![]() |
|
Safar 1423 - Rabiulakhir 1423 April - Jun 2002 Tahun 6 Bilangan 2
|
||||||||||
|
Teguh Memegang dan Mentaati Ajaran Islam |
||||||||||
![]() |
Gambar
Kiri:
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan menerima junjung ziarah ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian diperhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien. |
|||||||||
|
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah mengingatkan rakyat dan penduduk negara ini supaya keamanan dan kemakmuran yang dinikmati jangan sampai memesongkan mereka daripada mentaati Allah. Sebaliknya, keamanan dan kemakmuran negara itu hendaklah menjadi daya pendorong ke arah menyuburkan lagi iman dan takwa kita kepada Allah. Baginda bertitah demikian sempena menyambut Maulud Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei pada hari Jumaat malam Sabtu 12 Rabiulawal, 1423 bersamaan 24 Mei, 2002. Seterusnya di dalam titah baginda itu, baginda turut mengingatkan kita umat Islam agar tetap teguh memegang dan mentaati ajarannya walau apapun yang berlaku kepada Islam, termasuk jika ia dipinggirkan. Baginda bertitah: Tidak syak lagi, Islam kini memang sedang diuji, umat Islam sedang diajak dan dipengaruhi untuk mengasingkan diri daripada ajaran Islam yang sebenar, yakni sedang didorong ke arah tindakan yang menyalahi ajaran-ajaran Allah. Dalam hubungan tersebut, baginda menyarankan jika perkara ini tidak segera disedari, umat Islam akan semakin terpinggir dan menjadi lemah. Maka oleh itu, titah baginda, satu cara yang baik dan malah wajib dilakukan ialah mencontohi kembali sikap Baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dalam menghadapi isu-isu yang mencabar, di mana Baginda tidak pernah tunduk atau menyerah kalah kepada sebarang kebatilan, walaupun ada kalanya Baginda terpaksa menghadapinya seorang diri. Seterusnya baginda bertitah, bahawa peribadi yang dimiliki oleh Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam itulah peribadi yang diberkati oleh Allah dan ia patut dijadikan suri teladan oleh umat Islam seluruhnya, khasnya oleh pemimpin yang memegang amanah Allah supaya sama-sama mencontohinya apa yang dilakukan oleh para sahabat Baginda. Titah baginda seterusnya:Beta berharap, budaya menyambut dan memperingati hari keputeraan Baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ini tidaklah akan menjadi budaya kosong begitu sahaja, tetapi mestilah menjadi penggerak dan pencetus kesedaran berkorban untuk Islam dan masa depannya yang panjang. |
||||||||||
|
Gambar Kanan: Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam ketika membaca doa selamat di perhimpunan dan perarakan tersebut. |
![]() |
|||||||||
|
Kemuncak perayaan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pada tahun ini ialah perhimpunan dan perarakan di ibu negara pada pagi Sabtu, 12 Rabiulawal, 1423 bersamaan 25 Mei, 2002. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli bersama rakyat dan penduduk bagi meraikan sambutan kemuncak itu di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik. Aturcara sambutan dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abd. Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. |
||||||||||
![]() |
||||||||||
|
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
ketika berkenan mengepalai perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad
Sallallahu alaihi wasallam. Berangkat sama ialah anakanda dan adinanda
baginda.
|
||||||||||
| Kemuncak perhimpunan pada pagi itu ialah perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan yang dikepalai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia beserta kerabat-kerabat diraja. Perarakan tahun ini disertai oleh lebih daripada 20 ribu peserta daripada 138 pasukan yang terdiri daripada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah menengah dan rendah, sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan awam. |
||||||||||
|
|
||||||||||
|
©
Copyright 2002 |
||||||||||