|
|
| TAHUN 1 BILANGAN 3 | SYAABAN 1418 / DISEMBER 1997 |
|
Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara sedang rancak membangun bagi mencapai tahap kemajuan, seiring dengan negara-negara serantau dan dunia yang lain. Namun demikian, dalam keghairahan kita untuk mencapai kemajuan itu, kita mestilah berhati-hati supaya kemajuan yang kita capai itu benar-benar menggambarkan bahawa negara kita adalah sebuah negara yang diperintah oleh raja Islam, agama rasmi Islam dan majoriti besar rakyatnya Islam. Kita haruslah mengikis kepercayaan dan pengaruh fahaman negatif yang mendakwa agama Islam adalah penghalang atau musuh kemajuan. Salah satu fahaman yang sejak sekian lama telah merosak kubu-kubu keimanan umat Islam ialah sekularisme. Sekularisme merupakan fahaman yang selalu dikaitkan dengan kehidupan duniawi. Ia merupakan alat imperealis ke arah memisahkan agama dari negara. Imperealisme menyusup masuk dengan cukup halus ke dalam ruang kehidupan umat Islam dengan cara menciptakan berbagai problem di tengah-tengah masyarakat Islam. Secara tidak sedar problem-problem tersebut telah melemparkan kita ke suatu arah dan tempat yang membingungkan. Keadaan ini akhirnya menyeret kita ke suatu destinasi yang menyebabkan kita lupa bahawa kita mempunyai agama, sejarah dan berbagai sendi kehidupan yang sangat bernilai untuk dipegang. Sehingga dengan demikian, fahaman sekularisme mengambil kesempatan ini mewarnai segala sektor; baik dalam bidang pendidikan, syariat, politik, ekonomi, ideologi, tingkahlaku dan tindakan dalam mengatur corak dan warna kehidupan berbangsa dan bernegara. Tujuannya ialah agar kita menjauhkan diri daripada Islam dari berbagai aspek kehidupan, dan membiarkan Islam hanya sekadar sebagai keyakinan sahaja. Dengan kata lain, agama hanya terbatas kepada masalah-masalah yang bersifat individual seperti nikah kahwin, talak, nafkah, iddah, waris, kematian dan membaca doa semata-mata. Pemikiran seperti ini terus disuntikkan dengan menanamkan keyakinan dan pendedahan yang cukup meyakinkan bahawa kemajuan sesebuah negara dalam dunia ilmu, industri, ekonomi, politik dan sebagainya adalah kerana mereka mengamalkan sistem sekular. Sementara kemunduran yang mewarnai negara umat Islam adalah disebabkan oleh Islam atau kerana tidak menerapkan sistem sekular. Perbandingan yang sangat menjijikkan ini sebenarnya jauh berbeza dengan realiti dan hakikat ajaran Islam yang sebenarnya jika ianya benar-benar dipraktikkan. Fahaman sekularisme sangat berbahaya. Apabila ia telah mendarah-daging di dalam diri individu, ia akan bertindak menyisihkan agama daripada urusan kenegaraan. la menolak agama daripada turut campur mengurus dan mengendalikan negara. Tempat agama di masjid dan surau. Fahaman ini sangat berbahaya sekali. Adalah Islam sebagai 'Din' tidak pernah mengajarkan demikian. Islam adalah agama yang mengatur dan mengurus semua aspek dan lapangan kehidupan berbangsa dan bernegara. Kalau pun terdapat negara yang diurus oleh umat Islam belum mencapai taraf kemajuan yang sebenarnya, itu bukanlah kerana agama Islam, tetapi kerana mereka meninggalkan Islam. Jika kita menjauhi Allah, Allah pun akan menjauhi kita. Dan akibatnya adalah kehinaan di dunia dan di akhirat. Semua keadaan yang disebutkan di atas memerlukan tanggungjawab umat Islam yang semakin besar. Kita perlu mengembalikan kekuatan hubungan agama Islam dan negara. Kita kembalikan negara kepada dasar dan prinsip Islam. Islam mestilah diyakini sebagai agama yang mampu untuk menentukan arah bagi negara dan rakyat. Dengan hal yang demikian, umat Islam akan mulia dan negara akan mampu menjaga serta mengukuhkan kekuatan politik, ekonomi dan kebudayaannya, kerana Allah Subhanahu Wata'ala telah berjanji demikian. Firman Allah yang bermaksud: "....... Padahal bagi Allah jualah Kemuliaan dan Kekuatan itu, dan
bagi rasulNya serta bagi orang-orang yang beriman, akan tetapi golongan yang munafik itu
tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." |