|
|
|
| TAHUN 1 BILANGAN 3 | SYAABAN 1418 / DISEMBER 1997 | |
Perkembangan dan Peranan Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Sudan telah dibentangkan dan dibincangkan di Seminar Serantau: Mufti dan Fatwa yang telah berlangsung di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia pada 21 hb. dan 22hb. Jamadilawal 1418 bersamaan dengan 23hb. dan 24hb. September 1997 yang lalu. Sebanyak 12 kertas kerja telah dibentangkan dan dibincangkan di seminar itu yang menjurus kepada lantikan Mufti dan prosedur fatwa berdasarkan tradisi ulama zaman silam, isu-isu Institusi Fatwa dan Mufti di Malaysia masa kini dan bagaimana menyebarluaskan dan mengambil manfaat fatwa-fatwa melalui internet. Di Seminar itu, Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abd. Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah menyediakan kertas kerja bertajuk: Perkembangan dan Peranan Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam dan dibentangkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Timbalan Mufti Kerajaan. Menurut ulasan-ulasan akhbar di antaranya, Utusan Malaysia dalam keluaran Juma'at 26 Julai 1997 dalam ruangan FOKUSnya mengatakan, bahawa kertaskerja ini turut mendapat perhatian dalam seminar tersebut, dan bahkan menambah: "Apa yang menarik ada diantara tindakan-tindakan agak sukar dilaksanakan di Malaysia walaupun agama rasmi negara ini adalah Islam". Jadi kertaskerja ini serba sedikit dapat membekalkan pendedahan positif lagi unggul tentang agama Islam di Negara Brunei Darussalam. Seminar itu juga di hadiri oleh Awang Haji Japar bin Haji Maidin, Pegawai Istinbat Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri. |
|