah kepadanya: "Apakah yang engkau sudah lakukan?" Menjawab lelaki: "Aku seorang penuntut ilmu dan juga mengajarkannya. Aku juga membaca al-Quran. Semua itu ku lakukan adalah semata-mata kerana Mu jua, Ya Allah." Berfirman Allah: "Engkau dusta! Engkau belajar dan mengajar ialah supaya disebut dan digelar orang alim, dan engkau membaca al-Quran supaya engkau disebut dan digelar qari, dimana gelaran itu telah engkau terima." Lalu lelaki itu pun diperintahkan supaya diseret dan dilontarkan ke dalam api neraka. Orang yang ketiga, seorang lelaki yang dimurahkan rezekinya oleh Allah, yang mempunyai berbagai-bagai harta. Dia dibawa mengadap dan ditunjukkan nikmat-nikmat itu. Allah berfirman kepadanya: "Apakah yang telah engkau lakukan dengannya?" Lelaki itu menjawab: "Sesungguhnya aku tidaklah meninggalkan mana-mana jua jalan yang engkau sukai supaya bersedekah, melainkan aku bersedekah. Firman Allah: "Engkau dusta! Engkau melakukan ini adalah supaya engkau dipanggil orang dermawan, dimana panggilan itu telah pun engkau dapat. Lalu dia pun diperintahkan supaya diseret dan dilontarkan ke dalam api neraka." Begitulah hakikat orang-orang yang tiada ikhlas, diantara tiga golongan tadi, salah satu daripadanya ialah penuntut ilmu. Awasilah unsur dalaman yang tidak sihat ini: Unsur tiada ikhlas, unsur ria, atau unsur terpesong daripada niat semata-mata kerana Allah bagi mencari keredhaannya. Adalah unsur-unsur ini mcrosak dan menghakis saham-saham kita di akhirat. AI-Imam al-Ghazali Rahimullah pernah diberi tahu tentang: Barangsiapa yang ikhlas kepada Allah selama 40 hari, maka akan terpancarlah hikmah kebijaksanaan daripada hatinya terus kelidahnya, yakni dia akan menjadi orang bijak, pitah dan bernas berkata-kata. Kata al-Ghazali :
Ertinya" "(Kata al-Ghazali) akupun mengikhlaskan diri kepada Allah selama 40 hari, namun tiada apa-apa yang terpancar itu. Maka aku pun menceritakan perkara ini kepada orang yang 'arif, lalu orang 'arif itu berkata kepada ku: Adapun hikmah itu tiada terpancar daripada hati ialah kerana engkau telah mengikhlaskan diri hanya untuk memperolehi hikmah, bukan ikhlas benar-benar ikhlas kerana Allah. Jadi hikmah itupun tiadalah datang, tiada terpancar." Sebuah hadis di atas dan cerita al-Ghazali ini sebenarnya penting, boleh menjadi pedoman, bahawa segala rahsia kebaikan, keberkatan dan kejayaan itu ada pada ikhlas tidak usah dicari dimana-mana. Peramba / kaola / saya, sukacita ingin menutup ucapan dengan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penuntut IPI yang akan menerima diploma mereka pada hari ini, semoga dengan izin Allah, mereka akan menjadi pelajar semula diperingkat yang lebih tinggi lagi.
|